Thursday, February 10, 2011

Pas sanggup korban prinsip perjuangan demi Karpal – Mustapa

JELI 3 Jan. – Pas sanggup mengorbankan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mempertahankan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sebelum ini secara konsisten menentang penubuhan negara Islam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemimpin Pas juga memberi tafsiran hukum Islam secara berbeza-beza mengikut keadaan semata-mata untuk mendapatkan kuasa politik.

Beliau berkata, pemimpin Pas juga sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengelirukan rakyat demi menghalalkan hubungan mereka dengan parti sosialis iaitu DAP.

“Ini isu yang besar, kalau dulu mereka bermati-matian di seluruh kampung berceramah menghentam Karpal Singh yang menentang negara Islam, tetapi hari ini kita dapati pemimpin Pas sanggup membela seorang pemimpin yang juga penentang utama negara Islam.

“Semua ini ada rekod, dulu kepada mereka tidak boleh duduk bersama DAP tetapi sekarang sudah bersekedudukan dengan DAP, dari segi politik mereka memang tidak konsisten, berbeza mengikut keadaan kerana apa yang penting ialah mereka mahukan kuasa dan sanggup korbankan prinsip politik yang dipegang teguh semata-mata untuk ke Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Penyampaian Anak Benih (Tanam Untuk Bumi) anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Kampung Bendang Keladi di sini, hari ini.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment