Thursday, February 27, 2014

Penjelasan Ringkas Seminar Pemikiran Kassim Ahmad : Suatu Penilaian

28 Februari 2014


kassimahmad

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Hassan

Seminar bertemakan pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 15 – 16 Februari 2014 bertujuan menganalisa pemikiran Kassim Ahmad dalam bidang sastera, politik dan agama secara kritikal.


Sepanjang perjalanan seminar ini, pemikiran Kassim Ahmad dalam ketiga-tiga bidang tadi mendapat pujian dan kritikan. Pada saya, pujian boleh diberikan atas cita-cita besar beliau menyeru ummah kembali kepada ajaran Al-Quran.

Dalam penulisan, beliau menekankan bahawa Al-Quran adalah kitab wahyu agung yang turun ke bumi melalui Rasulullah dalam pusingan wahyu terakhir berfungsi sebagai “huddan lil mutaqim” kepada semua aspek kehidupan masyarakat mulai daripada zaman turunnya sehingga akhir zaman.

Al-Quran kata beliau sekiranya ditafsir melalui metodologi saintifik boleh menghasilkan suatu fomula hidup yang mampu menyelesaikan soal keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia sejagat.

Hanya pengajaran Al-Quran berupaya menjadi alternatif kepada kegagalan kesemua sistem hidup bikinan manusia seperti sistem liberalisme, Marxisma, nasionalisme, Nazisme, fasisma, Stalinisisme, Maoisme dan Islamisme tradisional.

Turunnya Al-Quran ke bumi kata beliau berfungsi sebagai al-furqan kepada kesemua kitab-kitab Illahi sebelum, hadis dan falsafah bikinan manusia. Dalam bidang politik dan perlembagaan berhubung isu masyarakat majmuk, beliau melihat formula yang wujud dalam zaman permerintahan Rasulullah dalam “negara bangsa Madinah” yang majmuk iaitu Piagam Madinah sebagai formula penyelesaian terbaik.

Pada beliau formula ini mencerminkan sifat dan dasar inklusif Rasulullah yang luar biasa dalam menangani persoalan budaya masyarakat majmuk. Piagam Madinah juga kata beliau menunjukkan umat Islam mendahului kesemua sejarah tamadun masyarakat dunia dalam mengemukakan formula untuk anggota masyarakat majmuk hidup bersama secara adil dan saksama.

Hakikat ini dapat dilihat kepada intisari Piagam Madinah di mana wujudnya prinsip-prinsip universal iaitu prinsip keadilan, persaudaraan, perpaduan di kalangan mukmin, kesatuan negara bangsa, kebebasan beragama (hak autonomi kumpulan agama mentadbirkan urusan mereka), patuh kepada perjanjian yang dibuat antara pelbagai pihak dalam negara bangsa, menyeru ke arah kebaikan dan melarang kejahatan, memupuk dan membina ke arah peningkatan moral dan perundangan sebagai kaedah utama dalam pemerintahan.

Pada beliau hanya ummah yang memahami dan menghayati “worldview” Al-Quran mampu membangun sebuah tamadun yang tinggi dan universal. Tamadun demikian boleh menyelamat kehidupan manusia di bumi. Katanya lagi oleh kerana ummah kini tinggal “worldview” Al-Quran maka kehidupan ummah jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan ummah Eropah, Amerika, China, Jepun dan Korea.

Lebih menyedihkan lagi kata beliau ummah kini sentiasa menjadi mangsa konspirasi politik, ekonomi dan sosial kuasa besar dunia.

Sebaliknya pula, oleh kerana ummah dalam zaman keagungan dahulu menghayati “worldview” Al-Quran maka selepas 60 tahun sahaja kewafatan Rasulullah kehidupan ummah melonjak naik menjadi suatu kuasa besar dunia selepas mengalahkan empayar Rom dan Parsi. Kerangka besar “worldview” beliau yang positif yang mempunyai elemen reformis ini malangnya digerhanakan pula beberapa pendiriannya yang pada saya wajib dipersoalkan dan dihujah secara ilmiah pula.

Di atas persoalan-persoalan demikianlah maka saya rasa seminar demikian wajar diadakan. Antara persoalan ini ialah sebagaimana berikut:-

1. Menolak frasa 2 dalam syahadah

Surah 63 ayat 1 yang menjadikan dalil bagi Pak Kassim Ahmad untuk menolak frasa 2 dalam syahadah pada saya boleh dipersoalkan. Kalau kita lihat kepada maksud ayat itu nyata ia merujuk kepada penolakkan Allah kepada kaum munafik yang berpura-pura menyebut frasa 2 syahadah tadi di hadapan Rasulullah. Ayat ini tidak sekali-kali menyangkal frasa 2 tadi untuk disebut dalam “dua kalimah syahadah”.


2. Menolak Hadis sebagai sumber penting ilmu teologi dan perundangan Islam. Juga hadis tidak berfungsi sebagai penjelas kepada Al-Quran.


Memang hadis dikumpulkan kemudian iaitu 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah. Memang dalam kumpulan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Al Musnad lil Darimin ada mengandungi hadis yang lemah dan palsu. Justeru, kita perlu kepada metodologi dan epistimologi tertentu untuk menentukan taraf dan kedudukan tiap-tiap hadis yang dikumpulkan tadi.

Memang Pak Kassim Ahmad tidak menolak semua hadis. Beliau menerima Piagam Madinah yang terkenal, perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh nabi dengan pelbagai golongan dan surat-surat yang dirakam sejarah.
Akan tetapi apabila beliau menolak hadis yang sahih berfungsi sebagai penjelas kepada maksud ayat-ayat Al-Quran maka pendirian beliau itu susah untuk diterima. Sebab pada hakikatnya Rasulullah tetap penjelas dan penyampai kepada maksud ayat Al-Quran itu sendiri (pendirian demikian tidak bercanggah dengan prinsip bahawa Al-Quran juga mentafsirkan Al-Quran). Berasaskan hujah demikian, hadis sahih tetap berfungsi sebagai sumber penting kepada ilmu teologi dan perundangan Islam.

3. Akhirat


Pandangan Pak Kassim bahawa akhirat ialah suatu era besar yang berlaku di bumi ini adalah suatu pandangan yang sukar untuk diterima. Pada saya alam akhirat ialah alam ghaib yang berada di atas garis di antara benda mutlaq dalam alam syahadah dengan mujarab mutlaq.

Oleh itu, alam barzakh, mashal, syurga dan neraka ialah alam ghaib yang wujud di atas garis tadi yang akan kita semua lalui selepas meninggal dunia nanti.

4. Ulama sebagai kaum paderi


Saya juga tidak bersependapat dengan Pak Kassim apabila beliau menyatakan secara umum bahawa ulama sebagai kaum paderi. Pada saya ulama yang muncul sepanjang zaman pada umumnya terbahagi kepada dua kumpulan.


a) Ulama yang mewarisi tradisi nabi.
b) Ulama dunia.


Yang sepatut kita tolak ialah ulama dunia. Mereka selalunya tidak takut kepada Tuhan. Mereka terpesona kepada kepentingan hidup di dunia dengan berkiblat kepada benda, pangkat, kedudukan, darjat dan bersifat diktator dengan pandangan masing-masing.

Sebaliknya ulama yang mewarisi tradisi nabi mempunyai jiwa islah dan sentiasa takut kepada Allah. Imam Syafie juga seorang ulama yang boleh kita kategorikan sebagai ulama besar yang mengikut tradisi pengajaran Nabi Muhamad terutama untuk zamannya. Pun demikian selaku ulama kesemua pandangannya tidaklah pula boleh dikatakan mutlak.

5. Ulama sufi


Pak Kassim Ahmad menolak semua ulama sufi. Pada beliau mereka menolak “Islam as the world affirmative religion”, pada saya tidak semua ulama sufi demikian. Ada yang mendokong “worldview” yang progresif dalam konteks pembangunan tamadun ummah. Sebagai contoh Syah Waliyullah al Dihlawi (1702 m – 1763 m) dan cucunya Syah Ismail al Syahid.

Seminar bertemakan pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian, yang berlangsung selama dua hari di Putrajaya itu, pada umumnya disambut dengan semangat pro dan kontra secara ilmiah oleh pembentang pembentang kertas kerja, pengulas pengulas dan peserta peserta terhadap permikiran beliau.
Malah satu per tiga daripada dua hari seminar itu diisikan dengan kritikan-kritikan terhadap permikiran beliau. Hakikat ini dapat dilihat dengan kandungan kertas kerja permikiran agama yang dibentangkan oleh Pak Dr M Syafie Anuar.

Demikian juga kita dapati kritikan-kritikan terhadap Pak Kassim Ahmad ada terdapat dalam ulasan yang dibuat oleh saudara Astora Jabat dan ucapan konklusi seminar oleh Prof Dr Chandra Muzaffar.
Saya pula selaku pengerusi seminar juga ada membuat beberapa persoalan secara kritikal kepada permikiran 

Pak Kassim semasa membuat ucapan dalam majlis perasmian seminar itu. Demikian juga selaku pengerusi kepada kelompok bengkel agama saya ada mengemukakan beberapa rumusan bengkel secara kritikal kepada pandangan Pak Kassim dalam sidang pleno.

Menariknya kesemua kritikan-kritikan terhadap Pak Kassim dalam seminar itu dibuat secara berhikmah dan berdiplomasi. Saya berpandangan pendekatan demikian adalah paling baik apabila melihat pula kepada sejarah pengembaraan spiritural dan intelektual Pak Kassim yang mempunyai elemen penghijrahan yang jauh daripada seorang yang kuat mendokong falsafah sosialisma saintifik kepada seorang yang cuba menerokai dan mendalami ilmu Al-Quran.

Pengorbanan sepanjang hayatnya dalam dunia sastera, politik, agama dan falsafah dengan menjadikan soal pendapatan keluarga dan kedudukan sebagai persoalan kedua dalam hidupnya adalah suatu contoh yang sepatutnya menjadi iktibar kepada para intelektual.

Walaupun pandangan beliau ada kelemahan tertentu, semua pandangan dan usaha beliau yang membina dalam dunia sastera, politik, agama dan falsafah janganlah pula kita ketepikan daripada arus perdana. Ketokohannya sepatut didekati dan dihujahkan pandangan-pandangannya secara ilmiah.

Kalaulah beliau boleh berhijrah daripada dunia sosialisma saintifik kepada dunia kearah mengkaji “worldview” Al=Quran, maka tidak mustahil nanti dengan kehendak Allah, beliau akan pulang ke jalan yang lurus dalam kesemua aspek kehidupan termasuk aspek permikiran politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang dikehendaki Al-Quran.

Inilah sepatutnya doa kita bersama kepada beliau dan kepada ummah termasuk kita sendiri. – 26 Februari, 2014.

- http://www.themalaysianinsider.com/

MOU Air : Halimah Tak Usah Tegak Benang Basah

27 Februari 2014


halimah_divert
Exco Selangor, Dr. Halimah Ali cuba meredakan tekanan dengan mendakwa Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor berhubung penstrukturan semula air di negeri tersebut, dilakukan pada saat akhir.

Sejak termeterainya MoU semalam, kerajaan Selangor cukup tertekan kerana di asak sana sini akibat begitu banyak percanggahan kenyataan berhubung loji Langat 2 ini.  Kejap kata tak perlu (air cukup), dah sekarang perlu pulak.

Halimah juga mendakwa kerajaan Selangor tak bersalah dalam hal ini (penstrukturan semula air di Selangor), sebaliknya kerajaan persekutuanlah yang salah kerana melewatkan persetujuan pengambilalihan Syabas.
Tapi Halimah terlupa satu perkara, SEBELUM MoU itu ditandatangani, kebenaran membina telah diberikan Khalid Ibrahim terlebih dahulu, yang akhirnya menyaksikan projek Langat 2 boleh diteruskan pembinaannya setelah tertangguh sekian lama.

Kebenaran membina inilah yang penting, MoU itu tidak begitu penting.

MoU yang ditandatangani itu bukan perjanjian pun, Syabas yang nak diambil alih oleh kerajaan Selangor ini bukan milik kerajaan persekutuan, tapi Puncak Niaga Sdn Bhd yang pegang 70% kepentingan dalam Syabas.  MoU itu tandatangan atau tidak, kalau lembaga pengarah Puncak Niaga tak luluskan pengambilalihan, tak jadi juga.

Jadi apa kaitan dengan dakwaan Halimah bahawa MoU itu tandatangan saat-saat akhir?  Apa yang cuba dibuktikan dengan itu?

Halimah jangan suka-suka nak alihkan isu.  Semua orang tahu penyelesaian kepada masalah air di Selangor ialah pembinaan loji Langat 2.  Banyak kenyataan oleh kerajaan negeri Selangor sebelum ini menunjukkan, merekalah yang bertanggungjawab dengan penangguhan pembinaan loji Langat 2, bukan kerajaan pusat.

Nak juga penulis paste satu-satu, nanti pening pulak kepala Halimah nak tepis semua.

Yang penting kat sini, soal kerajaan negeri Selangor nak ambil alih Syabas atau tidak, apa kaitan dengan pembinaan Langat 2!!

Masalah air di Selangor ini adalah sebenarnya 100% salah kerajaan Selangor dibawah pentadbiran pembangkang.  Suka sangat nak berpolitik, sampaikan hal yang membabitkan kepentingan rakyat pun tidak terlepas dari dipolitikkan.

Bila masalah dah besar dan sukar di kawal, masa itu baru terhegeh-hegeh nak cari kerajaan pusat.
Jadi usahlah Halimah ikut resam melepas anjing tersepit, dah kerajaan pusat bantu, nak gigit tangan kerajaan pusat balik.  Penulis tak tergamak nak mengatakan Halimah anjing, tapi ikut kenyataan di atas, dah nampak macam ke arah itu.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

Keuntungan FGV Meningkat, Propaganda PAS Tersasar Lagi

27 Februari 2014


FGVH2-565x436[1]
Pada 8 Februari 2012 kira-kira dua bulan sebelum Felda Global Venture Holding (FGVH) disenaraikan di Bursa Malaysia, PAS melalui Ahli 
Mazlan Aliman PAS - FGV
Jawatankuasa Pusat iaitu Mazlan Aliman pernah mempropagandakan FELDA akan mengalami kerugian besar disebabkan penyenaraian itu.


Mazlan yang juga adalah Pengerusi NGO tidak berdaftar Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata kerugian yang akan dialami FELDA bakal mencecah RM1.5 bilion sekaligus dakwanya lagi akan menjejaskan pendapatan peneroka setiap bulan.

Selain itu kesan penyenaraian FGV di BSKL juga katanya akan mendatangkan risiko terhadap tanah milik peneroka FELDA. Itu antara propaganda yang sering dilaungkan oleh Mazlan dan PAS dalam usaha jahat mereka menggagalkan penyenaraian FGV di BSKL.

Serentak dengan kempen propaganda itu, PAS juga mempelopori himpunan jalanan termasuk demonstrasi berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan yang rata-rata pesertanya bukan peneroka tetapi ahli dan penyokong PAS yang dikerah dari seluruh negara.

Mereka juga mengadakan kempen bergerak dengan cuba masuk ke kawasan FELDA semata-mata nak mengelirukan para peneroka bagi menanam kebencian dan bibit kemarahan dengan harapan hasilnya kelak membolehkan undi sebahagian besar peneroka memihak kepada PAS.

Mazlan Aliman PAS - FGV Untung
Namun takdir Illahi nyata berbeza dari pengharapan PAS bila mana kempen propaganda PAS dan gambaran negatif yang diwar-warkan oleh pemimpin PAS tersasar sama sekali. PAS gagal mempengaruhi majoriti besar peneroka dan BN pula kekal menguasai sebahagian besar Parlimen dan DUN yang mempunyai kawasan FELDA.

Baik sebelum dan selepas disenaraikan, FGV dan FELDA sendiri tidak hanya berjaya menepis propaganda PAS malah berjaya membuktikan usaha penyenaraiannya di BSKL adalah satu tindakan betul dengan mengambil kira kepentingan para peneroka.

Tiada tanah peneroka yang terjejas atau tergadai sebaliknya yang terjadi mereka berpeluang pula menjana pendapatan tambahan melalui pemilikan sejumlah 800 unit saham FGV. Tidak hanya itu, peneroka juga diberi imbuhan RM15,000 untuk satu keluarga – satu imbuhan yang langsung tak termimpi oleh pelabur PAS melalui KOHILAL.

Malah beberapa bulan selepas FGV disenaraikan dalam Bursa Malaysia para peneroka yang memiliki pegangan saham dalam FGV turut mendapat dividen interim 5.5 sen serta perolehan keuntungan dana amanah peneroka yang keseluruhannya berjumlah RM400.00.

Hampir setahun selepas disenaraikan FGV merekodkan keuntungan sebelum cukai RM1.13 bilion atau pun keuntungan bersihnya ialah RM905.058 juta, menjadikannya antara kaunter pelaburan yang aktif dan diminati pelabur BSKL.

Hasil keuntungan itu kemudiannya membolehkan para peneroka yang memiliki 800 unit saham FGV memperolehi dividen 8.8 sen seunit atau perolehan tambahan RM400 hingga RM500 dengan hanya goyang kaki sahaja.

Itu baru keuntungan atas angin untuk peneroka selaku pemegang saham yang memiliki 800 unit saham. Bayangkan pula keuntungan yang diperolehi oleh anak syarikat Kerajaan PAS Kedah yang waktu itu memiliki pegangan sejumlah 500,000 unit saham. Tentu lagi mencanak tinggi keuntungannya.

Hari ini selepas hampir dua tahun FGV disenaraikan di BSKL, Alhamdulillah sekali lagi FGV merekodkan keuntungan bersih yang meningkat sehingga mencecah RM1.107 bilion, jauh lebih baik berbanding keuntungan bersih RM905.058 juta tahun sebelumnya.

Peningkatan keuntungan ini sekali lagi membolehkan peneroka yang melabur turut sama meraih dividen 10 sen sesaham. Nilainya seperti nampak kecil tapi jelas lebih berbaloi dari melabur dalam pelaburan KOHILAL yang dikendalikan PAS yang sampai sekarang tidak tahu ke mana pergi wang pelaburnya.

Perkembangan terbaru ini jelas membuktikan hakikat bahawa propaganda jahat PAS dan Mazlan Aliman sejak sebelum PRU-13 hingga sekarang berkenaan FGV hanyalah omongan kosong yang semakin tersasar dari realiti semasa.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

Meninjau Semula Isu Air Selangor : Krisis Air Ini Bukan Salah Takdir

27 Februari 2014


IMG-20140226-WA0010
Oleh Ab Jalil Backer

Sejak semalam para penyokong Pakatan Rakyat cuba memberi pelbagai alasan untuk menutup masalah mereka di Selangor iaitu krisis air yang sangat serius. Krisis ini telah dijangka akan berlaku pada 2014 sejak 2006 lagi dan kerajaan Barisan Nasional telah mengadakan pelan penyelesaian menyeluruh mengelakkan krisis ini.

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 mereka mengetahui bahawa industriair di Lembah Klang dalam proses penstrukturan semula.

Dua agenda penting dalam penyelesaian ini ialah bekalan air mentah dari Pahang dan penstrukturan semula industri air di Lembah Klang di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Tan Sri Khalid tidak mahu melaksanakan segera kerana beliau mahu menggunakan isu ini untuk meraih keuntungan politik.

Kerajaan Selangor memutuskan tidak memberi Kebenaran Merancang Dan Membina untuk Loji Langat 2. Loji Langat 2 merupakan bahagian penting dalam memastikan kemapanan industri air di Selangor. Air mentah yang disalurkan dari Pahang akan di proses di loji ini. Tanpa loji ini, bekalan air mentah dari Pahang tidak berguna. Malangnya, Khalid tidak peduli semua itu.

Beliau menjalankan permainan Pakatan untuk melengahkan projek ini bagi meningkatkan kos pengurusan air dan memburukkan Barisan Nasional.

Khalid secara terbuka beberapa kali menolak kajian yang menyatakan bahawa Lembah Klang akan berhadapan krisis air pada 2014. Beliau mengatakan Loji ini bukan keperluan segera. Paling awal krisis air akan berlaku ialah pada 2019.

Jadi apa yang Pakatan dakwa sebagai bencana alam kemarau yang menyebabkan krisis air ini hanyalah satu tindakan menyalahkan takdir bagi menyembunyikan kesalahan mereka. Jangan salahkan Allah atas sikap dan perangai buruk kepimpinan Pakatan.

Agenda kedua ialah penstrukturan semula industri Air Selangor melalui penggabungan syarikat-syarikat yang terbabit dalam industri ini. Khalid melenga-lengahkan kerana mahu menggunakan perjanjian air yang lama antara Syabas dan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mendapat keuntungan politik.

Khalid tahu bahawa melengahkan isu penggabungan ini akan membolehkan Syabas melaksanakan perjanjian kenaikan tarif air. Ini akan membolehkan beliau menyalahkan Syabas dan BN sebagai penindas rakyat yang mahu menaikkan tarif air, manakala beliau akan menjadi hero sebagai orang yang menghalang kenaikan tarif.
Namun kejahatan dan hati busuk Pakatan dan Khalid Ibrahim akhirnya dibalas Allah. Krisis air yang dijangka menjadi kenyataan, Khalid terpaksa mencatu air. Akibatnya, kerajaan Persekutuan terpaksa membelanja berjuta ringgit membuat pembenihan awan.

Menyedari kemarahan rakyat akan bertambah besar menjelang pertengahan bulan ini, Khalid bersetuju dengan pembinaan loji langat 2 dengan syarat kerajaan Persekutuan menyuntik RM 2 bilion dalam menampung kos penstrukturan semula “pemain industri air Selangor”.

Kerajaan Persekutuan sedar masalah krisis air ini perlu diselesaikan kerana ia boleh menjejas ekonomi negara. Banyak industri akan terhenti jika krisis bekalan air berterusan dari semasa ke semasa tanpa penyelesaian yang tuntas.

Namun apa yang kita saksikan sejak semalam ini sikap busuk hati dan bodoh sombong penyokong Pakatan Rakyat masih berterusan menegakkan benang basah dan berbohong kepada umum bahawa ini kejayaan Pakatan dan Khalid menyingkirkan Syabas kroni Barisan Nasional.

Mereka menipu fakta bahawa penstrukturan ini dirangka dan dirancang oleh Barisan Nasional sendiri pada 2007. Mereka juga langsung tidak berasa bersalah atas sikap tidak bertanggungjawab Pakatan dan Khalid melengahkan pembinaan Loji Langat 2 sehingga menyebabkan krisis air sekarang dan kerajaan Persekutuan mengalami kerugian jutaan ringgit.

Artikel Berkaitan:

Nota:
Untuk memahami isu air ini, diperturunkan semula tulisan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo mengenai isu ini pada 2010.


Sokong Penstrukturan Semula Air Selangor

1. Salah satu perbincangan hangat sekarang ialah mengenai masa depan industri air bersih di Lembah Klang. Ramai yang berasa khuatir dan bimbang Lembah Klang akan mengalami krisis air yang lebih serius daripada 1998 jika kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sebelum ini menjadi kenyataan.
2. Kajian oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar Lembah Klang. Pelbagai kajian dilakukan termasuk mendapatkan air di Perak, namun akhirnya kos mendapatkan air dari Pahang yang paling murah.
3. Justeru kerajaan Persekutuan telah bersetuju membiayai Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor yang bernilai sekitar RM3.936 bilion. Sebahagian besar pembiayaan projek adalah melalui pinjaman Japan International Cooperation Agency (JICA) dan selebihnya dibiayai geran Kerajaan Persekutuan. Perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada 31 Mac 2005 memperuntukkan bahawa JICA akan menanggung sebanyak 75 peratus daripada kos kerja pembinaan manakala baki 25 peratus lagi akan ditanggung Kerajaan Pusat.
4. Justeru apabila kerajaan negeri berusaha menangguhkan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat, kerajaan persekutuan perlu menanggung beban kewangan termasuk peningkatan kadar faedah daripada pinjaman.
5. Tindakan kerajaan negeri bermain politik dalam isu air ini sangat tidak munasabah. Penstrukuturan air, kenaikan harga air dan pembinaan loji pembersihan air di Hulu Langat adalah isu yang berasingan. Khalid Ibrahim memperjudikan nasib penduduk lembah klang hanya untuk menunjukkan beliau menjadi juara rakyat dalam masa yang singkat tetapi merosakkan masa depan rakyat untuk mendapat bekalan air bersih.
Sejarah Industri Air Selangor
6. Sebelum menunding jari kepada kerajaan Pusat atau mana-mana pemimpin kita perlu memahami sejarah industri air di Selangor terlebih dahulu. Pada awalnya semua industri air dikawal selia oleh Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS). Kemudiannya timbul keperluan untuk meningkatkan kualiti rawatan air akibat banyak kritikan ketika itu. Justeru itu pada 1997, kerajaan negeri melantik Puncak Niaga sebagai pengendali 27 loji rawatan air di Selangor.
7. Pada 1998, berlaku satu krisis air yang serius di Lembah Klang. Ini menyebabkan kerajaan negeri mencari kaedah untuk menambah jumlah empangan. Pada 1999, Konsortium ABBAS telah dilantik untuk membina dan mengendalikan empangan dan loji air Sungai Semenyih. Pada tahun yang sama satu lagi syarikat, Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH)telah diberi tanggungjawab membina dan mengendali Loji air Sungai Badung, Selangor yang berharga lebih RM 2 Bilion.
8. Pada 2001, semasa dibawah pentadbiran saya, terdapat banyak aduan dan kritikan mengenai kualiti air. Selain itu JBAS juga mengalami kerugian kerana kehilangan air yang tidak digunakan (Non revenue water [NRW]) sekitar 45%. NRW yang tinggi ini juga menyebabkan JBAS rugi kerana jumlah air yang dibayar oleh pengguna kurang daripada jumlah air yang dibayar oleh JBAS kepada pengendali loji.
9. Setelah kajian dijalankan didapati kedua-dua masalah ini berpunca daripada sistem paip lama yang berkarat dan bocor. Untuk menggantikan keseluruhan paip lama sepanjang 6, 000 KM daripada keseluruhan 24 ribu KM paip dan ini memerlukan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM 2.6 bilion. JBAS tidak mampu melakukannnya secara bersendirian. Justeru JBAS diperbadankan dengan nama Perbadanan Air Negeri Selangor (PUAS). Selepas Puas diperbadankan, ia berusaha mendapatkan pinjaman daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM 2 bilion bagi program penggantian paip lama. Bagaimanapun ia ditolak kerana JBAS masih mempunyai hutang sebanyak RM 756 juta kepada Pusat.
10. Kerajaan Persekutuan mencadangkan agar PUAS diswastakan kepada Syabas dengan hasrat Syabas menanggung kos penggantian paip-paip tersebut.
11. Satu perjanjian antara kerajaan negeri dan Syabas telah disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Walaupun terdapat fasal-fasal mengenai kenaikan tarif air namun ia mesti dipersetujui secara bersama antara Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Syabas setiap kali ada permintaan untuk menaikkan tarif tersebut. Kerajaan negeri telah meminta diwujudkan Panel Penentuan Tarif Air yang membabitkan wakil negeri, persekutuan dan Syabas dan juga Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji setiap asepek sebelum permohonan kenaikan tarif diluluskan.
12. Selain itu, perjanjian tersebut turut mensyaratkan Syabas melakukan penggantian paip sepanjang 2400 KM menggunakan barangan tempatan, mengurangkan NRW kepada bawah 25% dan meningkatkan kualiti air sebelum boleh membuat sebarang tuntutan kenaikan tarif. Semua ini gagal dipenuhi oleh Syabas.
Penstrukturan Semula Air Selangor
13. Apabila Syabas gagal memenuhi syarat perjanjian termasuk menggunakan paip buatan tempatan dalam penggantiannya, kerajaan negeri memutuskan untuk menstrukturkan semula industri air di Selangor. Pada 2006, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memulakan pelan pengambil alihan semua syarikat yang terbabit dalam industri air di Selangor seperti Abbas, Splash, Puncak Niaga dan Syabas.
14. Usaha penstrukturan semula ini berlaku pada 2007 apabila KDEB telah mengambil alih ABBAS dan mula berunding untuk mengambil alih Splash, Puncak Niaga dan Syabas. (lihat laporan THE EDGE MALAYSIA pada 12 Nov 2007). Tujuan penstrukturan semula ini bagi membolehkan syarikat yang menguruskan air mendapat keuntungan lebih dan mengurangkan tarif air pada masa akan datang melalui cross subsidization. Dalam keadaan sekarang hanya pengendali loji yang mendapat keuntungan maksimum, manakala pembekal air terpaksa menanggung kerugian akibat NRW dan kegiatan “curi air”. Pembekal terpaksa membayar penuh kepada pengendali loji tetapi berhadapan kerugian 45% berdasarkan NRW.
15. Usaha penstrukturan semula ini sewajarnya dikendalikan sepenuhnya oleh KDEB memandangkan ia anak syarikat milik penuh kerajaan negeri. Namun ia mungkin sukar dilaksanakan pada masa sekarang memandangkan KDEB sendiri mempunyai hutang beratus juta kepada kerajaan negeri hasil pelaksanaan sistem subsidi air yang dijalankan sejak dua tahun lalu. Kerajaan negeri dilaporkan telah meminjamkan sejumlah RM 200 juta kepada KDEB untuk dibayar kepada Syabas bagi skim subsidi 20 meter padu air percuma. Sehingga kini hanya RM 28.2 juta dibayar semula oleh KDEB kepada kerajaan negeri. Dari segi prestasi kewangan sukar sama sekali KDEB mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan bagi membiayai proses pengambil alihan Syabas dan lain-lain syarikat.
16. Penstrukturan semula ini juga selari dengan penubuhan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) di peringkat Pusat. SPAN akan mengawasi keseluruhan industri air negara dan mengeluarkan lesen kepada pengendali air negeri-negeri. Manakala PAB akan mengambil alih semua infrastruktur air negeri-negeri dan menyewakan semula kepada pengendali air negeri-negeri. Melalui kaedah ini, isu-isu penggantian paip, pembinaan empangan dan loji rawatan akan berada di bawah PAB dan pengurusan kewangan Persekutuan. Ini akan memberi kualiti pengurusan air yang lebih baik pada masa akan datang.
Politik Air Pakatan Rakyat
17. Perubahan tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri yang suka bermain politik daripada menyelesaikan isu ini secara profesional menyebabkan segala-galanya terganggu dan terencat sekarang ini.
18. Saya tidak nampak mengapa kerajaan negeri harus mengugut untuk tidak meluluskan pembinaan loji di Hulu Langat sekiranya mereka gagal menstrukturkan semula industri air Selangor.
19. Ia adalah dua isu yang berasingan dan membabitkan pihak yang berlainan. Pembinaan infrastruktur penyaluran bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor adalah projek Persekutuan. Manakala penstrukturan ini membabitkan syarikat-syarikat Berhad.
20. Jadi bagaimana kerajaan negeri ingin bermain logik mengugut kerajaan Persekutuan sedangkan mereka “bergaduh” dengan sebuah syarikat berstatus berhad yang mereka sendiri ada 30% saham? Bolehkah kita yang rasional menerima sikap kerajaan negeri yang menangguhkan kelulusan pembinaan loji kerana mereka gagal mengambil alih sebuah syarikat? Wajarkah projek yang bernilai berbilion ringgit ini dijadikan taruhan dan menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih, yang tentunya membabitkan wang rakyat?
21. Alasan kenaikan tarif air ini hanyalah sandiwara kerajaan negeri kerana syarat-syarat sedia ada sudah cukup menjaga kepentingan pengguna. Seperti yang saya jelaskan tadi, tarif air tidak boleh dinaikkan tanpa persetujuan panel penilai yang dianggotai oleh kerajaan negeri, persekutuan dan wakil Syabas.
22. Ketika saya menyokong usaha kerajaan negeri meneruskan kerja-kerja menyusun semula industri air Selangor, saya kecewa melihat sikap kerajaan negeri menangguhkan projek pembinaan loji air di Hulu Langat.
23. Inilah yang dikatakan “lain Bengkak, lain Bernanah, lain yang yang Sakit, lain pula yang diubati.”
24. Saya berharap kerajaan negeri Selangor tidak bermain politik dalam isu bekalan air bersih di Lembah Klang. Tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim mengaitkan isu pembinaan loji di Hulu Langat dengan penstrukturan semula pengendali bekalan air bersih di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tidak masuk akal dan boleh menjejaskan bekalan air bersih pada masa akan datang.
25. Memang kerajaan negeri berhak untuk membantah kenaikan air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan saya ingin nyatakan sokongan penuh terhadap bantahan tersebut. Namun mengapa mahu dikaitkan dengan pembinaan loji yang merupakan projek masa depan untuk rakyat?
26. Kos bekalan air di Selangor akan meningkat lebih tinggi sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membina loji rawatan air di Pahang bagi menggantikan loji di Hulu Langat. Jika itu berlaku, apabila berlaku krisis bekalan air nanti, Selangor perlu membeli harga air bersih dari Pahang yang harganya jauh lebih tinggi.
27. Alasan Tan Sri Khalid kononnya masalah bekalan air bersih di Lembah Klang tidak akan berlaku pada 2014 tetapi pada 2019 tidak pernah disokong oleh fakta atau mana-mana data penyelidikan. Sampai hari ini kita tertanya-tanya siapakah yang dilantik oleh Tan Sri Khalid bagi menjalankan penyelidikan tersebut?
28. Namun persoalan lebih releven ialah, jika berbeza 5 tahun sahaja mengapa kita perlu tangguhkan sedangkan masalah tetap akan timbul. Dalam industri pembinaan, penangguhan beberapa tahun sahaja sudah boleh menyebabkan kos pembinaan meningkat berkali ganda. Apakah kerajaan negeri akan menanggung kenaikan kos ini? Jika mahu pun mampukah kerajaan negeri?
29. Rakyat harus bijak membuat penilaian dan mendapat semua fakta bukan sekadar mempercayai sandiwara dan lakonan politik kerajaan negeri. Ini kerana mereka yang berhadapan dengan krisis kuasa dan melihat tiada masa depan politik akan mengambil pendekatan populis. Peduli apa dengan apa yang berlaku lima enam tahun lagi kerana mereka mungkin sudah tiada ditampuk kuasa untuk berhadapan dengan kemarahan rakyat.
30. Kerana benci kepada Barisan Nasional dan pemimpin tertentu ada orang sanggup menerima apa sahaja tohmahan kerajaan negeri tanpa berfikir dengan rasional dan melihat fakta yang ada. Hakikatnya kos menguruskan air bersih di Lembah Klang sangat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit. Dan ia perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi sama ada melalui tarif air mahu pun melalui subsidi kerajaan yang akhirnya merupakan wang rakyat juga.
31. Malangnya, kerajaan Selangor hari ini yang masuk dalam keadaan segala-galanya telah tersedia, seperti kata orang hanya “cuci kaki sahaja”, ingin pula menunjukkan jaguh tanpa mengambil kira kesan jangka panjang. Sikap kerajaan negeri hari ini tidak ubah seperti beruk mendapat bunga.

Dipetik daripada : www. mykmu. net 

Azmin Ali Saman Akhbar Suara Keadilan RM 2 Juta?

27 Februari 2014


azmin-khalid-mkini
Oleh Zul Rawi

Mungkin kerana tidak berpuas hati dengan tindakan editorial akhbar Suara Keadilan menerbitkan artikel yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja ingin menjatuhkan maruahnya, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang.

Menurut sebuah portal-pro-pembangkang, Azmin dikatakan menyaman akhbar yang merupakan lidah rasmi parti PKR itu sebanyak RM 2 juta, kerana menerbitkan artikel yang memalukannya.

Namun usaha untuk mendapatkan pengesahan Azmin berhubung isu tersebut gagal, apabila dia tidak dapat dihubungi. Menurut sumber terdekat, ahli parlimen Gombak itu sedang berada di tanah suci bagi mengerjakan ibadah umrah.

Terdahulu, akhbar tersebut telah menyiarkan rencana yang menghentam Azmin secara terbuka. Artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais itu telah disiarkan oleh akhbar tersebut pada keluaran 160, bertarikh 11 Februari 2014 di muka surat 22.

Pada tarikh yang sama, artikel tersebut turut disiarkan oleh portal Malaysiakini yang juga merupakan media tidak rasmi kepada pembangkang.

Hishamudin di dalam artikel yang bertajuk ‘Khalid dan Azmin’ itu antara lainnya melabelkan Azmin sebagai pemimpin PKR yang mempunyai unsur dan ideologi Umno sehingga menyebabkan dia kurang disenangi oleh pimpinan parti termasuklah dari Pas dan DAP.

“Hanya PAS dan DAP sahaja yang dapat menjawab kenapa mereka merasa tidak yakin terhadap si Azmin… Dalam masa yang sama Azmin Ali yang tidak diyakini ini berpangkat Timbalan Presiden PKR.

“Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA – United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan ‘lanun Melayu’ ke dalam badan politik PKR”, dakwanya.

Hishamudin yang merupakan antara penyokong kuat Anwar itu turut mengatakan, disebabkan Azmin membawa DNA barah, dia adalah antara punca berlakunya masalah di Selangor dan PKNS sehingga MEMAKSA campur tangan Anwar.

“Dalam masa yang sama kisah Azmin dan duit ini masuk akal juga. Untuk pengundi di Gombak atau di Seri Setia – mereka tertanya-tanya kenapa si Azmin ini gila-gila sangat nak jadi MB Selangor? Kenapa begitu gian hendak jadi MB?

“Tidak cukupkan menjadi Adun dan YB Parlimen Gombak? Kalau ingin membantu rakyat, kalau mahu menolong warga miskin apakah perlu menjadi MB? Soalan-soalan ini telah berdengung di semua kepala yang berfikir. Macam ada Cukong di sebalik Gombak.

“Mari kita lihat perangai Azmin semenjak selesai PRU13 dahulu. Apabila rakyat bangun membantah penipuan PRU13 – Si Azmin Ali ini baling sepana. Azmin memberi ingatan agar orang ramai TIDAK dibawa ke jalanraya. Twiter Azmin yang mempertikaikan langkah turun ke jalan raya untuk membantah penipuan PRU13. Isi Twiter si Azmin ini jelas bersifat ‘sabotaj’. Ini ciri dan watak DNA United Malays National Organisation” dakwa Hishamudin lagi.

Di dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty telah ditubuhkan bagi menyiasat perkara tersebut.

“Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) yang diadakan di Kajang baru-baru ini. Keputusan MPP ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada lima orang untuk kemudiannya berjumpa dengan kumpulan Suara Keadilan bagi mengumpulkan maklumat, latar belakang dan mendengar pandangan mereka,” katanya.

Jelas Saiduddin, PKR hanya akan bertindak selepas mendapatkan fakta lengkap terhadap siasatan yang sedang dijalankan itu.

“Kalau nanti mereka menemui maklumat seperti surat guaman dan sebagainya ke atas Suara Keadilan, jawatan kuasa itu akan bawa saranan kepada pimpinan pusat. Buat masa ini belum terima. Saya dengar begitu (saman Suara Keadilan)…hanya diberitahu melalui SMS,” katanya lagi.

Kesimpulannya sekiranya isu ini benar, tindakan Azmin ini mungkin sebagai reaksi terhadap cubaan beberapa individu di dalam parti yang cuba membunuh karier politiknya menjelang pemilihan parti itu yang bermula bermula 25 April ini.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

MOU Air Selangor : Khalid Sengaja Pinggirkan Anwar

27 Februari 2014


MoU Langat 2 - Anwar Dipinggirkan
Semua orang tahu semenjak November 2009 Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR telah diberi kedudukan ‘istimewa’ dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dengan perlantikannya sebagai sebagai Penasihat Ekonomi Negeri yang bergaji RM1.00 sebulan.

Khalid yang baru setahun lebih menjadi Menteri Besar Selangor ketika mengumumkannya semasa pembentangan Bajet 2010 menjustifikasikan perlantikan tersebut konon untuk memanfaatkan kepakaran Anwar dalam menguruskan agenda pembangunan di Selangor.

Ramai penyokong PR yang mengalu-alukan pengumuman tersebut meskipun lebih ramai yang beranggapan ianya agak sinis dek kerana penekanan gaji RM1.00 seperti Khalid sengaja mahu merendah-rendahkan pengetahuan Anwar dalam bidang ekonomi.

Rupanya tanggapan sinis itu benar apabila lebih kurang 5 tahun kemudiannya ternyata khidmat nasihat Anwar langsung tidak diperlukan oleh Khalid sebelum menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Pusat bersabit isu air semalam.

Menurut sebuah portal pro pembangkang, Anwar langsung tidak tahu menahu berhubung majlis pemateraian MoU itu malah satu pun perkembangan terkini berhubung perkara itu juga tidak sampai ke pengetahuannya.
Bukan sahaja Anwar yang termanggu tidak tahu apa-apa malah penyokong PR yang selama ini didendangkan konon projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) adalah membazir dan tidak diperlukan juga tercenggang-cenggang jadinya.

Mereka tertanya sendirian kenapa Khalid yang suatu ketika dulu kuat menentang projek Langat 2 dan beriya-iya memberi jaminan bekalan air bersih di Selangor dan lembah Klang boleh bertahan sampai tahun 2019 tanpa Langat 2 tiba-tiba buat pusingan U tanpa mendapatkan nasihat Anwar.

Apa pun ini sudah kes berat, sukar sekali dibayangkan bagaimana seorang Penasihat Ekonomi langsung tidak dimaklumkan majlis sepenting itu. Maklum pun tidak, jemput pun tidak. Anwar bagaikan sengaja dipinggirkan umpama kain buruk di ceruk almari.

Apa game plan yang difikirkan oleh Khalid & geng tentu masih tercari-cari bayangannya oleh Anwar dan balaci. Khabarnya ini hanya permulaan hasil pelbagai mesyuarat strategik membabitkan Khalid dan soldadunya di Pejabat MB sejak timbulnya isu Anwar & Kajang Move. Betulkah?

Barangkali jika betul perkhabaran itu harus sebelum hari pengundian PRK DUN Kajang, Anwar & PKR akan betul-betul pening kepala dibuatnya.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

Anwar Tidak Puas Hati MOU Air, Khalid Belot?

27 Februari 2014


khalid anwar
Oleh Zul Rawi

Tindakan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim yang secara tiba-tiba bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili telah mengejutkan ramai pihak.

Menurut sumber, ekoran tindakan itu ada di kalangan pimpinan PKR yang mengecam Khalid disifatkan cuba bermain ‘tarik-tali’ dengan mengambil langkah populis tersebut. Paling menarik apabila ketika program sesi minum petang anjuran PKR di Kajang petang semalam, Ketua Umum parti itu, Anwar Ibrahim dilihat agak keberatan untuk mengulas tindakan tersebut.

Namun apabila diasak berulang kali, Anwar akhirnya terpaksa menjelaskan, dia dan parti langsung tidak dimaklumkan mengenainya. Malah menurut penasihat ekonomi Selangor itu lagi, dia masih mengkaji tindakan tersebut dan tidak dapat memberikan sebarang komen buat masa ini.

Terdahulu media melaporkan Khalid hadir dalam satu program menandatangani MoU dengan kerajaan Barisan Nasional yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MoU tersebut bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana berjumlah RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.

Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2. Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.

Ekoran pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.


Sumber turut mendedahkan, tindakan Khalid yang membelakangkan Anwar dan parti itu sebagai satu usaha untuk mengambil hati rakyat Selangor sekali gus menggagalkan sebarang percubaan untuk menggulingkannya sebagai Menteri Besar.

Malah permintaan Khalid sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi pengarah PRK Kajang dan beberapa langkah yang dilakukan sebelum ini terutamanya dalam isu air adalah bertujuan untuk membina imejnya sebagai seorang pemimpin hebat.

“Perlu di ingat, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor… jika Khalid berjaya dalam pilihanraya kecil kali ini, ia pasti membina momentum untuk pemilihan parti nanti,” kata sumber yang mengatakan di Selangor sahaja ahli PKR adalah sebanyak 130,000 orang,” menurut sumber tersebut.

Polemik isu ini di Selangor semakin meruncing apabila kerajaan negeri memutuskan untuk mencatu air ekoran paras tadahan di beberapa empangan menunjukkan tahap yang membimbangkan sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Bagi mengelakkan terus menjadi mangsa cemuhan masyarakat, Khalid sebelum ini cuba menyalahkan faktor cuaca dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Namun di dalam kenyataan balas terhadap tuduhan Khalid itu, Syabas menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung kemungkinan berlaku kekurangan bekalan air sejak tahun 2008 lagi.

Kesimpulannya Khalid sedar, tindakan Anwar yang ingin bertanding di Kajang adalah untuk memaksanya meletakkan jawatan sebagai menteri besar. Namun sebagai ahli politik yang sering tertidur, ternyata Khalid bukanlah sebodoh yang disangka.

Walaupun Anwar sebelum ini berulang kali membayangkan hasratnya yang ingin menjadi menteri besar, namun tindakan terbaru Khalid ini boleh menyebabkan Anwar berputih mata.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

Penangan Pil Kuda Kini Hadi Dipandang Rendah Penyokong PAS

27 Februari 2014


Saman Pil Kuda RM2 Juta
Dulu sewaktu menjelangnya PRK DUN Kuala Besut, Terengganu bila mana timbul ura-ura tindakan saman terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung tuduhannya konon ada calon PKR yang mengedar pil kuda, ramai penyokong PAS yang hanya pandang sebelah mata sahaja.

Pada mereka hasrat yang disuarakan oleh Ketua AMK PKR Cabang Dungun yang juga adalah bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin itu tak lebih sekadar gertakan kecil untuk menarik perhatian umum tatkala tumpuan seluruh negara sedang mengikuti kerancakan kempen PRK Kuala Besut.

Tak kurang juga ada suara sumbang dikalangan penyokong PAS yang beranggapan kemunculan Shamsul bersama bekas Pengarah Pilihanraya PKR Terengganu, Yahya Zakaria di Kuala Besut didalangi dan diupah oleh UMNO konon bertujuan menggagalkan kempen PAS untuk menawan DUN Kuala Besut dalam PRK tersebut.

Barangkali terpengaruh dengan pandangan-pandangan sedemikianlah agaknya para penasihat dan peguam PAS sengaja buat tidak endah dengan isu saman tersebut meskipun beberapa bulan kemudian bekas calon PKR itu benar-benar membawa isu saman pil kuda ke mahkamah demi maruah diri dan keluarganya.

Sekelumit kemaafan atau pun tindakan bersemuka meminta penjelasan langsung tak diusahakan. Walhal yang menyaman rakan sepakatan yang sama-sama berkubang sama sendiri demi nak mengejar kuasa duniawi.

Sekarang apa jadi? Ternyata ia bukan lagi ura-ura sebaliknya Hadi Awang kini berdepan realiti bebanan besar yang memalukan diri sendiri setelah Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengarahkannya membayar saman berjumlah RM2,000,000.00 dalam penghakiman ingkar kepada Ketua AMK PKR Cabang Dungun.

Terkejut berut dibuatnya penyokong PAS yang dulu memandang enteng kesungguhan bekas calon PKR DUN Bukit Besi untuk merealisasikan hasratnya menyaman Presiden PAS. Dulu beriya menuduh Shamsul mendapat upah dari UMNO untuk kacau kempen PAS di PRK Kuala Besut, sekarang selepas 7 bulan berlalu mimpi ngeri pula yang datang.

Mungkin RM 2 juta bagi PAS terlalu kecil seperti kata YDP PAS Kawasan Gombak, Salehuddin Nasir bahawa cukup dengan hanya sekali seruan jihad dipalu pasti melimpah ruah wang datang berkoyan-koyan. Yakin benar pimpinan PAS pada kesanggupan penyokongnya untuk menghambakan diri demi pucuk pimpinan.

Hakikatnya isu saman ini bukan sekadar soal wang ringgit kerana hal yang lebih besar adalah maruah PAS dan pucuk pimpinannya yang kini agak tercalar teruk di mata khalayak. Mana mungkin rakyat nak hormat PAS kalau dah pemimpinnya sendiri terpalit dengan isu fitnah rakan sepakatan.

Penangan isu pil kuda dan saman RM 2 juta bukan setakat itu sahaja kerana lebih memburukkan keadaan maruah Hadi Awang selaku Presiden PAS semakin dipandang sebelah mata oleh sesetengah penyokong PAS. Mereka seperti malu dan menyalahkan Hadi seratus peratus atas isu yang timbul.

Lebih malang lagi ada penyokong PAS dari golongan liberal yang secara ‘lembut’ mengambil kesempatan mendesak Hadi meletakkan jawatan dengan alasan untuk menjaga maruah PAS disamping untuk mengelakkan kemerosotan sokongan pengundi PR terhadap Anwar Ibrahim menjelang PRK DUN Kajang.

Begitulah rendah sekali darjat Presiden PAS kini. Apalah sial benar nasib Hadi selepas bertahun-tahun menghambakan diri demi PR dengan mengikut segala kemahuan PKR dan DAP, tapi balasan yang diterima perlu menanggung malu disaman berjuta dan di masa yang sama terpaksa pula terkontang konting dicemuh sesetengah penyokong PAS.

Dah macam nasib si lebai malang pula gayanya. Ada yang terasa kasihankah? Tak perlu kasihan pun. Hadi sendiri yang jemput bala disebabkan egonya yang tinggi maka kenalah dia terima hakikatnya.

Dipetik daripada : www. mykmu. net