Wednesday, June 01, 2011

Pengaruh Anwar mencaturkan kepimpinan PAS

nik-aziz-anwar440


Menjelang Julai ini, PAS tetap tidak membatalkan pemilihan bagi semua jawatan dan pencalonan untuk pelbagai jawatan seperti Presiden sudahpun bermula.Bukan PAS tidak menyedari pemilihan lazimnya mencetuskan perbalahan dan mewujudkan kem-kem namun parti yang menggunakan imej Islam itu memilih untuk mengenepikan hakikat berkenaan. Pengamalan sikap berpuak-puak dalam PAS ataupun dalam apa jua pertubuhan boleh menjejaskan perjalanan parti itu lebih-lebih lagi ketika persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 sedang giat dilakukan. Atas sebab perkiraan ini barangkali, UMNO dan MIC serta beberapa parti lain menangguhkan pemilihan parti sekurang-kurangnya setahun ataupun 18 bulan dalam kes UMNO.Bagi kebanyakkan daripada kita merasakan keputusan PAS meneruskan pemilihan adalah bukti ia tidak takut untuk diuji oleh ahli-ahli. PAS percaya siapa saja naik dan siapa jua yang diturunkan, akhirnya PAS akan bersatu hati dan tenaga menghadapi musuh bersama iaitu UMNO.PAS tidak pernah bimbang walaupun pemilihan boleh membuatkan parti itu tidak sekuat sebelum berlangsungnya pemilihan parti. Bagi parti yang memperagakan imej lslam itu, kebanyakan pemimpin di peringkat Pusat serta juga jawatankuasa tertingginya akan diundi semula untuk dikekalkan sepenggal lagi. Mungkin 10 peratus saja akan kecundang serta diganti dengan muka-muka baru.

Di peringkat kawasan pula dan disebabkan pelbagai faktor, 177 kawasan akan menyaksikan pemimpin mereka dikekalkan. PAS bukan seperti UMNO dan pemimpinnya. Walaupun tidak semua, rata-rata pemimpin PAS pun tidak ghairah mahu menjadi YB. Justeru bagi ahli-ahli diperingkat grassroot, siapa saja yang dinaikkan dulu, boleh diturunkan hari ini dan bagi mereka yang sudah di puncak pula tidak akan terlepas dari prestasi mereka dinilai dari masa ke semasa dan dari pelbagai sudut.


Lazimnya pemimpin Bahagian yang tidak sealiran dengan pucuk pimpinan akan menerima padah. Dengan demikian dasar parti anjuran pucuk pimpinan dapat disenyawakan mengikut dasar yang digariskan oleh pihak Ibu Pejabat.


Sesetengah pemerhati merasakan PAS terpaksa mengadakan pemilihan tahun ini, parti tersebut seolah-olah menyedari ia sedang berdepan dengan dilemma kepimpinan. PAS dilihat seperti sudah ada dua nakhoda. Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang dilihat tidak sebagai “sealiran” dengan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.


Tanpa mengambil kira reaksi terhadap peristiwa terbaru di mana Haji Hadi berpelukan dan bersalaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pasar di kawasan DUN Beting Maro, Sarawak tatkala acara turun padang parti masing-masing dalam kempen Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10 beberapa hari lalu yang seolah-olah memperlihatkan harapan betapa kerajaan perpaduan akan menjadi realiti juga satu hari nanti, sudah ada tanda-tanda “fatwa” Hadi disanggah oleh Nik Aziz.


Memerhatikan politik dalaman PAS sekalipun dari jarak jauh, Hadi dilihat banyak mengalah. Di peringkat akar umbi hal ini tidaklah sebegitu ketara kerana kebijaksanaan semua pihak memelihara keharmonian. Seperti kata pepatah Melayu, diam ubi tidak bererti tidak ada ubi, ia tetap berisi manakala diair yang tenang pula, usah dijangka tidak ada sang buaya. Sama ada buaya atau ubi, kedua-dua peribahasa lama ini membayangkan krisis ini semakin sukar untuk disembunyikan dari pengetahuan umum.


