Thursday, February 10, 2011

Sidang DUN tergempar selesai isu

SHAH ALAM:04 Jan - Kerajaan Selangor mahu pinda undang-undang lantik SUK Kerajaan Selangor bercadang mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif di Selangor kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tarikh persidangan itu terpulang kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim untuk mengumumkan masa yang sesuai.

Katanya, isu membabitkan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor itu turut dibincangkan dalam pertemuan kira-kira sejam setengah dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pagi semalam.

Abdul Khalid menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 10.05 untuk membincangkan isu pelantikan Mohd Khusrin Munawi dan dilihat meninggalkan Istana Mestika di Seksyen 7, di sini, kira-kira jam 11.20 pagi.

Kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Penasihat Kewangan yang sebelum ini terletak pada kerajaan negeri, ditarik balik berikutan pindaan Perlembagaan pada 1993 yang turut menyebabkan undang-undang di Selangor dipinda bagi memusatkan kuasa Kerajaan Persekutuan.

Jika sidang DUN tergempar itu diadakan dan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor diluluskan, kuasa berkenaan akan dipulangkan semula kepada Sultan dan Menteri Besar.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment