Tuesday, November 11, 2014

RMK-10: Sabah dapat RM11.115b – Shafie Apdal


SHAFIE APDAL 

KUALA LUMPUR 28 Okt.Sabah adalah antara negeri yang paling banyak mendapat peruntukan pembangunan prasarana iaitu sebanyak RM11.115 bilion telah disalurkan sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sehingga RMK-10.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Parlimen Libaran merupakan antara kawasan yang mendapat limpahan peruntukan iaitu sebanyak 274 projek telah dibangunkan dengan menelan belanja RM149.48 juta.


Menurut beliau, program pembangunan tersebut melibatkan jalan luar bandar, jalan perhubungan desa dan projek pembangunan bekalan air di pedalaman.

“Senarai projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan adalah berdasarkan kepada permohonan yang diterima daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan dipersetujui oleh kerajaan negeri Sabah melalui proses konsultansi dengan kementerian.

“Kementerian sentiasa komited dalam menyediakan prasarana yang lengkap bagi memberikan kehidupan yang sempurna kepada penduduk-penduduk di luar bandar,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Shafie berkata, tumpuan pembangunan Kerajaan Pusat di Sabah turut meliputi program memperkasa modal insan contohnya pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan kos RM87.3 juta serta pusat GiatMara membabitkan perbelanjaan RM3.1 juta di Libaran.

“Bagi tempoh pelaksanaan program-program prasarana asas luar bandar yang bermula tahun 2010 sehingga kini, satu majlis hari terbuka yang telah dihadiri pemimpin-pemimpin Pusat dan Sabah telah diadakan pada 21 hingga 22 Januari 2010 di Kota Kinabalu.

“Majlis ini bertujuan memaklumkan kepada umum akan perancangan, pelaksanaan projek-projek yang sedang dan akan dibuat khusus untuk negeri Sabah,” katanya.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment