Tuesday, December 01, 2015
Nurul Izzah Perlu Isytihar Putus Hubungan Dengan Pengganas
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar perlu
membuat pengisytiharan terbuka memutuskan hubungan dengan kumpulan
pengganas Jamalul Kiram III yang menceroboh Lahad Datu, Sabah bagi
membersihkan imej parti itu.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pengakuan
secara terbuka oleh Nurul Izzah sememangnya perlu memandangkan
tindakannya bertemu dengan anak bekas ketua kumpulan pengganas
tersebut, Jacel Kiram adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
Beliau berkata, kumpulan tersebut bukan sahaja menceroboh negara malah mengakibatkan banyak nyawa terkorban.
Musa berharap pihak polis terus menjalankan siasatan terperinci
kerana perkara tersebut melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Perkara ini memang mencemarkan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebarang isu yang berkaitan keselamatan perlu diserahkan kepada
pihak polis untuk memastikan keselamatan negara terus dijaga,” katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Sabah telah melarang Nurul Izzah dan
seorang lagi pemimpin PKR, Tian Chua daripada memasuki negeri tersebut
ekoran pertemuan tersebut.
Berikutan itu, terdapat gesaan supaya Nurul Izzah dan PKR membuat
pengisytiharan memutuskan hubungan dengan kumpulan tersebut bagi
membersihkan imej parti pembangkang itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Datuk
Dr. Hassan Yusof berkata, pihaknya bertegas mahukan Nurul Izzah tampil
secara rasmi untuk meleraikan segala kemusykilan sekiranya tidak mahu
terus dianggap sebagai pengkhianat negara.
Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku daripada pertemuan
tersebut yang pastinya mempunyai agenda tersendiri sama ada untuk pihak
PKR mahupun kepada kumpulan pengganas berkenaan.
“Nurul Izzah memang perlu membuat pengisytiharan secara terbuka
kerana saya percaya pertemuan itu mempunyai kepentingan kepada diri dan
politiknya.
“Jika hanya permohonan maaf dan kenyataan kesal diberikan, kita tidak
boleh berkompromi dengannya malah tindakan itu boleh dianggap mencemar
kedaulatan negara sekali gus memberi ancaman kepada keselamatan
negara,” katanya.
Dalam masa sama, bekas Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera
Malaysia (PVATM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, sekiranya perkara
sedemikian dibiarkan, keadaan yang lebih buruk mungkin boleh berlaku.
“Saya bersetuju jika beliau membuat pengakuan secara terbuka kerana
ini sahaja jalan terbaik untuk membuktikan tujuan pertemuan tersebut
dibuat.
“Pertemuan itu bukan sahaja memberi implikasi negatif terhadap
masyarakat malah menjejaskan kedudukan politik Malaysia di mata pemimpin
dunia yang lain,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment