Monday, February 22, 2016

Ustaz Kazim Dibenar Keluar HUSM, Perlu Jaga Kesihatan

KOTA BHARU : Pendakwah bebas Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Isnin, selepas empat hari menerima rawatan akibat penat dan sakit dada.

Mohd Kazim berkata selepas mengambil kira arahan doktor, beliau memutuskan untuk berehat selama enam minggu daripada memenuhi sebarang jemputan ceramah.

"Ini bagi memberi ruang kepada saya berehat sepenuhnya untuk kembali sihat seperti biasa sebelum meneruskan aktiviti ceramah," katanya kepada pemberita di HUSM di sini, Isnin.

Mohd Kazim, 44, berkata walaupun mengalami peringkat permulaan serangan jantung, ia cukup memberi kesan besar kepada dirinya berhubung penjagaan kesihatan.

Beliau berkata apa yang dialaminya itu mungkin peringatan untuk beliau memberi lebih fokus kepada kesihatan dan merancang semula jadual ceramah selepas ini.

"Syukur pada Allah kerana keadaan saya beransur pulih selepas menjalani rawatan angiogram semalam. Hari ini, saya boleh berjalan, bercakap dengan lancar dan bernafas dengan baik.

"Ribuan terima kasih kepada barisan pakar yang merawat saya dan doa semua masyarakat di luar sana," katanya yang akan pulang ke rumahnya di Manjoi, Perak dengan menaiki helikopter, petang ini di padang HUSM.

Dalam pada itu, beliau agak terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang menyebarkan khabar angin mengatakan beliau sudah meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Perkara tersebut amat mengganggu emosi banyak pihak terutama keluarga terdekat. Ia membabitkan nyawa dan perasaan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Bagaimana jika perkara ini berlaku kepada mereka," katanya.

Beliau yang juga terkenal melalui slot ceramah 'Kalau Sudah Jodoh' berkata seminggu sebelum terkena serangan jantung, beliau mengalami sakit telinga, belakang, dada dan tidak dapat tidur malam selain cepat penat ketika berceramah.

Mohd Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok, 9.30 malam Jumaat lepas.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment