Wednesday, June 01, 2011

Enam Belas Dakwa Ditipu Terpilih Bertanding Pilihan Raya Sarawak

SIBU, 20 April — Seramai 16 lelaki mendakwa ditipu oleh dua orang yang kononnya mewakili Umno untuk memilih mereka ini menjadi calon parti itu pada pilihan raya negeri 16 April lepas.


Seorang daripada mereka, Joseph anak Lebun, 27, mendakwa mereka dijanjikan RM1 juta tiap seorang sebagai perbelanjaan pilihan raya dan RM250,000 sebagai wang jaminan sama ada kalah atau menang apabila bertanding.


Ketika dihubungi Bernama pada Rabu, Joseph berkata mereka telah menjalani tapisan peluang kemenangan oleh dua lelaki yang mendakwa mewakili sebuah badan dikenali sebagai Jawatankuasa Penajaan Umno Sarawak (JPUNS).


Umno tidak mempunyai cawangannya di Sarawak.


Joseph, yang mendakwa dipilih untuk bertanding bagi kerusi Katibas, berkata beliau telah meletak jawatan sebagai pekerja luar pesisir di Singapura kerana begitu terpengaruh oleh pujukan seorang daripada lelaki berkenaan.


“Saya membelanjakan hampir RM50,000 wang sendiri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya itu sejak enam bulan lepas,” katanya.


Malah, katanya, mereka telah mengisi borang penclonan tetapi dua hari menjelang hari penamaan calon, mereka menerima SMS berbunyi “Kitak Tak Jadi Bertanding” (Kamu Tak Jadi Bertanding).


Isnin lepas, Joseph dan lima yang lain membuat laporan di Ibu Pejabat Polis di sini terhadap dua lelaki berkenaan kerana “mereka-reka cerita, memperdaya dan membohongi” mereka.


“Malah, saya telah mencetak poster, menubuhkan jentera pilihan raya dan membayar deposit bagi penyewaan bot panjang serta bilik gerakan.


“Sekarang, para penyokong saya meragui kredibiliti saya dan nama baik saya telah tercemar kerana mereka berpendapat saya telah dibeli,” kata Joseph.


Seorang lagi, Salleh Mahli, yang telah bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Dalat dengan menggunakan perbelanjaan sendiri, berkata dua lelaki berkenaan telah menghilangkan diri selepas mengirim SMS itu.


“Memandangkan pilihan raya Parlimen akan menjelang, saya harap tiada pihak lain yang akan menjadi mangsa. Biarlah apa yang terjadi kepada kami menjadi pengajaran,” katanya.


BERNAMA

No comments:

Post a Comment