Wednesday, June 01, 2011

Saman RM20 juta Nik Sapeia terhadap PDRM, kerajaan ditolak

KOTA BAHARU: 20 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos dua saman bernilai RM20 juta seorang ahli perniagaan Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia.


Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim juga memerintahkan Nik Sapeia menanggung kos sebanyak RM60,000 bagi kes saman berhubung dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai 2006.


Dalam penghakimannya, Ahmad Zaidi berkata, kedua-dua saman ditolak selepas Nik Sapeia gagal membuktikan tuntutan beliau.


Ahmad Zaidi berkata, tindakan defendan menahan Nik Sapeia selama sejam 15 minit adalah wajar walaupun tempoh reman sudah tamat kerana ia melibatkan perjalanan plaintif yang dibawa ke balai polis serta prosedur keterangan seperti mengambil gambar, cap jari dan kawad cam.


Nik Sapeia diwakili peguam Zainal Abidin Mustafa, manakala PDRM dan kerajaan Malaysia oleh Peguam Kanan Persekutuan Idham Abdul Ghani.


Nik Sapeia, 57, memfailkan writ saman kedua-dua saman di Mahkamah Tinggi pada 13 Ogos 2006 dan menamakan Pegawai Penyiasat ASP Baharin Mohd Noh, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.


Plaintif, yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), mendakwa kesemua defendan mempunyai niat untuk menjatuhkan maruah beliau ketika mengendalikan kes berhubung pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Dr Mahathir dan tiga yang lain.
Nik Sapeia juga mendakwa defendan secara salah menahan beliau dan menafikan hak kebebasannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.


Plaintif mendakwa tindakan defendan itu menyebabkan beliau mengalami kerugian dalam perniagaan, selain menjejaskan reputasi serta kredibilitinya di mata masyarakat, terutama rakan perniagaan di dalam dan luar negara.


Sehubungan itu, Nik Sapeia menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment