Monday, August 17, 2009

PAS Dah Tukar "Takbir" kepada "Take Beer"!!

Penulis berasa terpanggil untuk komen mengenai memorandum Pas Selangor yang menggesa Kerajaan negeri Selangor untuk mengharamkan penjualan arak di kawasan-kawasan majoriti Islam.

Walaupun niatnya adalah untuk mengurangkan penjualan kepada orang Islam terutamanya anak-anak muda, namun penulis harus mempersoalkan rasional cadangan ini serta keberkesanannya jikalau arahan pengharaman penjualan arak di kawasan majoriti Islam ini di jalankan.

Pertamanya, ianya kes pengharaman yang selektif yakni hanya di kawasan–kawasan di mana ramai penduduknya beragama Islam. Apa pula kepada kawasan-kawasan yang majoritinya bukan Islam tetapi terletak hanya bersebelahan dengan kawasan majoriti Islam?
Jikalau individu tersebut hendak minum arak, beliau tidak akan teragak-agak untuk berjalan jauh sedikit untuk mendapatkan arak beliau. Bermakna pengharaman ini tidak akan berjaya langsung.

Pengharaman ini juga akan memberi satu kesan buruk yakni akan menghidupkan perniagaan seludup dan haram secara ‘underground’.

Bagaimana juga pihak berkuasa ingin mengenalpasti kawasan majoriti Islam. Adakah ianya 51%, 70%, 90% atau 99%? Apa pula hak –hak penduduk bukan Islam yang ingin minum arak? Adakah pengharaman penjualan arak di kedai-kedai ini adil kepada mereka yang bukan Islam?
Secara jujur, penulis berpendapat Pas Selangor tidak berfikir panjang mengenai perkara ini.
Ataupun Pas Selangor tahu ianya tidak akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri tetapi mereka berasa tertekan oleh janji-janji pilihanraya mereka dahulu mengenai kes pengharaman penjualan arak?

Ataupun Pas Selangor hanya melakukan ianya bagai gimik sahaja kerana takut mereka akan dilihat tidak Islamik?

YAB Menteri Besar Selangor telah mengumumkan bahawa Kerajaan Selangor tidak akan mengharamkan penjualan arak di kawasan–kawasan yang di minta oleh Pas.
Penulis ingin bertanya Pas sekarang – Apa lagi? Apakah langkah Pas seterusnya selepas pengumuman MB Selangor?

Penulis berpendapat gesaan Pas ini tidak praktikal. Kita harus menganalisa dahulu apakah sebenarnya masalah yang ingin ditangani sebelum melulu membuat sesuatu gesaan. Pada pendapat penulis, apa yang ingin diselesaikan adalah masalah :-

i. Orang Islam minum arak;ii. Anak-anak muda Islam minum arak.

Benar, pengharaman di beberapa kawasan majoriti Islam mungkin akan menyebabkan mereka ini tidak boleh beli di sebelah rumah, tetapi dengan senario hari ini yang ada motor, kereta dan sebagainya, seperti yang penulis sebut di atas, tidak ada apa yang menghalang mereka ini untuk naik kereta dan pergi ke kawasan sebelah untuk membeli arak.

Dan ramai daripada mereka ini sebenarnya minum arak bukan sahaja dibeli di 7–Eleven atau kedai-kedai runcit, tetapi di pub dan sebagainya.

Adalah lebih efektif dan menyeluruh jikalau beberapa langkah tertentu diambil termasuk:-

i. Pengajaran masalah dan kesan negatif arak kepada orang ramai (adakan kempen kesedaran – berdakwah!);

ii. Memantapkan pemantauan dari pihak berkuasa dan mengenakan denda yang amat besar kepada penjual dan pembeli yang ditangkap. Lesen perniagaan juga patut ditarik balik serta-merta jikalau ditangkap menjual kepada orang Islam.

iii. Menghebahkan mereka yang tertangkap serta denda yang mereka hadapi kepada rakyat. Ini akan menakutkan mereka.

iv. Memberi kaunseling kepada mereka yang didapati bersalah.

Penulis juga ingin berkongsi satu pendapat daripada rakan penulis mengenai isu ini.
Beliau berkata bahawa dahulu semasa Pas hanya parti pembangkang tanpa memerintah negeri-negeri, Pas telah mengutuk dan mengatakan UMNO parti haram kerana membenarkan perniagaan pembuatan dan penjualan arak di Malaysia. Isu inilah di antara sebab UMNO dilabelkan parti kafir.

Sekarang mereka memerintah di beberapa buah negeri termasuk Selangor yang mempunyai dua buah kilang arak besar (di Shah Alam dan PJ). Pas kini tersepit dan terpengkap dengan kata-kata mereka dahulu yang memanggil UMNO kafir.

Kerana itulah Pas Selangor mengambil langkah kononnya menggesa kerajaan Selangor mengharamkan penjualan arak di kawasan majoriti Islam walaupun mereka tahu ianya tidak akan berjaya.

Sekurang-kurangnya penyokong mereka tidak boleh marah dengan mereka lagi kerana kononya mereka sudah cuba.

Bukan senang nak jadi pemerintah.
Oleh : Ahmad Ikmal Ismail

Penulis Adalah Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments:

Post a Comment