Monday, March 14, 2011

Jangan Bermain Api, Kata Muhyiddin Kepada Pembangkang

5 Mac 2011, TEMERLOH – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak bermain api dengan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan pemimpin pembangkang membandingkan Malaysia dengan negara-negara tertentu yang sedang menghadapi krisis politik itu adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab.

“Ini provokasi pembangkang…tidak bertanggungjawab, tidak demokratik dan sengaja mahu membuat huru-hara bila mana buat perbandingan situasi di Malaysia bila semua orang tahu, adalah negara yang aman, makmur dan membangun dengan pesat, rakyat jelata menikmati kemajuan yang agak tinggi berbanding negara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra dengan penduduk Kampung Badok di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pemimpin pembangkang dalam siri ceramah pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau di Pahang dan pilihan raya kecil bagi kerui DUN Melaka kawasan Merlimau, yang seolah-olah mengajak rakyat berdemonstrasi menggulingkan kerajaan.

Muhyiddin berkata pembangkang seharusnya jujur jika mahu membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang sedang dilanda krisis politik itu.

“Dia boleh buat perbandingan tapi sebenarnya bukan satu perbandingan (yang) betul, apa lagi membuat provokasi, macam bermain dengan api, memprovokasi rakyat bangkit dan menentang kerajaan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa mengamalkan dasar yang membolehkan rakyat segenap lapisan menyampaikan apa sahaja pandangan atau perkara yang diperlukan untuk perhatian kerajaan menerusi pelbagai saluran.

“Kita mengamalkan sistem demokrasi yang segar di mana setiap lima tahun sekali ada pilihan raya…dia (pembangkang) menang juga, kita pun ada menang dalam pilihan raya kecil, dia kalah, kita pun ada ada kalah.

“Dari segi amalan demokrasi, itu sudah cukup membuktikan negara ini sebuah negara demokratik, negara yang tidak dijalankan atas dasar autokrasi, diktatorial, kalau dibandingkan presiden sebuah negara (lain) dengan Malaysia, (sebenarnya) tidak boleh buat perbandingan,” katanya.

Ditanya apa tindakan kerajaan untuk menangani perkara berkenaan, Muhyiddin berkata negara ini mempunyai sistem undang-undang keselamatan bagi memastikan perkara seperti itu tidak menjurus kepada keadaan yang semakin buruk.

“Kita beri amaran jangan bermain dengan api, kita ada sistem dan pihak berkuasa tentang (mengenai) keamanan dan keselamatan negara. Walaupun begitu, kita memperingatkan rakyat, jangan hancurkan negara ini kerana diprovokasi pembangkang.

“Tujuan (pembangkang) lain tidak ada, hanya nak timbulkan porak-peranda. (Mereka) lebih seronok negara ini hancur, ada pertembungan antara kaum, (mereka) buat provokasi, satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Muhyiddin sebelum itu bersolat Jumaat di Masjid Kampung Badok yang terletak di kawasan DUN Kerdau.

Pilihan raya kecil itu melibatkan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim. Pengundian ialah pada Ahad ini.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment