Monday, March 14, 2011

Pengundi wajar terjemah sokongan usaha kerajaan

5 Mac, MERLIMAU – Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau diharap menterjemahkan sokongan mereka terhadap usaha kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dalam memajukan kawasan itu selama ini melalui undian terhadap calon parti itu, esok.

Pengarah Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) DUN Merlimau yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata manifestasi pengundi pada hari pengundian esok penting bagi membolehkan BN meneruskan khidmat dengan lebih cemerlang.

“Rakyat perlu beri pertimbangan sebaik mungkin terhadap rekod perkhidmatan BN selain kerja keras kerajaan negeri, jentera BN dan pegawai membangunkan kawasan ini. Kita bekerja tiga syif di negeri ini, pagi, petang dan malam secara berterusan hingga akhirnya Melaka diiktiraf termaju di Malaysia.

“Jadi kalau pengundi beri sokongan besar kepada BN, lagi ligat ahli parti bekerja selepas ini kerana mereka menjadi lebih bersemangat dan rajin untuk menabur khidmat kepada penduduk di sini,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Merlimau Pasir, di sini semalam.

Mengulas strategi saat akhir sebelum tempoh berkempen tamat tengah malam ini, Mohd Ali berkata, beliau sentiasa mengingatkan jentera parti supaya tidak berhenti bekerja untuk merayu undi sehingga hari pengundian.

Beliau turut membidas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang mendakwa Kerajaan Melaka selama ini menindas kaum India khususnya di kawasan estet di negeri ini dan menyifatkan ia tuduhan serkap jarang’ untuk menarik undi kaum India pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.

“Kita di Melaka jaga semua kaum termasuk Orang Asli dan tidak ada satu pun yang tercicir daripada segala bentuk bantuan, malah mereka turut merasai nikmat pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri. Azmin mana tahu apa berlaku di Melaka.
“Masalah di kawasan sendiri pun tak mampu nak selesaikan, sekarang nak ungkit masalah di tempat orang. Kerajaan Melaka diterajui BN buat lebih baik untuk rakyat pelbagai kaum berbanding negeri di bawah pemerintahan pihak pembangkang,” katanya.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment