Monday, March 14, 2011

5,000 Pemuda UMNO bantu jentera parti

KUANTAN: 22 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang akan menggerakkan lebih 5,000 ahlinya dari seluruh negeri bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Ketuanya, Abu Jimi Samat, berkata segala persiapan sudah diatur bagi memastikan jentera Pemuda UMNO dalam keadaan terbaik dan bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Saya sudah mendapat taklimat mengenai persediaan yang perlu dilakukan Pemuda UMNO untuk membantu jentera parti selepas menghadiri mesyuarat Perhubungan UMNO negeri, minggu lalu.

“Kita juga sudah mengadakan mesyuarat dengan semua Ketua Pemuda UMNO bahagian, malam tadi (semalam) bagi membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya kecil DUN Kerdau,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abu Jimi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis berkata, secara umumnya segala persiapan sudah dibuat dan menunggu masa untuk digerakkan sebaik menerima arahan pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krau, Rodzuan Zaaba berkata, Pemuda UMNO bahagian itu juga sudah mengenal pasti isu dan permasalahan yang akan dibangkitkan pengundi di DUN Kerdau.

“Kita sudah membuat persiapan menghadapi sebarang isu yang dijangka dibangkitkan pembangkang, terutama berkaitan generasi kedua FELDA dan kampung tradisional, selain isu tanah membabitkan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, akibat penyakit jantung pada 12 Februari lalu. Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin memperoleh 1,615 undi menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment