Thursday, February 27, 2014

Penjelasan Ringkas Seminar Pemikiran Kassim Ahmad : Suatu Penilaian

28 Februari 2014


kassimahmad

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Hassan

Seminar bertemakan pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 15 – 16 Februari 2014 bertujuan menganalisa pemikiran Kassim Ahmad dalam bidang sastera, politik dan agama secara kritikal.


Sepanjang perjalanan seminar ini, pemikiran Kassim Ahmad dalam ketiga-tiga bidang tadi mendapat pujian dan kritikan. Pada saya, pujian boleh diberikan atas cita-cita besar beliau menyeru ummah kembali kepada ajaran Al-Quran.

Dalam penulisan, beliau menekankan bahawa Al-Quran adalah kitab wahyu agung yang turun ke bumi melalui Rasulullah dalam pusingan wahyu terakhir berfungsi sebagai “huddan lil mutaqim” kepada semua aspek kehidupan masyarakat mulai daripada zaman turunnya sehingga akhir zaman.

Al-Quran kata beliau sekiranya ditafsir melalui metodologi saintifik boleh menghasilkan suatu fomula hidup yang mampu menyelesaikan soal keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia sejagat.

Hanya pengajaran Al-Quran berupaya menjadi alternatif kepada kegagalan kesemua sistem hidup bikinan manusia seperti sistem liberalisme, Marxisma, nasionalisme, Nazisme, fasisma, Stalinisisme, Maoisme dan Islamisme tradisional.

Turunnya Al-Quran ke bumi kata beliau berfungsi sebagai al-furqan kepada kesemua kitab-kitab Illahi sebelum, hadis dan falsafah bikinan manusia. Dalam bidang politik dan perlembagaan berhubung isu masyarakat majmuk, beliau melihat formula yang wujud dalam zaman permerintahan Rasulullah dalam “negara bangsa Madinah” yang majmuk iaitu Piagam Madinah sebagai formula penyelesaian terbaik.

Pada beliau formula ini mencerminkan sifat dan dasar inklusif Rasulullah yang luar biasa dalam menangani persoalan budaya masyarakat majmuk. Piagam Madinah juga kata beliau menunjukkan umat Islam mendahului kesemua sejarah tamadun masyarakat dunia dalam mengemukakan formula untuk anggota masyarakat majmuk hidup bersama secara adil dan saksama.

Hakikat ini dapat dilihat kepada intisari Piagam Madinah di mana wujudnya prinsip-prinsip universal iaitu prinsip keadilan, persaudaraan, perpaduan di kalangan mukmin, kesatuan negara bangsa, kebebasan beragama (hak autonomi kumpulan agama mentadbirkan urusan mereka), patuh kepada perjanjian yang dibuat antara pelbagai pihak dalam negara bangsa, menyeru ke arah kebaikan dan melarang kejahatan, memupuk dan membina ke arah peningkatan moral dan perundangan sebagai kaedah utama dalam pemerintahan.

Pada beliau hanya ummah yang memahami dan menghayati “worldview” Al-Quran mampu membangun sebuah tamadun yang tinggi dan universal. Tamadun demikian boleh menyelamat kehidupan manusia di bumi. Katanya lagi oleh kerana ummah kini tinggal “worldview” Al-Quran maka kehidupan ummah jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan ummah Eropah, Amerika, China, Jepun dan Korea.

Lebih menyedihkan lagi kata beliau ummah kini sentiasa menjadi mangsa konspirasi politik, ekonomi dan sosial kuasa besar dunia.

Sebaliknya pula, oleh kerana ummah dalam zaman keagungan dahulu menghayati “worldview” Al-Quran maka selepas 60 tahun sahaja kewafatan Rasulullah kehidupan ummah melonjak naik menjadi suatu kuasa besar dunia selepas mengalahkan empayar Rom dan Parsi. Kerangka besar “worldview” beliau yang positif yang mempunyai elemen reformis ini malangnya digerhanakan pula beberapa pendiriannya yang pada saya wajib dipersoalkan dan dihujah secara ilmiah pula.

Di atas persoalan-persoalan demikianlah maka saya rasa seminar demikian wajar diadakan. Antara persoalan ini ialah sebagaimana berikut:-

1. Menolak frasa 2 dalam syahadah

Surah 63 ayat 1 yang menjadikan dalil bagi Pak Kassim Ahmad untuk menolak frasa 2 dalam syahadah pada saya boleh dipersoalkan. Kalau kita lihat kepada maksud ayat itu nyata ia merujuk kepada penolakkan Allah kepada kaum munafik yang berpura-pura menyebut frasa 2 syahadah tadi di hadapan Rasulullah. Ayat ini tidak sekali-kali menyangkal frasa 2 tadi untuk disebut dalam “dua kalimah syahadah”.


2. Menolak Hadis sebagai sumber penting ilmu teologi dan perundangan Islam. Juga hadis tidak berfungsi sebagai penjelas kepada Al-Quran.