Kalau dulu PAS ibarat sebuah keluarga tanpa dipengaruhi tangan-tangan dari luar namun kini ia ibarat kata seorang bekas anggota Mafia, “lt takes all kinds of good meat to make a good sauce.” Hakikatnya ialah betapa pengaruh luar lebih terkedepan perancangannya dan akan membiarkan kuah yang sedia ada berkemungkinan besar basi begitu sahaja.


Sudah ada tanda amat jelas kewujudkan dua puak dalam PAS: kumpulan yang memihak kepada Presiden dan puak yang menyebelahi Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau juga dikenali dengan panggilan Erdogan. Kumpulan Erdogan lebih mirip kepada intelektual serta professional lulusan luar negara serta mereka yang di bawah usia 50 tahun.


Meskipun Anwar bukanlah ahli PAS dan jauh sekali mahu memohon untuk menjadi ahli parti itu, sebilangan ahli PAS melihat Anwar sebagai de fakto Perdana Menteri. Dengan lain kata, bagi mereka Anwarlah pemimpin masa hadapan. Kalangan PAS sendiri kurang percaya kemampuan Hadi mentadbir kerajaan seperti mana mereka mengkagumi kemampuan Anwar dalam hal ini. Puak ini dibantu dengan penyokong Anwar di zaman Anwar masih menjadi Presiden ABIM. Mereka inilah yang menjadi alat mencatur peranan Anwar di dalam dan di luar PAS.


Dan kerana awal-awal lagi Nik Aziz seperti terpukau dengan magis dan aura Anwar maka kumpulan yang pro Anwar dilempar talian hayat serta pada masa yang sama menjadikan mereka Kuda Trojan bagi membolehkan Anwar merencanakan strateginya dari luar. Selagi ada Nik Aziz selagi itu Anwar ada talian hayat didalam PAS.



Perkara ini telah disedari banyak pihak. Malah kem yang rapat dengan Presiden partipun menyedari pengaruh Anwar didalam PAS begitu kuat.


Senario yang berlaku sejak setahun kebelakangan ini membuat Presiden dan “all the president’s men” mulai menampakkan sikap berkecuali; tidak lagi nampak tanda-tanda mereka anti-Anwar. Dan kerana faktor ini serta melihat kepada peluang yang cerah untuk ke Putrajaya membuatkan Presiden parti turut menyusun langkah dan menukar rentak kepada rentak memihak kepada Anwar pula.


Contohnya dalam kes video lucah yang dikatakan membabitkan Anwar dengan seorang pelacur China, Hadi selain dari mengetuai sembahyang hajat, beliau juga membuat kenyataan yang dilihat memihak kepada Anwar. Soal sama ada solat hajat itu meminta Allah mengekalkan Anwar selaku pemimpin dan memohon Anwar menjadi Perdana Menteri sudah tentu tidak termasuk dalam doa solat hajat berkenaan.


Yang didoakan adalah soal kesejahteraan Anwar dan memohon petunjuk agar Allah menunjukkan kebenaran. Untuk rekod umum, solat hajat yang dijaja diadakan hampir di banyak tempat kini semakin tidak lagi kedengaran apatah lagi pihak PDRM sudahpun mengatakan lelaki didalam video berkenaan telahpun dikenalpasti.


Nampaknya strategi yang dipasang oleh pemimpin pro Anwar ialah mencalonkan mereka yang berminat menjadi pengganti Hadi dan Nasaruddin iaitu bagi jawatan Presiden dan timbalan.Justeru tiga jawatan Naib Presiden juga akan dicalonkan mengikut calon yang pro Anwar.


Bagaimanapun Husam yang dicalonkan bertanding menentang Hadi, awal-awal lagi menolak pencalonan dan mengikrarkan kesetiaan menyokong presiden parti dan menganggap Hadi seperti seorang mentor yang mendidiknya sejak zaman universiti lagi.


Jawatan Timbalan Presiden sebenarnya adalah idaman kumpulan Erdogan. Tapi siapakah calon pilihan Erdogan yang mampu menjadi orang nombor dua dan bakal pengganti presiden?


Calonnya adalah penting kerana jawatan Timbalan adalah calon yang bakal menjadi Presiden seandainya Hadi meningalkan parti ataupun enggan kekal memimpin PAS. Masalahnya walaupun Nasaruddin tidaklah sekebal mana namun kerana kesetiaan Nasaruddin kepada Presiden selama ini maka kem Hadi masih kekal menyokongnya.


Hal ini tentu membimbangkan kumpulan Erdogan. Mereka tak mahu dilihat berkonfrontasi dengan kem Hadi. Pencalonan Mat Sabu, sahabat Anwar sejak zaman ABIM ke jawatan timbalan dilihat dibuat untuk kacau daun. Mat Sabu bukanlah calon yang dilihat layak serta berwibawa menjadi pemimpin kedua atau pemimpin de fakto andai kata sesuatu berlaku kepada Hadi.


Mat Sabu bukanlah seperti Tan Sri Mahyuddin Yassin dalam UMNO yang bukan saja layak dan setia menunggu giliran malah mempunyai ketokohan tersendiri. Malah hubungan Mat Sabu dengan Anwar sudah lama sejuk iaitu sejak Anwar masih dalam UMNO. Usaha menjernihkan hubungan mereka setakat memanis mulut saja.


Walau apa dan cara apa digunakan, setakat ini kedudukan Nasaruddin tidaklah membimbangkan selagi kem Hadi masih memerlukan regu Nasaruddin dan Hadi. Sifir politik PAS ini boleh berubah jika Nik Aziz berjaya meyakinkan perwakilan serta meyakinkan Hadi sendiri betapa PAS memerlukan seorang tokoh yang lebih berwibawa seperti Salahuddin atau Husam atau sesiapa saja yang mendapat pengiktirafan dari Anwar.


Sehingga rencana ini ditulis, pemilihan kali ini dilihat sengit kerana ia adalah pemilihan bagi membersihkan PAS dari kumpulan yang menyimpan bau UMNO. Nasaruddin yang dilihat rapat dengan idea mewujudkan kerajaan perpaduan dilihat terlalu dekat dengan UMNO dari rapat dengan Anwar dan PKR apatah lagi DAP. Justeru umum melihat tanda-tanda macam PAS sudah bersedia mengorbankan beliau.


Dan menjelang pilihanraya umum akan datang, PAS dengan mudah akan menyenaraikan calon-calon yang pro Anwar agar usaha Anwar dalam apa jua rencana tidak terhalang oleh “little napoleon” tidak sebulu dengan gagasan Anwar.


Anwar mungkin bukan ahli PAS namun peranannya lebih penting dari peranan pemimpin serta jemaah pimpinan parti tersebut kerana setakat ini rancangan Anwar membariskan “orang-orangnya” dalam PAS tidak pernah gagal.


Dipetik daripada : mykpmu.net

1 comment:

  1. Hello, Saya Puan Sandra Ovia, wang pemberi pinjaman swasta, adakah anda dalam hutang? Anda memerlukan rangsangan kewangan? kami juga menyediakan pinjaman akhir tahun, pinjaman untuk christmas pakej, tahun baru, seorang sehingga bil anda, mengembangkan perniagaan anda dan juga untuk pengubahsuaian rumah anda. Saya memberi pinjaman kepada syarikat-syarikat tempatan, antarabangsa dan juga pada kadar faedah yang sangat rendah sebanyak 2%. Anda boleh menghubungi kami melalui E-mel: (sandraovialoanfirm@gmail.com)
    Anda dipersilakan untuk syarikat pinjaman kami dan kami akan memberikan anda perkhidmatan yang terbaik kami.

    ReplyDelete