Tuesday, February 23, 2016

Politik Lebih Stabil, Ringgit Dijangka Kukuh

http://www.thestar.com.my/~/media/online/2016/02/22/05/29/julia-goh-uob-malaysia.ashx/?w=620&h=413&crop=1&hash=F447FD78E664AF8C75F78F5E51958D5B99303E50
Persekitaran politik negara yang kini lebih stabil serta kemampuan kerajaan menangani pelbagai risiko ekonomi, bakal memberi impak positif kepada paras ringgit pada tahun ini.

Penganalisis Ekonomi United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB), Julia Goh berkata, hanya faktor luaran seperti perubahan dasar kewangan di Amerika Syarikat (AS), nilai mata wang China renminbi serta harga minyak dilihat sebagai penentu nilai ringgit pada masa ini.

“Persekitaran politik pada masa ini lebih stabil berbanding pertengahan tahun lalu dan pelbagai cabaran ekonomi dapat dikawal dengan baik oleh kerajaan. Ia memberi keyakinan kepada pelabur dan agensi penarafan.

“Nilai sebenar ringgit sepatutnya lebih baik daripada nilai pada masa ini. Tetapi, tentu sekali sukar untuk menyaksikan nilai ringgit terus mengukuh secara mendadak kesan kestabilan politik dan ekonomi. Masih ada faktor luaran yang boleh menjejaskan ringgit,” katanya semasa membentangkan unjuran ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Ringgit ketika ini didagangkan sekitar RM4.20 berbanding dolar AS. Pada 2015, ringgit merupakan mata wang di rantau Asia Pasifik yang mengalami kemerosotan pa­ling teruk iaitu susut 18.6 peratus berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, sehingga 18 Februari lalu, ringgit telah mengukuh sebanyak 2.9 peratus berbanding dolar AS, kedua terbaik berbanding yen Jepun.

Dalam pada itu, Goh berkata, masih terlalu awal untuk menentukan impak pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz terhadap ringgit kerana kesannya hanya boleh diketahui selepas pengganti beliau dipilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu berkata, kerajaan akan memutuskan dalam waktu terdekat berhubung pelan pengganti Zeti.

“Hal yang sama juga berlaku terhadap pilihan raya negeri Sarawak pada tahun ini. Kesan kepada ekonomi negara hanya diketahui selepas pilihan raya itu dilaksanakan. Saya merasakan persepsi umum terhadap politik negara kini lebih stabil,” kata Goh.

Beliau juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 4.2 peratus iaitu berada di dalam sasaran kerajaan iaitu antara empat hingga 4.5 peratus, sementara ringgit dijangka berlegar sekitar RM4.10 hingga RM4.20 tahun ini.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment