Tuesday, December 01, 2015
Tun Mahathir, Jangan Jadi Seperti Kongsi Gelap
Assalamualaikum warrahmatullah hiwabarakatuh,
1. Saya membaca tulisan Yang Berbahagia Tun berjudul SURAT KEPADA AHLI DAN PEMIMPIN UMNO AKAR UMBI sebentar tadi.
2. Saya bersetuju dengan pandangan Tun bahawa “Negara Malaysia
tercinta ini adalah hasil perjuangan UMNO sebagai sebuah parti, bukan
oleh sesiapa atau seseorang, sebab itu apabila Dato Onn Jaafar, Pengasas
dan Yang diPertua Parti yang pertama, membuat cadangan yang
bertentangan dengan pejuangan parti, cadangannya ditolak dan dianya
keluar dari parti.”
3. Namun saya tidak dapat bersetuju dengan Tun bahawa hari ini UMNO
sudah jadi milik Presiden dan perjuangan UMNO terhad kepada mendokong
Presiden. Kesetiaan ahli terhad kepada Presiden, tidak lagi kepada
parti, tidak lagi kepada bangsa, agama dan negara.
4. Saya melihat jika hari ini UMNO dianggap sebagai parti milik
Presiden ia adalah kerana budaya ini dicipta dan dikukuhkan oleh Tun
semasa mengharamkan dan menubuhkan semula UMNO yang baru. Mohd Najib hanya meneruskan tradisi kekuatan Presiden UMNO yang Tun sendiri cipta dan halalkan.
5. Apakah Tun lupa bahawa pada 1988, apabila menubuhkan UMNO baharu,
Tun melantik sebahagian besar mereka yang menyokong Tun semata sebagai
Jawatankuasa Penaja UMNO (baru) tanpa mengambil kira keputusan pemilihan
1987?
6. Apakah Tun lupa bahawa ketika memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden paling popular dalam
sejarah UMNO, Tun juga mengingatkan kesetiaan kepada parti bagi
menyokong keputusan Presiden. Apakah ini bukan memaksa ahli mengikut
keputusan Presiden? Berapa ramai yang telah UMNO pecat ketika itu
apabila tidak bersetuju dengan keputusan Tun?
7. Pada para ke-4 surat Tun sangat tidak masuk akal. Tun berleter
dari soal slogan satu Malaysia sehinggalah kepada pelbagai isu yang pada
akhirnya saya merasakan ia hanya bertujuan menimbulkan perasaan benci
rakyat kepada Perdana Menteri dan akhirnya menjayakan rancangan
menjatuhkan Mohd Najib.
Yang berbahagia Tun,
8. Apa salah slogan Satu Malaysia sehingga Tun samakan dengan konsep
Malaysian Malaysia ciptaan PAP suatu ketika dahulu? Bukankah slogan satu
Malaysia ini sama sahaja dengan slogan “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”?
Bukankah 1 Malaysia ini selari dengan konsep bangsa Malaysia yang Tun
rancang melalui Wawasan 2020. Apakah 1 Malaysia ini jijik tetapi konsep
Bangsa Malaysia yang Tun perkenalkan dalam Wawasan 2020 suci?
9. Tun juga menyerang penubuhan Pemandu untuk mengganti Unit
Perancang Ekonomi. Unit Perancang Ekonomi dan Pemandu adalah ciptaan
manusia untuk pentadbiran. Mengapa Tun menyerang Pemandu tanpa alasan
adalah sangat tidak munasabah.
Pemandu telah membuat beberapa perubahan
dan pembaharuan yang sangat baik untuk rakyat termasuk penubuhan Pusat
Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang
memberi perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap kepada rakyat. Tun tidak
boleh melihat EPU begitu mulia sehingga tiada tolok ganti sedangkan
merekalah yang mengawasi perjanjian konsesi tol pada zaman Tun sehingga
menjadi beban politik Barisan Nasional hari ini.
10. Saya tidak mungkin mampu mengulas kesemua leteran Tun yang sudah
berasaskan pemikiran yang kacau dan hati yang sakit. Saya percaya Tun
menulis dalam keadaan marah dan kecewa sehingga menyebabkan terlalu
banyak isu dibangkitkan tanpa asas yang jelas.
11. Tun menyatakan, “Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU 14
seperti di Selangor dan Pulau Pinang. BN dan UMNO akan menjadi parti
pembangkang. Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh
dibuat oleh UMNO untuk bangsa, negara dan agama.”
12. Tidak mustahil parti akan kalah apabila Tun masih meneruskan
tingkah laku sebagai orang yang mahu mengalahkan Barisan Nasional. Jika
masa Tun, kami menyokong sepenuh hati keputusan Tun kerana mahukan parti
menang, hari ini Tun mengkhianati kami kerana mahukan Najib jatuh.
13. Cukuplah! Tun sudah menyatakan apa yang sepatutnya termasuk
menganggap UMNO akan kalah jika Mohd Najib terus menjadi Presiden UMNO.
Namun Tun juga tiada jaminan Barisan Nasional akan menang jika Mohd
Najib berhenti menjadi Presiden dan Perdana Menteri. Ini semua hanyalah
hipotesis Tun kerana menyaksikan sampan sedang bocor.
14. Soalnya Tun, wajarkah penumpang sampan mendengar cakap Tun, orang yang bertanggungjawab membocorkan sampan tersebut?
15. Adalah tidak adil Tun membocorkan sampan dan Tun juga memberi
jalan menyelamatkan sampan tersebut. Ini dipanggil konflik kepentingan. Sikap
Tun ini tidak ubah kaedah kongsi gelap yang membuat huru-hara di suatu
kawasan sebelum menawarkan jalan mententeramkan keadaan.
16. Akhirul kalam, Tun telah menyatakan pandangan dan semua ahli UMNO
telah tahu pandangan Tun terhadap Mohd Najib. Mungkin tiba masanya
untuk Tun berdiam diri dan membenarkan kami membetulkan sampan yang
bocor ini mengikut kaedah kami sendiri. Asalkan Tun tidak membocorkan
lagi sampan ini, in sha Allah kami mampu menampal dan mendayung ke
destinasi.
Ditulis oleh : Amin Yatim
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment