Tuesday, February 23, 2016

Guan Eng Samakan Isu Tamat Jawatan ADUN PKR Dengan Kes PKR Pecat Khalid Ibrahim

Mengata dulang paku serpih... Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta supaya Menteri besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memahami keputusan yang dibuat kerajaan negeri bersabit penamatan jawatan dua wakil rakyatnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jelas Guan Eng, tindakan itu diambil kerana dua wakil PKR itu membuat keputusan membelakangkan parti seperti mana yang berlaku ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.

“Bila Khalid tidak melaksanakan keputusan dibuat parti, PKR perlu membuangnya. DAP menghormati keputusan PKR.

“Saya percaya Azmin menegakkan prinsip itu. Saya harap beliau boleh faham,” kata Guan Eng pada sidang media ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Guan Eng berkata demikian selepas Azmin membantah tindakan itu terhadap ADUN Kebun Bunga Cheah Kah Peng dan ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen daripada Penang Hill Corporation dan Invest Penang and Island Golf Properties Bhd, anak syarikat kepada syarikat pelaburan kerajaan negeri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Azmin berkata, PKR menghantar surat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu.

Dua ADUN berkenaan ialah antara lima ADUN yang dilarang mengundi terhadap usul dibawa Barisan Nasional berhubung pengambilan tanah ketika persidangan Dewan Undangan Negeri pada November lalu.

Guan Eng berkata kerajaan negeri belum menerima surat itu.

Katanya, Azmin mungkin tidak tahu secara keseluruhan apa yang berlaku di Pulau Pinang.

Beliau juga “sedikit terkejut” apabila Azmin membangkitkan perkara itu secara umum di media kerana selama ini isu dalam gabungan Pakatan Harapan dibincangkan secara tertutup.

Guan Eng berkata menjadi tradisi untuk semua parti dalam gabungan itu tidak masuk campur dengan hal ehwal negeri yang ditadbir.

“Kita ada persefahaman yang dihormati.

"Pernah anda lihat saya komen mengenai perkara berkaitan negeri yang ditadbir parti Pakatan lain? Saya hanya cakap mengenai Kelantan selepas PAS berundur daripada pakatan.?

“Dalam majlis eksekutif kerajaan negeri, parti ada exco mereka masing-masing untuk membincangkan isu,” katanya dan menambah Azmin juga boleh membangkitkan perkara itu ketika mereka bertemu di Majlis Raja-raja, minggu lalu.

Mengenai sama ada beliau akan pertimbangan rayuan Cheah dan Ong, Guan Eng mengesahkan exco PKR ada membuat rayuan bagi pihak kedua-dua Adun itu tetapi beliau mahu melihat penjelasan terhadap tindakan mereka.

“Saya difahamkan parti mereka mahu mereka bertemu saya tapi belum berbuat demikian.

“Kita tidak boleh beroperasi dengan cara ini. Kita tidak boleh mempunyai sistem di mana setuju dalam mesyuarat tapi buat keputusan lain di luar. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment