Tuesday, November 11, 2014

Kerajaan dan Petronas Bayar RM 1.6 Bilion kepada TNB Elak Kenaikan Tarif Elektrik

5 November 2014 - Kerajaan dan Petronas bersetuju untuk membayar RM1.6 bilion kos pengeluaran tenaga, untuk mengelak Tenaga Nasional Bhd mengenakannya ke atas pengguna.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kerajaan akan menyerap sekitar RM840 juta. Petronas pula akan menyerap RM830 juta lagi dengan tidak menaikkan harga gas yang dibekalkan kepada IPP.

Kadar tarif elektrik sepatutnya dinaikkan pada bulan Julai 2014, dan keputusan kerajaan itu mengelak pengguna dikenakan tambahan 3.11 sen per kilowatt, katanya.

Ongkili berkata kerajaan membuat keputusan itu bagi mengelak rakyat merasai kesan daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan.

Katanya, ia merupakan jumlah penjimatan selepas rundingan semula dengan generasi pertama Penjana Tenaga Bebas (IPP).

Tindakan ini membolehkan kadar elektrik kekal sehingga JUN 2015 sebelum dipertimbangkan semula kerajaan.

Oleh itu, katanya, semua perniagaan juga boleh mempersiapkan diri mereka dengan mengetahui bahawa tidak akan ada kenaikan tarif elektrik bagi 12 bulan yang akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengguna dan industri perlu bersedia untuk berdepan dengan perubahan tarif itu selepas Jun 2015 kerana baki simpanan daripada rundingan semula dengan IPP tidak cukup untuk menyerap satu pusingan lagi ICPT (Imbalance Cost Pass Through).

ICPT berlaku setiap enam bulan dan melibatkan kajian semula harga harga tenaga dan kenaikan tarif.

Sehubungan itu, Ongkili merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk terus menjimatkan tenaga dengan menggunakannya secara bijak dan mengelak pembaziran.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment