Thursday, February 10, 2011

Nik Aziz akui jumpa PM di KL

KOTA BHARU – 04 Jan – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengaku mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, pada 24 Disember lalu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak boleh mendedahkan butiran pertemuan tersebut, termasuk isu yang dibincangkan, kerana perjumpaan itu diadakan secara tertutup.

“Saya tidak boleh sebut (isi perbincangan) kerana ia didakan secara tertutup, kita perlu jaga peraturan jumpa orang besar. Macam mana saya nak ulas?” katanya kepada pemberita selepas meraikan penjaga gol kebangsaan kelahiran Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, di sini, semalam.

Sebelum ini terdapat spekulasi dari blog yang mendedahkan terdapat pertemuan pemimpin besar negara di sebuah tempat eksklusif di Kuala Lumpur untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, isu mengenai perpaduan Melayu hangat diperkatakan apabila bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Ditanya adakah pertemuan itu menyentuh mengenai isu petroleum yang dituntut Kerajaan Negeri, Nik Abdul Aziz berkata: “Tentu ada benda. Mana boleh seorang rakyat jumpa dengan pemerintahnya tidak ada apa-apa? Cuma ia dibuat tertutup, (oleh sebab itu) saya tidak boleh sebut (apa yang dibincangkan).”

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment