Monday, July 14, 2014

Perlu Ramai Pemimpin Seperti Mahathir Untuk Bendung Kezaliman Zionis

14 Julai 2014

Keganasan dan kegilaan Regim Zionis bukan berlaku dalam sehari dua ini sahaja, namun kezaliman ini sudah melebihi 50 tahun dan dunia melihat bagaikan tiada kesudahan. Islam bukan sahaja dicabar malah lebih teruk dari itu, Islam dihina secara terang-terangan.

Persoalannya di mana suara Pemimpin Islam dunia? Persoalannya masih wujudkah istilah ‘keberanian’ pada diri Pemimpin Islam? Persoalannya untuk apa Liga Arab ditubuhkan?

Menurut sumber, saat artikel ini ditulis, angka kematian akibat bedilan roket dari regim Zionis ke atas Gaza sudah melebihi 150 nyawa terkorban dan ratusan lagi yang cedera parah termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa.

Penulis amat kagum dengan konsistensi Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang tidak pernah rasa gentar untuk menyelar Regim Zionis yang dilihat semakin hilang sifat kemanusiaan dalam diri mereka.

Apa yang terjadi pada Pemimpin Dunia Islam yang lain seperti Muamar Gaddafi, Hosni Mubarak dan Saddam Hussin sedikitpun tidak melemahkan semangat Tun Mahathir untuk bersuara mengkritik Israel secara terbuka. Bagi Tun Mahathir, strategi Yahudi menjatuhkan Pemimpin Islam yang bersuara lantang sedikitpun tidak melemahkan semangatnya untuk menegakkan kebenaran di peringkat antarabangsa.

Keberanian Tun Dr Mahathir bukan sahaja dalam negaranya sendiri malah Ulama Dunia terkenal, Sheikh Imran Hossein menyatakan Tun Dr Mahathir adalah satu-satunya pemimpin Islam di dunia yang berani bersuara di peringkat antarabangsa.

Tegas Sheikh Imran lagi, Tun Dr Mahathir berani mengkritik Barat dan juga Yahudi tanpa rasa takut atau gentar demi menegakkan Islam.

Dunia tidak akan lupa Tun Dr Mahathirlah yang menggerakkan negara Islam yang lain untuk membantu Bosnia Herzegovina ketika umat Islam disana dibunuh seperti binatang oleh pengganas Serbia.

Dunia juga tidak lupa Tun Dr Mahathirlah yang menghantar ratusan komando Malaysia yang dibawa masuk secara sulit ke Bosnia untuk membantu saudara seIslam kita ketika era pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Bosnia ketika itu.

“Kalau negara Arab ini tidak datang membantu, kita hantar sahaja askar kita,” – Tun Mahathir.

Ketika era Yasser Arafat, Tun Dr Mahathir pernah menangis ketika melawat “bunker” yang menjadi pejabat Yasser Arafat di Palestin. Beliaulah pemimpin Islam yang Yasser Arafat hubungi meminta bantuan dan pertolongan ketika diserang oleh rejim zionis.

Penulis teringat satu ketika Tun mempertaruhkan nyawa isterinya,Tun Dr Siti Hasmah menaiki pesawat ke Baghdad membawa bantuan kemanusiaan kepada umat Islam demi untuk melepaskan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat sekutu Israel.

Penulis tertarik dengan pandangan pakar analisis politik dunia yang menganggap Mahathir merupakan seorang pemimpin dunia yang berjaya meskipun memimpin sebuah negara yang kecil. Beliau bukan hanya berjaya memerdekakan negaranya dari semua segi, tetapi berusaha memerdekakan negara-negara lain dari belenggu falsafah pembangunan yang dijana dari barat yang jelas muflis idealistiknya.

Kini kita di Malaysia amat bersyukur kerana bukan sahaja Tun Dr Mahathir yang berani lontarkan suara supaya dunia ‘mendengar’, kita juga memiliki seorang lagi pemimpin yang cepat bertindak, terkini Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib Tun Abd Razak juga terus mengecam tindakan Zionis menceroboh dan menyerang Gaza tanpa peri kemanusiaan.

Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib terus menghantar bantuan kemanusiaan untuk membantu Gaza melalui wakil Biro Misi Kemanusiaan, Datuk Azeez Rahim, 50 orang Doktor bersiap sedia untuk ke Gaza. Ini adalah ‘suara’ yang amat jelas dari sebuah negara Islam yang kerdil yang tidak pernah putus-putus menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan ke seluruh dunia demi membawa mesej keamanan sejagat.

Penulis secara peribadi amat berbangga kerana kita mempunyai Pemimpin yang berjiwa murni dan melangkaui batasan politik demi kesejahteraan dunia Islam khasnya.

Dato Seri Najib juga telah menunjukkan rekod cemerlang dalam menjadi perantara atau orang tengah dalam menyatukan konflik di Filipina dan juga terbaru di Selatan Thai, penyatuan antara Islam dan bukan Islam.
Mudah-mudahan “Legasi Keberanian Tun M” kekal di bumi keramat ini. Mungkin kerana inilah maka Malaysia masih lagi Allah swt kekalkan keamanan walaupun diuji dengan pelbagai ujian dari anasir dalam dan luar negara.

Oleh : Riana Abd Aziz

No comments:

Post a Comment