Monday, March 14, 2011

Roslan yakin terus kekal mandat

5 Mac 2011, MERLIMAU – ‘.“Saya sudah melakukan yang terbaik dan hanya tawakal serta berserah kepada pengundi untuk membuat pilihan,” kata calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad menjelang hari penentuan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, esok.

Roslan, 44, bagaimanapun yakin kemenangan berpihak kepadanya berdasarkan sambutan dan maklum balas pengundi sepanjang tujuh hari beliau berkempen dan atas faktor BN sememangnya mendapat sokongan pengundi di kawasan itu sejak sekian lama.

“Momentum itu akan memberi kelebihan kepada saya. Insya-Allah ia akan diterjemahkan kepada undi, Ahad ini,” kata bekas Pengurus Bahagian Pembangunan Bisnes dan Sosio-Ekonomi, Perbadanan Melaka Hol-dings Sdn Bhd itu ketika ditemui di Permatang Serai, semalam.

Selepas solat Jumaat, Roslan ditemani isteri, Zalifah Omar, 38, meneruskan kempen ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin menyertai program ramah mesra bersama nelayan muda di Jeti Merlimau Pantai dan veteran UMNO serta menyertai Sukan 1Malaysia di Taman Muhibbah.

Sehingga semalam, beliau sudah menemui lebih 80 peratus pengundi DUN Merlimau dan akan menggunakan kesempatan pada fasa terakhir kempen untuk melakukan tinjauan mesra di seluruh DUN, manakala baki 20 peratus lagi pengundi menetap di luar yang didekati melalui laman sosial Facebook.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS bagi DUN Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, berkata parti berkenaan memperoleh 41 peratus pengundi Melayu, 75 peratus Cina dan 30 peratus India, sekali gus optimis merampas kerusi itu daripada BN dengan mengharapkan undi protes secara senyap.

Calon PAS, Yuhaizad Abdullah, pula berkata beliau mengenal pasti 20 masalah yang dihadapi pengundi di kawasan terbabit, antaranya tiada lampu isyarat di beberapa persimpangan, kekurangan lampu jalan, masalah perparitan dan kadar cukai pintu yang tinggi.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menuduh kira-kira 750 orang di luar daerah Merlimau ditawarkan pihak tertentu menjadi pengundi hantu dengan habuan lumayan selain mendakwa pemimpin PAS menerima SMS berbaur ugutan daripada pihak yang menggelar diri mereka ‘Geng Jebat Derhaka’.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

No comments:

Post a Comment