Monday, March 14, 2011

‘Tak guna ceramah syok sendiri’

KUANTAN: 22 Feb - Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan berkempen dari rumah ke rumah yang lebih mesra pengundi dan tidak syok sendiri, bagi menjelaskan sebarang isu dan permasalahan berkaitan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau, berkata jentera BN akan mengunjungi rumah penduduk bagi memberi penerangan dan menyelesaikan sebarang isu dan masalah yang timbul.

“Saya sendiri tidak akan menghadiri ceramah atau rapat umum sebab tidak guna buat ceramah, jika yang hadir ahli UMNO sendiri, sedangkan kita mahu sokongan pengundi di situ. Perkara sama juga berlaku ketika Pemuda atau Wanita UMNO mengadakan ceramah.

“Misalnya, ceramah PAS dihadiri 4,000 orang, tetapi sebahagian besarnya datang dari luar (untuk dengar ceramah),” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pelajar Anak Pahang dari Universiti Mesir di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, BN tidak akan mengadakan ceramah yang tidak akan mencapai matlamat untuk menyampaikan maklumat berhubung sebarang isu kepada pengundi, sebaliknya pendekatan lebih praktikal ialah berkempen dari rumah ke rumah di DUN Kerdau.

Katanya, pendekatan sama juga pernah digunakan pada pilihan raya kecil DUN Sanggang pada 2000 dan didapati berkesan bagi menangani sebarang isu ditimbulkan pembangkang.

“Setiap orang akan ditugaskan pergi dari rumah ke rumah untuk menemui kelompok pengundi bagi menjelaskan isu tertentu. Jika ada yang mengatakan kerajaan negeri bankrap, kita akan keluarkan surat pegawai kewangan negeri yang menafikan dakwaan itu,” katanya.
Adnan juga tidak menolak kemungkinan pembangkang yang ketandusan isu menimbulkan semula isu yang pernah dimainkan pada PRK DUN Sanggang pada tahun 2000.

Beliau yakin pengundi di Kerdau yang disifatkan kelompok masyarakat luar bandar Pahang, sudah bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tohmahan pembangkang.

“Masyarakat di sini baik, bukan antipembangunan, setia dan akan meluahkan apa yang mereka rasa secara jujur. Mereka akan ketengahkan isu tetapi mereka bijak dan kita yakin mereka akan memberi sokongan kepada kita,” katanya.

Secara umumnya, Adnan berkata, tidak ada isu nasional atau isu tempatan yang boleh dimanipulasi pembangkang kecuali perkara berkaitan projek kecil pembangunan.

Bagaimanapun, beliau percaya harga kelapa sawit dan getah yang baik sekarang, menyukarkan pembangkang untuk meracuni pemikiran pengundi kerana mereka berada dalam keadaan agak selesa.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment