Monday, August 17, 2009

Permatang Pasir : 1 Lawan 1; Calon Bebas Lewat Kemuka Pencalonan

Bukit Mertajam -- Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.Walaupun pada mulanya dijangka pilhanraya kecil kali ini melibatkan pertarungan tiga penjuru namun calon Bebas gagal bertanding selepas lewat mengemukakan borang pencalonan.

Pada kali ini, BN meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calon manakala lawannya dari Pas ialah Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, 52. Kamarul Ramizu Idris, 42, yang tewas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti sebelum ini, gagal mengemukakan borang pencalonan walaupun hadir ke pusat penamaan calon di Pusat Latihan Belia Negara Bukit Mertajam.

Pengesahan calon bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya, pada jam 11.25 pagi tadi. Sebanyak 15 bantahan diterima dalam waktu bantahan selama sejam tetapi ditolak. Kerusi DUN Permatang Pauh kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dari Pas yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu akibat sakit jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hamdan memenangi kerusi itu buat kali ketiga setelah memperolehi 11,004 undi mengalahkan Ahmad Sahar Shuib dari BN dengan majoriti 5,433 undi. DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi termasuk seorang pengundi pos yang akan mengundi di lapan pusat mengundi di kawasan berkenaan. Daripada jumlah itu, 14,677 pengundi (72.34 peratus) ialah Melayu, 5,248 (25.86 peratus) Cina, 332 (1.64 peratus) India dan 33 (0.16 peratus) bangsa lain.

Oleh : S.A. Najmuddin

No comments:

Post a Comment