Wednesday, July 09, 2014

Azmin Selesa di Hadapan, Khalid Makin Tertekan

9 Julai 2014 - Sudah kelihatan tanda-tanda kemungkinan besar Azmin Ali selaku penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR akan mengekalkan kedudukannya setelah keputusan rasmi Pemilihan PKR 2014 jelas menunjukkan anak didik Anwar Ibrahim itu sedang selesa di hadapan berbanding dua pencabarnya yang lain.

Mengikut keputusan yang dipaparkan menerusi laman rasmi parti itu, undi yang diperolehi Azmin tika ini berjumlah 21,066 undi diikuti oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dengan perolehan 17,608 undi sementara Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pula sekadar meraih 9,944 undi.

Dengan kelebihan 3,458 undi majoriti berbanding Khalid yang merupakan pencabar utamanya, kelihatan Azmin sudah boleh tersenyum lebar memandangkan baki 7 lagi Cabang PKR yang belum mengundi atau belum disahkan undinya dijangkakan tidak akan banyak mengubah keputusan tersebut melainkan ada keajaiban yang berlaku.

Keputusan rasmi yang bersandarkan pada jumlah perolehan undi yang sah dikira sehingga 28 Jun 2014 itu bagaimanapun agak bertentangan dengan perkhabaran yang diuar-uarkan oleh kem Khalid sebelum ini yang mendakwa MB Selangor itu sedang mendahului dengan kelebihan 700 undi majoriti.

Entah apa puncanya yang menyebabkan kiraan undi oleh kem Khalid bercanggah dengan keputusan rasmi yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Pusat sukar dijelaskan, tetapi ini bukan kali pertama kem Khalid menyebarkan jumlah kiraan undi yang tidak menepati keputusan sebenar.

Percanggahan ini boleh diandaikan kemungkinan kiraan undi oleh kem Khalid adalah tepat tetapi wujud unsur sabotaj semasa penjumlahan undi yang rasmi oleh pihak tertentu, atau ia sebenarnya mendedahkan Khalid sedang tertekan memaksa penyokongnya menyebarkan propaganda untuk menimbulkan keraguan terhadap keputusan rasmi pemilihan.

Mana-mana satu andaian di atas yang mana satu benar dan yang mana satu tidak, ia tetap menuntut penjelasan kukuh dari PKR. Satu kebenaran yang tidak dapat dinafikan sesiapa, Pemilihan PKR 2014 sememangnya terlalu haru biru dan banyak keraguan yang berlaku dan jarang-jarang wujud dalam pemilihan parti politik lain.

Apa pun, jika keputusan rasmi terbaru itu dijadikan sandaran tidak syak lagi ia hanya akan menambah tekanan kepada Khalid kerana seandainya ia berkekalan sedemikian, bermakna kedudukannya sebagai MB Selangor akan semakin tergugat dan akan timbul lebih banyak asakan mendesaknya melepaskan jawatan tersebut.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment