Wednesday, December 02, 2015
Mahathir Nak Buat UMNO Macam Dia Yang Punya
Bagaikan sudah dijangka, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
tidak pernah puas untuk menghuru-harakan UMNO selagi kehendaknya tidak
tertunai. Selagi boleh, beliau akan menghentam sesiapa saja yang cuba
menafikan kehendaknya itu.
Terbaru, dalam usaha beliau menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri
Najib Tun Razak, bekas Presiden UMNO itu dilihat sengaja meramalkan
Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14
nanti. Ramalan 'nujum' berusia lebih 90 tahun itu ditulis di blog
beliau.
Yang peliknya, tanpa ragu-ragu, Dr Mahathir mendakwa UMNO dan BN akan
menang pula PRU ke-14 sekiranya Najib tidak lagi menjadi Presiden UMNO.
Nampak sangatlah apa yang ditulisnya itu adalah lebih menjurus kepada
propaganda beliau sendiri untuk menjatuhkan Najib.
Beliau mendakwa kononnya UMNO kini menjadi milik Presiden dan kesetiaan
ahli UMNO lebih kepada mendokong Najib sahaja. Kononnya ahli UMNO kini
tidak lagi setia pada perjuangan agama, bangsa dan negara. Begitulah
'racau' beliau dalam 'surat' di blog berkenaan...
Selaku seorang ahli UMNO, tidak dapat tidak, surat itu ditujukan Dr
Mahathir kepada saya juga, bukan? Jadi, adalah terpulang pada saya
sama ada untuk bersetuju dengan propaganda yang ditulis oleh beliau
juga, bukan?
Saya membesar di zaman Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana
Menteri. Jadi, selaku ahli parti yang memerhati segala tindak-tanduk
politik beliau, penulis sedar tentang selok belok gerakan politik bekas
Perdana Menteri itu.
Benar bahawa UMNO bukan milik Najib atau mana-mana Presiden UMNO. Namun
Dr Mahathir juga perlu tanam di fikiran bahawa UMNO juga bukan milik
beliau! Malah selaku ahli biasa seperti penulis, Dr Mahathir sudah tiada
autoriti lagi untuk menentukan apa-apa di dalam UMNO, bukan?
Saya tidak lupa apa yang pernah Dr Mahathir lakukan ketika 1987.
Ketika itu berlaku krisis perlembagaan sehingga memaksa UMNO diharamkan
oleh Mahkamah. Mungkin 'membalas dendam' UMNO diharamkan di zaman
beliau, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas telah 'dipecat'.
Mungkin memikirkan UMNO itu beliau yang punya, maka beliau dikatakan
hanya memilih pemimpin parti yang 'sebulu' dengannya sahaja untuk berada
di dalam kerajaan mahupun pucuk pimpinan parti. Saya yakin, tindakan
itu dilakukan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan
Perdana Menteri selama mungkin beliau berkuasa.
Saya juga masih ingat lagi bagaimana ramai pemimpin yang beliau
'singkirkan' ketika itu sehingga terpaksa menubuhkan parti Semangat 46
yang diketuai oleh Tengku Razalieh Hamzah serta rakan-rakan yang lain.
Pada saya, pepecahan begitu tidak mungkin akan berlaku sekiranya Dr
Mahathir tidak menganggap 'UMNO itu beliau yang punya'.
Malah, di sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun selaku Presiden UMNO
dan Perdana Menteri, nama beliau memang gah dipanggil 'kuku besi' dan
'diktator'. Kenapa beliau dilabel begitu? Pada pandangan saya,
seorang yang mengamalkan demokrasi sudah tentu tidak akan digelar
begitu, bukan?
Kerana sikap, gaya pemerintahan dan politik 'kuku besi' itulah maka
saya melihat beliau berjaya mengekalkan diri selaku Presiden UMNO dan
Perdana Menteri selama lebih 20 tahun. Selepas 'puas' menjadi 'raja'
dan mengkayakan pihak tertentu, maka barulah beliau berdrama 'dah lama
dah' yang disusuli dengan beberapa 'pelakon tambahan'...
Dan kini, beliau menuduh Najib menjadikan UMNO itu sebagai milik
Presiden? Pada saya, ahli UMNO tidak sebodoh yang beliau sangka dan
tidak akan termakan dengan propaganda lapuk beliau tersebut. Hanya yang
taksub dan 'buta' pada gaya politik beliau saja yang akan terpengaruh
dengan propaganda seperti itu.
Sebelum ini, beliau menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai
Presiden dan mendakwa UMNO akan kembali gagah selepas beliau dijatuhkan.
Tapi selepas Pak Lah jatuh, beliau sendiri yang cuba jahanamkan UMNO.
Sampai Timbalan Presiden yang bercita-cita untuk menjadi Presiden
'segera' pun terpengaruh dengan gerakan beliau itu?
Jadi, tidak perlulah bekas Presiden UMNO cuba menghasut atau
memperbodohkan ahli UMNO lagi. Ahli UMNO di zaman ini lebih 'celik'
berbanding ahli UMNO di zaman beliau. Beliau yang buat UMNO macam beliau
yang punya, tapi tuduh orang lain pula yang buat begitu. Sudah-sudahlah
meracau, lebih-lebihkanlah berzikir pada Allah. Ada juga manfaatnya,
bukan?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment