Tuesday, December 01, 2015
Pas Tidak Sepatutnya Terperangkap Dalam Permainan Politik Sandiwara PKR – Anuar
KUALA LUMPUR : Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar
Ibrahim, Anuar Shaari berkata Pas tidak sepatutnya meletakkan
kepercayaan kepada rakan sekutunya PKR kerana mereka hanya akan
bernilai dan dihargai sehingga Pilihan Raya Umum akan datang sahaja.
Justeru kata beliau buat masa ini Pas perlu berkira-kira dan bermain
politik dengan bijak dan perlu memahami gerak tari langkah politik
sekutunya itu yang dilihat bermain wayang dalam permainan politik mereka
baik di peringkat nasional mahu pun di negeri Selangor.
“Saya cukup masak dengan permainan politik PKR ini. Pas perlu sedar
dan perlu tahu bagaimana politik yang diguna pakai PKR hari ini. Pas
tidak sepatutnya terus diperangkap dan dipermain-mainkan dengan parti
yang penuh sandiwara ini.
“Saya yakin dan penuh percaya
jika diberi pilihan antara Pas dan Dap, PKR tentunya akan memilih DAP
dan Pas pula akan terus terkontang-kanting. Melihat kepada senario yang
ada dan permainan politik PKR itulah yang kita boleh jangkakan,” katanya
kepada pihak media, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Anuar Shaari seterusnya menambah jika itu
berlaku ianya bukanlah politik yang mengejutkan dan masyarakat umum
boleh melihat perkara berkenaan menjelangnya pilihan raya umum akan
datang.
Ujar beliau PKR tidak mampu berdiri dengan sendiri dan tentunya
apabila tiba masanya nanti parti pimpinan Datin Seri Wan Azizah Wan
Ismail perlu membuat pilihan dan perlu berkorban dalam memilih rakan
sekutu.
“Bagi PKR mereka sama sekali tidak mampu kehilangan Dap. Ini kerana
jika mereka menolak Pas, mereka mempunyai pilihan pengganti iaitu parti
serpihan Pas iaitu Parti Amanah.
“Jadi kepada kesimpulan di atas adalah Pas yang akan menjadi
mangsanya dan sebab itulah penekanan tadi bahawa tidak perlunya Pas
menaruh kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada rakan sekutunya
itu.
“Rasanya sudah tiba masa untuk Pas memikirkan jalan politik yang
terbaik untuk mereka dan bukannya bergantung harap sepenuhnya kepada
PKR. Percayalah nasib malang bakal menimpa mereka jika terus mengambil
sikap sedemikian,” ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment