Tuesday, September 22, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1430 Hijrah

Assalamualaikum W.B.T,


Buat semua pengikut-pengikut Blog ini serta kesemua Ahli UMNO di seluruh Malaysia, Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir & Batin diucapkan daripada saya kepada kesemua. Di harapkan semoga Hari Raya pada hari ini membawa jutaan peengertian buat kita semua, mudah-mudahan...
Yang ikhlas;
Syamsul Amri bin Hj Ismail serta keluarga

Thursday, September 03, 2009

Facebook Diguna Untuk Tentang Islam !

Fenomena facebook di seluruh dunia semakin pesat. Zaman ini, sesiapa yang tidak tahu tentang facebook dikategorikan sebagai buta IT. Benarkah? Terpulanglah kepada anda. Tetapi sekadar berkongsi maklumat, apa sahaja bahan yang hendak dicari, anda hanya perlu sentuh skrin maklumat yang terbentang.
Jika kita pergi Kafe Siber, pasti kebanyakannya kini sedang melayari laman facebook

Kembali kepada fenomena facebook, tahun lalu pengguna tetapnya 140 juta orang. Tetapi baru-baru ini facebook mengeluarkan kenyataan, penggunanya meningkat ke 240 juta orang. Satu angka yang cukup besar dalam tempoh setahun. Jadi tidakhairanlah jika facebook boleh menjana pendapatan hingga AS$ 300 juta pada tahun 2008. Lantaran sambutan yang menggalakkan, serta keuntungan yang lumayan, syarikat gergasi Microsoft telah membeli 1.6 peratus kepentingan facebook yang bernilai AS$ 240 juta pada tahun 2007. Bagaimanapun, pengasasnya Bill Gates salah seorang yang turut melayari facebook mengambil keputusan untuk menutup halamannya ekoran 10,000 orang yang tidak dikenali, berminat untuk menjadi kawannya. Terbaru, syarikat Russia, Digital Sky Technologies pula melabur sebanyak AS$ 200 juta dalam web tersebut dan menjadikan nilai syarikat itu meningkat sebanyak AS$ 15 billion.

Bagaimanapun, dalam keghairahan melayari facebook, kerajaan Iran pada 23 Mei 2009 mengambil keputusan menyekat akses facebook sempena pilihanraya presiden. Tujuannya, menghalang para penyokong calon yang bertanding menggunakan halaman web itu untuk berkempen. Tindakan negara Iran itu turut disusuli oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan facebook melalui fatwa yang dikeluarkan pada Jun yang lalu. Hujahnya, laman web berkenaan menjadi penyebab kepada berlakunya perlakuan tidak senonoh dan seks sebelum nikah.

Pun begitu, sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza.
Antaranya blog majelis fathul hidayah yang mendedahkan pemilik kepada laman web tersebut. Daripada kajian yang dilakukan, facebook dimiliki oleh Mark Zuckerberg, seorang graduan Sains Komputer dari Universiti Harvard. Zuckerberg adalah anak pasangan Yahudi, Edward dan Karen Zuckerberg yang dibesarkan di Amerika Syarikat. Bapanya seorang doktor gigi manakala ibunya pakar perubatan. Zuckerberg dikatakan seorang yang genius komputer sejak kecil lagi. Malah diceritakan, ketika berusia belasan tahun dia sudah pun mencipta satu permainan komputer yang dinamakan Risk dan permainan muzik, Synapse.

Ketika facebook dilancarkan pada 4 Februari 2004 dari bilik asramanya, tujuannya untuk memudahkan mahasiswa Harvard berhubung antara satu sama lain. Bagaimanapun atas permintaan ramai ia dikembangkan ke universiti di sekitarnya.

APA KAITAN ZUCKERBERG DENGAN ISRAEL?

Semasa di Universiti Harvard, Zuckerberg menjadi anggota Alpha Epsilon Pi (AEPi) yang aktif. AEPi ini adalah pertubuhan persaudaraan Mahasiswa Yahudi yang kuat di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kaitannya dengan Israel, berlangsung apabila ia dikatakan sebagai yang pertama dan satu-satunya pertubuhan persaudaraan di Israel. Pertubuhan persaudaraan Yahudi ini membuka keahliannya kepada seluruh pelajar berbangsa Yahudi di AS. Asas utama pertubuhan ini, adalah untuk membina semangat kepimpinan di kalangan mahasiswa Yahudi sekaligus menjadi pemimpin bangsa di masa akan datang yang benar memahami idea, nilai dan etika Yahudi.
Inilah dia Mark Zuckerberg

Manakala laman blog Rizki Yudhistira seorang pakar IT, memetik kata-kata yang dilontarkan oleh Joel Leyden yang memanfaatkan sepenuhnya facebook untuk menyokong tentera Israel semasa peperangan di Gaza. Siapa sebenarnya Joel Leyden? Dia adalah wartawan, pemilik Israel News Agency dan mencipta laman web komersil pertama Israel. Selain itu dia juga membuka laman web untuk Perdana Menteri Israel dan tentera Israel.

Leyden mencipta facebooknya sendiri tiga jam selepas serangan pertama yang dilancarkan Israel ke atas Gaza. Menerusi facebook dia membakar semangat tentera Israel yang mempertahankan sempadan dan kedaulatan Israel. Ia menjadi medan perbincangan dan hamburan kata-kata semangat untuk tentera serta orang Israel.

Kenalan menyertainya mencapai 17,000 pada 30 Disember tahun lalu. Leyden mengambil peluang menggunakan facebook ini untuk mempengaruhi dunia bahawa Israel mempertahankan negaranya dari serangan pengganas Muslim di Semenanjung Gaza. Berserta dengan video You Tube, Leyden cuba memberikan penerangan lebih jelas kenapa Israel perlu melancarkan perang ke atas penduduk di Gaza yang dilabelkan sebagai pengganas Islam.

Lain pula kisahnya di Indonesia. Kumpulan Cyber Jihad yang diketuai oleh Muhammad Jibriel atau lebih dikenali sebagai Prince of Jihad yang memperjuangkan suara Islam dan jihad di dalam dunia cyber, akhirnya tidak 'diizinkan' untuk melayari laman web tersebut. Suaranya yang cukup lantang, telah menarik perhatian pihak pengurusan facebook untuk menutup akaun milik Kumpulan Cyber Jihad dan Arrahmah seperti yang dilaporkan oleh Eramuslim.com dan Arrahmah.

Di Indonesia, facebook yang dikendalikan oleh kumpulan Arrahmah dan Cyber Jihad mempunyai keahlian yang paling ramai. Mereka tidak terkejut apabila facebook milik pejuang Islam itu ditutup kerana sudah maklum bahawa laman web sosial itu milik Mark Zuckerberg yang juga anggota Alpha Epsilon Pi.

Soalnya, kenapa facebook milik Leyden tidak disekat tetapi facebook milik Cyber Jihad dan Arrahmah disekat? Sedangkan kedua-duanya mempunyai tujuan yang hampir sama iaitu membakar semangat pejuang masing-masing?

BAGAIMANA FACEBOOK MENDAPAT UNTUNG?

Menurut Rizki, pendapatan utama facebook datang dari iklan yang banyak dipaparkan. Dari penelitiannya iklan yang terdapat di dalam facebook mempunyai sistem berbeza-beza. Misalnya menggunakan kaedah CPC (cost perclick) sekali klik $0.50. Jika dalam masa satu hari ada 1,000 orang yang klik pada iklan itu maka facebook akan memperolehi $ 500. Itu baru satu iklan, cuba bayangkan jika ada 10 atau 20 iklan. Jumlahnya kiralah sendiri.

Jika itulah jumlah wang yang diperoleh, anda boleh membayangkan berapa pula disalirkan untuk membiayai peperangan di Gaza. Lebih malang, sebahagian keuntungan itu disumbang oleh orang Islam. Dengan klik sahaja pada facebook kita turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza.

Fikir-fikirkanlah......


- EDITOR -

TAHUKAH ANDA

* Mark Zuckerberg dilahirkan dalam sebuah keluarga Yahudi-Amerika dan dibesarkan di Dobbs Ferry, Westchester County, New York.
* Mark Zuckerberg semasa menuntut di Universiti Harvard telah menggodam laman sesawang universiti untuk mendapatkan senarai profail peribadi para pelajar tanpa kebenaran
* Majalah Time telah mengiktiraf Zuckerberg dalam ranking ke 52 daripada 101 tokoh sebagai antara 'tokoh paling berpengaruh dunia 2008' sebaris dengan nama Barack Obama.
* Majalah Forbes Top 400 telah menyenaraikan Mark Zuckerberg sebagai individu ke 321 terkaya Amerika daripada 400 individu lain pada 2008.
* Mark Zuckerberg, CEO facebook adalah merupakan ahli aktif kepada sebua pertubuhan persaudaraan Yahudi Amerika Utara, Alpha Epsilon Pi (AEPi).
* Mark Zuckerberg termasuk dalam senarai alumni AEPi.

APA AEPi?

* Diasaskan untuk membantu lelaki Yahudi mencari pasangan Yahudinya.
* Juga bertujuan mengekal dan menguatkan hubungan sesama Yahudi di peringkat Sekolah Tinggi dan bidang pekerjaan.
* Mengekalkan idealisme Yahudi supaya terjaga dari sudut nilai, etika, dan menyiapkan peserta untuk menjadi pemimpin Yahudi pada masa depan dalam pelbagai lapangan bidang profesional.
* AEPi berkait secara langsung dengan Israel melalui Ikatan Inisiatif Israel.
* AEPi sangat berkait rapat dengan kebanyakan pertubuhan Yahudi/Zionis antarabangsa seperti AIPAC, Hillel, Israel on Campus, Hasbara Fellowships, B'inai Brith International, Shaare Zedek, Chai Lifetime, Holocaust Museum, dan Gift of Life.

* Sekadar renungan ....................

Tuesday, September 01, 2009

Bersatulah Wahai Orang-Orang Melayu!! - Ketua Penerangan UMNO Pancor

Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera,
RAMADHAN AL-MUBARAK 1430 HIJRAH

Diam tak diam kini kita telah pun berada pada hari ke 12 Ramadhan 1430 Hijrah. Malam ini telah sampai kepada Tarawih yang ke 13. Masjid-masjid dan surau-surau telah mula berkurangan jemaahnya. Bukan perkara baru malahan inilah yang berlaku sejak dari dahulu. Malam pertama, Subhanallah, jemaah Tarawih memang luarbiasa ramainya. Mungkin disebabkan pengaruh hadith (dhaif) yang menyatakan barang siapa yang mengerjakan tarawih pada malam pertama, nescaya akan diampunkan segala dosa-dosanya ibarat bayi yang baru lahir. Ertinya, ramai juga yang sedar bahawa mereka sebenarnya berdosa. Tetapi, persoalan yang penting bukanlah kesedaran bahawa diri seseorang itu berdosa atau tidak, tetapi apa yang lebih penting ialah tentang keazamannya untuk tidak mengulangi dosanya selepas itu. Itulah masalahnya.

Dan, bukan itupun mauduk yang ingin saya utarakan pada kali ini, apa yang ingin saya bawa kepada perhatian umum adalah mengenai Ramadhan ini yang sewajarnya menjadi platform untuk semua umat manusia beragama Islam berubah menjadi seorang Muslim tanpa mengira latarbelakang kepartian serta suku kaum. Kalau Islam biarlah kita bersama. Janganlah dibeza-bezakan dengan keturunan, bangsa, suku kaum, apatah lagi konsep kepartian yang melampau.

Baru-baru ini, kita maklum dengan kekalahan terbaru BN kepada PAS di dalam pilihanraya Permatang Pasir. Kali ini tiada pula cakap-cakap tentang pengaruh PM yang kian diterima sebagaimana di Manik Urai. Kini, ramai yang sudah mulai sedar, betapa, walaupun kita tewas tipis di Manik Urai dan kalah besar di Permatang Pasir, kalah tetap kalah. Dan saya ingatkan sekali lagi, semenjak PRU 12 yang lalu, BN masih belum pernah menang lagi (kecuali di Batang Ai, Sarawak).

Saya tidak menafikan betapa berjayanya pembangkang menerusi pencapaian yang diperolehi. Morally, mereka berjaya mengenepikan pencabar mereka yang mana pada suatu ketika pernah dilihat sebagai mustahil untuk "ditumpaskan". Barisan Nasional semakin hari semakin beralasan di dalam menjawab punca kemerosotan mereka. Malahan, pembangkang sudah mula mencongak-congak posisi mereka apabila mengambil alih pucuk pimpinan negara suatu hari nanti. Apa boleh kita bayangkan nanti, PM kita Dato Seri Najib pula menjadi Ketua Pembangkang? Susah. Payah. Tapi ini tidak mustahil akan berlaku. Khir Toyo, Mahadzir Khir, Tajol Rosli, antara nama yang juga tidak pernah kita sangka menjadi Ketua Pembangkang di negeri masing-masing. Tetapi, itulah realitinya.

Inilah yang sewajarnya kita bimbangkan. Strategi memenangi semula hati rakyat perlu dilakar dan dilaksana segera sebelum segalanya sudah terlewat. Memang sukar, tetapi MESTI dilakukan. Jika tidak lihatlah segala-gala yang ditinggalkan oleh pejuang kemerdekaan kita untuk kita akan musnah begitu sahaja.

Baru-baru ini Ketua Penerangan UMNO Malaysia mendakwa, pengundi tidak keluar mengundi, punca BN tewas pada pilihanraya di Permatang Pasir. Itu sahaja. Sedangkan soalan yang sewajarnya diselesaikan adalah, mengapa pengundi tidak keluar mengundi? Apa yang menghalangnya? Apa puncanya? Kalau ini boleh dijawab, maka dari situlah penyelesaiannya perlu diusahakan. Ini jugalah masalah pada PRU 12 yang lalu. Sudah lebih setahun berlalu, namun ia masih lagi dijadikan alasan. Itulah yang saya katakan kita perlu segera bangkit memperbetulkannya.
Barisan Nasional perlu menerima hakikat semakin hari semakin lemah daya tahannya. Yang gagah hanyalah luarannya. Dari segi batiniah nya kelihatan cukup menderita. PKR-PAS-DAP semakin besar hati dengan kejayaan mereka. Harganya? Perpaduan Nasional. Itulah harganya. Perpaduan diporak perandakan. Penyatuan dinafikan. Itulah harga yang diberi untuk 3K. Kekuasaan, Kekayaan dan Kedudukan.

Pemimpin BN masih ada yang masih belum sedar, tetap dengan lagaknya, rasa seperti seolah dirinya itu tetap diterima ramai walaupun pilihanraya sekali lagi diadakan. Mengapa saya berkata demikian, mudahnya kerana pemimpin masih lagi tetap tidak turun ke padang. Kalau semasa berkempen, setiap peti undi boleh dilawati setiap sehari satu peti undi. Mengapa setelah bergelar wakil rakyat satu peti undi, setahun sekali pun belum tentu. Inilah masalahnya. Sudah berkali ditegur, masih lagi degil. Sudah ditegur masih lagi terasa dirinya bagus. Bukanlah ini dituju kepada semua, tetapi saya tujukan khas buat wakil rakyat yang masih belum sedar.

KETIDAKSTABILAN PARTI KOMPONEN
Hari ini MIC menyaksikan perseteruan Timbalan Presiden. Harapannya agar ini tidak terus-terusan menyebabkan perpecahan parti yang mana akhirnya akan merugikan masyarakat India. Mengapa demikian, kerana setiap calon Timbalan Presiden mempunyai penyokong fanatiknya tersendiri, malahan ada yang berlindung di sebalik Timbalan sebagai tanda penentangan secara sembunyi terhadap Presiden yang telah sekian lama berada di takhta. Hakikat ketidakstabilan ini dirasai oleh dalaman parti. Indah diluaran belum tentu di dalam.
PPP pun begitu. Pertikaian yang tidak berkesudahan antara Kayveas dan Murgiah seolah juga tidak berpenghujung. Dan kedua-dua nama besar di dalam PPP ini juga mempunyai penyokong yang besar dan kapasitinya juga berupaya 'meranapkan' segala impian parti ini. Nampak masalah ini akhir-akhir ini sudah mulai reda dengan campur tangan PM baru-baru ini, namun untuk menjatuhkan hukum bahawa masalah ini sudah selesai.... rasanya jauh panggang dari api.

MCA lagilah parah episodnya. Tidak mustahil, kiranya sejarah Tun Ghafar memangku Presiden MCA terjadi sekali lagi. Pertikaian Ong Tee Kiat dan Chua Soi Lek, terus disensasikan. Ini juga tidak sihat untuk perkembangan Parti. Yang menghairankan, mengapa Chua Soi Lek dipecat, tetapi beberapa bulan yang lalu dibenarkan bertanding sebagai Timbalan. Di mana rasionalnya? Dahulu, Chua Soi Lek telah dengan rela hati meletakkan jawatan di dalam Parti ekoran skandal seksnya. Bererti Chua Soi Lek, mengundurkan diri dengan sukarela. Dan ini diterima baik oleh parti. Kemudian apabila Chua Soi Lek mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, mengapa dibenarkan? Adakah kerana yakin beliau akan tewas walaupun bertanding? Mungkin begitu. Maka perkiraan tersebut ternyata silap.

Kemenangan Chua Soi Lek memeranjatkan semua. Maka atas dasar itu, Chua Soi Lek diterima semula, tanpa jawatan di kabinet. Bukanlah saya menyebelahi Chua Soi Lek, cumanya tindakan yang diambil tersangatlah tidak bijak malahan menunjukkan betapa tidak telitinya Ong Tee Kiat di dalam membuat keputusan. Kini ketidakstabilan MCA berada di tahap yang sangat membimbangkan.

Kesemuanya ini boleh digambarkan sebagai sejarah terburuk Politik Barisan Nasional. Dan jika ini terus dibiarkan, percayalah, akan menjadi titik tolak kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional.


KONSEP SATU MALAYSIA
Atas dasar itulah di Bulan Ramadhan yang mulia dan penuh berkat ini, perlu kesemua peihak bergabung tenaga, bersatu hati agar Perpaduan akan sentiasa terjalin. Kita tidak mahu menjadi negara yang lemah, dan pada ketika itu, musuh negara yang menunggu peluang ini, pasti akan kembali menjajah kita semula. Harapnya ini tidak berlaku.

Sokong dan dokonglah konsep Satu Malaysia, jika tidak dibimbangi ia akan hanya menjadi sebahagian daripada sejarah dan tidak lebih dari itu, sebagaimana "Islam Hadhari" yang sudah tidak diperjuangkan lagi, "Islam Madani" yang juga sudah tidak menjadi agenda Anwar Ibrahim lagi.

Itulah pandangan saya, kalau ini boleh diubah, penyatuan boleh digembleng, saya kira, rakyat tidak akan minta apa-apa lagi. Itulah permintaan rakyat, "dari rakyat untuk rakyat, dari rakyat kepada rakyat".

Untuk orang Melayu bangunlah segera dan sedarlah. BERSATULAH WAHAI ORANG-ORANG MELAYU!! Janganlah digadai segala apa yang ada, takut nanti kita akan kehilangan kesemuanya, baik hak mahupun kuasa. Takut juga kita hilang kebebasan malahan agama dikongkong disekat oleh mereka yang menjadi musuh Islam sebagaimana yang menimpa masyarakat Uighur di negara China.

Demikianlah adanya........



Ketua Penerangan UMNO
UMNO Cawangan Pancor

p/s: Ada juga yang bertanya apa kisahnya dengan masyarakat 'Uighur'. Ini akan saya huraikan dalam penulisan saya sedikit masa lagi, insya Allah.