Tuesday, February 23, 2016

Pelan Transformasi Tingkat Kualiti Perkhidmatan PBT

https://i.ytimg.com/vi/f8g38g_xzl8/hqdefault.jpg
PUTRAJAYA : Mesyuarat Ke-70 Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan hari ini meluluskan Pelan Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibangunkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT serta mengambil kira kehendak rakyat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata semua kerajaan negeri bersetuju dengan pelan ‘PBT Dekat di Hati Rakyat’ pada mesyuarat itu, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Beliau berkata pelan itu antara lain bertujuan membantu kerajaan mendengar suara rakyat dengan lebih telus berhubung perkhidmatan yang disediakan PBT, selain mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Rahman berkata jelajah Pelan Transformasi PBT akan bermula pada Mac ini sebelum dilancarkan pada Mei ini.

Pelan itu menggariskan enam teras iaitu pembangunan modal insan, kecekapan perkhidmatan, pengukuhan kewangan, kesejahteraan rakyat, penglibatan rakyat dan komunikasi berkesan dan lapan projek berimpak tinggi.

Abdul Rahman berkata memandangkan lebih 70 peratus rakyat tinggal dalam kawasan PBT, oleh itu PBT memainkan peranan yang amat penting kerana segala permasalahan dan kesejahteraan rakyat berada dalam tanggungjawab PBT.

“Rakyat juga mempunyai hak untuk mendengar dan didengari. Jadi, semua PBT diwajib memaklumkan bagaimana kutipan cukai pintu dan cukai tempatan dibelanjakan supaya rakyat boleh memahami kekangan dan cabaran dihadapi oleh PBT,” jelasnya.

Menurutnya beberapa program berimpak tinggi yang penting dalam program transformasi PBT itu melibatkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT yang mungkin membolehkan penjawat PBT dipindahkan di antara PBT negeri-negeri.

“Kita minta kebenaran kerajaan negeri untuk mempertimbang agar pegawai-pegawai dapat dipindahkan ke mana-mana kawasan negeri masing-masing selain dapat memasuki perjawatan kerajaan negeri. Ini akan memberi prospek kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata PBT juga diminta mengadakan pertemuan ‘townhall’ atau taklimat umum bersama masyarakat untuk mengeratkan lagi kerjasama supaya rakyat dapat terbabit sama dan berkongsi maklumat dengan PBT.

“Malah, PBT juga boleh gunakan ini sebagai landasan untuk memaklumkan masalah dan cabaran dihadapi terutamanya kekurangan kewangan atau kakitangan yang menyebabkan perkhidmatan terganggu.

“Jika kedua-dua pihak memahami antara satu sama lain, saya percaya rakyat dapat pemahaman lebih jelas sekali gus mewujudkan keyakinan baharu rakyat terhadap PBT,” katanya.

Abdul Rahman berkata langkah itu juga akan mengelak PBT daripada dikritik selain memastikan tiada pihak memanipulasi sesuatu maklumat hingga boleh menimbulkan fitnah.

Menerusi pelan transformasi itu, kementerian akan menubuhkan Institut KPKT di Bukit Tinggi, Pahang sebagai pusat latihan kecemerlangan bagi memperkasa pentadbiran PBT mengambil kira tuntutan-tuntutan semasa pada masa sekarang.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata beberapa program berimpak tinggi yang telah dikenal pasti ialah tiga aplikasi baharu iaitu Kepochi, Orang-e dan Teduh, yang boleh dimuat turun secara percuma di platform Android and iOS.

“Aplikasi Kepochi ini membolehkan orang ramai membuat aduan permasalahan mereka seperti jalan berlubang dan aduan itu akan terus sampai kepada pihak berkuasa tempatan.

“Orang-e pula mampu memadankan pembeli dengan penjual tempatan serta untuk berkongsi kereta manakala aplikasi Teduh berfungsi mencarikan pembeli bagi unit hartanah kediaman Bumiputera yang tidak terjual,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment