Tuesday, November 11, 2014

1MDB: Ahmad Maslan Jawab Rafizi dan Tony Pua

KENYATAAN AKHBAR OLEH YB TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I 
12 NOVEMBER 2014 
ISU 1MDB

Kenyataan Akhbar ini disediakan untuk menjelaskan lagi kenyataan saya sebelum ini berkaitan 1MDB semasa sesi Penggulungan Peringkat Dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2015, Kementerian Kewangan pada 6 November 2014 (Khamis).

1. Saya mendapat maklum mengenai usul YB Tuan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan untuk merujuk saya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dibawah Peraturan Mesyuarat 36(12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan.

Ia dibangkitkan berdasarkan kenyataan saya semasa sesi Penggulungan Peringkat Dasar untuk Kementerian Kewangan pada 6 November 2014 mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti berikut :

Petikan Hansard 6 November 2014
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan hanya beri jaminan kepada sukuk oleh 1MDB sebanyak RM5.8 bilion sahaja, sedangkan semua hutang 1MDB ialah RM36.25 bilion.”
“ Itu sahaja yang dijamin oleh kerajaan, tidak ada lebih daripada itu. Selain daripada itu, 1MDB tidak menerima jaminan daripada kerajaan bagi pinjaman-pinjaman yang lain, hanya RM5.8 bilion yang menerima jaminan explicit atau explicit guarantee Kerajaan Malaysia. Satu lagi yang disebut mengenai letter of support itu sebenarnya tidak ada.”

2. Kenyataan letter of support itu sebenarnya tidak ada membawa maksud bahawa tiada surat sokongan lain yang memberi jaminan explicit atau explicit guarantee Kerajaan Malaysia selain terhadap jumlah sebanyak RM5.8 bilion.

3. Saya masih berpegang kepada kenyataan tersebut sebagai benar dan saya juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar bertarikh 8 November 2014 (Sabtu) seperti berikut :

“Seperti yang saya jelaskan di Parlimen pada hari Khamis 6 November 2014, jaminan Kerajaan yang dikeluarkan untuk 1MDB hanyalah sebanyak RM5.8 bilion.

Saya ingin memaklumkan di sini bahawa memang tiada surat yang membawa maksud kepada jaminan yang lebih daripada jumlah itu. Kerajaan tidak ada lagi mengeluarkan sebarang jaminan selain RM5.8 bilion untuk 1MDB atau anak-anak syarikat milik penuhnya, termasuklah untuk bon USD3 bilion.

Sebagaimana yang dilaporkan dalam penyata tahunan 1MDB untuk tahun kewangan berakhir 2013, satu surat telah dikeluarkan sebagai pemegang saham tunggal 1MDB.

Menurut syarat-syarat di dalam surat tersebut, sekiranya 1MDB tidak dapat membayar hutang berkaitan bon yang berkenaan, sebarang tuntutan terhadap kerajaan (selain tuntutan terhadap 1MDB) hanyalah terhad kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam surat itu sahaja, dan ini bukan merupakan jaminan Kerajaan.”

4. Saya juga memahami bahawa terdapat satu letter of support yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk bon yang berjumlah USD3 bilion. Walau bagaimanapun ia bukan memberi jaminan explicit atau explicit guarantee Kerajaan Malaysia.

5. Surat sokongan (letter of support) itu membawa maksud bahawa sekiranya 1MDB tidak mampu membayar pinjaman yang berjumlah USD3 bilion tersebut, maka 1MDB perlulah menstruktur semula asetnya yang berjumlah RM51 bilion bagi membayar hutang tersebut.

Dalam hal ini, 1MDB akan menggunakan kesemua asetnya sehingga habis (fully exhaust) yang berjumlah RM51 bilion untuk membayar hutang yang bernilai USD3 bilion. Mengikut rekod setakat hari ini, 1MDB tidak pernah gagal dalam menjelaskan hutangnya mengikut jadual pembayaran balik. Kerajaan hanya akan membantu sekiranya ada lagi tanggungan bagi hutang tersebut yang perlu dijelaskan oleh 1MDB sekiranya ke semua langkah seperti di atas telah pun diambil oleh 1MDB.

6. Saya ingin menjelaskan bahawa jaminan explicit adalah terikat di bawah Akta Jaminan Pinjaman ( Pertubuhan Perbadanan ) 1965. Syarikat yang diberi jaminan perlu diwartakan sebagai Pertubuhan Perbadanan manakala surat sokongan yang dikeluarkan dalam isu 1MDB kepada pihak berkaitan tidak terikat di bawah akta tersebut dan tidak perlu diwartakan.

7. 1MDB adalah sebuah syarikat dengan izin “going concern” yang berdaya saing dan maju. Ini bermakna 1MDB akan sentiasa berkembang dan nilai syarikatnya akan sentiasa meningkat. Ini dibuktikan dengan peningkatan pendapatannya sebanyak 64% bagi tahun berakhir 31 Mac 2014.

8. Perkara yang saya nyatakan pada 6 November 2014, dengan jelas menunjukan bahawa jaminan Kerajaan adalah kepada pinjaman yang berjumlah RM5.8 bilion sahaja. Jaminan ini terikat di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965. Justeru itu, hanya jumlah RM5.8 bilion sahaja yang termasuk dalam contingent liability Kerajaan dan bukannya ditambah dengan USD3 bilion.

Sekian, terima kasih.

(DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN)
TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I
12 NOVEMBER 2014

No comments:

Post a Comment