Memang hadis dikumpulkan kemudian iaitu 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah. Memang dalam kumpulan Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’i dan Al Musnad lil Darimin ada mengandungi hadis yang lemah dan palsu. Justeru, kita perlu kepada metodologi dan epistimologi tertentu untuk menentukan taraf dan kedudukan tiap-tiap hadis yang dikumpulkan tadi.

Memang Pak Kassim Ahmad tidak menolak semua hadis. Beliau menerima Piagam Madinah yang terkenal, perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh nabi dengan pelbagai golongan dan surat-surat yang dirakam sejarah.
Akan tetapi apabila beliau menolak hadis yang sahih berfungsi sebagai penjelas kepada maksud ayat-ayat Al-Quran maka pendirian beliau itu susah untuk diterima. Sebab pada hakikatnya Rasulullah tetap penjelas dan penyampai kepada maksud ayat Al-Quran itu sendiri (pendirian demikian tidak bercanggah dengan prinsip bahawa Al-Quran juga mentafsirkan Al-Quran). Berasaskan hujah demikian, hadis sahih tetap berfungsi sebagai sumber penting kepada ilmu teologi dan perundangan Islam.

3. Akhirat


Pandangan Pak Kassim bahawa akhirat ialah suatu era besar yang berlaku di bumi ini adalah suatu pandangan yang sukar untuk diterima. Pada saya alam akhirat ialah alam ghaib yang berada di atas garis di antara benda mutlaq dalam alam syahadah dengan mujarab mutlaq.

Oleh itu, alam barzakh, mashal, syurga dan neraka ialah alam ghaib yang wujud di atas garis tadi yang akan kita semua lalui selepas meninggal dunia nanti.

4. Ulama sebagai kaum paderi


Saya juga tidak bersependapat dengan Pak Kassim apabila beliau menyatakan secara umum bahawa ulama sebagai kaum paderi. Pada saya ulama yang muncul sepanjang zaman pada umumnya terbahagi kepada dua kumpulan.


a) Ulama yang mewarisi tradisi nabi.
b) Ulama dunia.


Yang sepatut kita tolak ialah ulama dunia. Mereka selalunya tidak takut kepada Tuhan. Mereka terpesona kepada kepentingan hidup di dunia dengan berkiblat kepada benda, pangkat, kedudukan, darjat dan bersifat diktator dengan pandangan masing-masing.

Sebaliknya ulama yang mewarisi tradisi nabi mempunyai jiwa islah dan sentiasa takut kepada Allah. Imam Syafie juga seorang ulama yang boleh kita kategorikan sebagai ulama besar yang mengikut tradisi pengajaran Nabi Muhamad terutama untuk zamannya. Pun demikian selaku ulama kesemua pandangannya tidaklah pula boleh dikatakan mutlak.

5. Ulama sufi


Pak Kassim Ahmad menolak semua ulama sufi. Pada beliau mereka menolak “Islam as the world affirmative religion”, pada saya tidak semua ulama sufi demikian. Ada yang mendokong “worldview” yang progresif dalam konteks pembangunan tamadun ummah. Sebagai contoh Syah Waliyullah al Dihlawi (1702 m – 1763 m) dan cucunya Syah Ismail al Syahid.

Seminar bertemakan pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian, yang berlangsung selama dua hari di Putrajaya itu, pada umumnya disambut dengan semangat pro dan kontra secara ilmiah oleh pembentang pembentang kertas kerja, pengulas pengulas dan peserta peserta terhadap permikiran beliau.
Malah satu per tiga daripada dua hari seminar itu diisikan dengan kritikan-kritikan terhadap permikiran beliau. Hakikat ini dapat dilihat dengan kandungan kertas kerja permikiran agama yang dibentangkan oleh Pak Dr M Syafie Anuar.

Demikian juga kita dapati kritikan-kritikan terhadap Pak Kassim Ahmad ada terdapat dalam ulasan yang dibuat oleh saudara Astora Jabat dan ucapan konklusi seminar oleh Prof Dr Chandra Muzaffar.
Saya pula selaku pengerusi seminar juga ada membuat beberapa persoalan secara kritikal kepada permikiran 

Pak Kassim semasa membuat ucapan dalam majlis perasmian seminar itu. Demikian juga selaku pengerusi kepada kelompok bengkel agama saya ada mengemukakan beberapa rumusan bengkel secara kritikal kepada pandangan Pak Kassim dalam sidang pleno.

Menariknya kesemua kritikan-kritikan terhadap Pak Kassim dalam seminar itu dibuat secara berhikmah dan berdiplomasi. Saya berpandangan pendekatan demikian adalah paling baik apabila melihat pula kepada sejarah pengembaraan spiritural dan intelektual Pak Kassim yang mempunyai elemen penghijrahan yang jauh daripada seorang yang kuat mendokong falsafah sosialisma saintifik kepada seorang yang cuba menerokai dan mendalami ilmu Al-Quran.

Pengorbanan sepanjang hayatnya dalam dunia sastera, politik, agama dan falsafah dengan menjadikan soal pendapatan keluarga dan kedudukan sebagai persoalan kedua dalam hidupnya adalah suatu contoh yang sepatutnya menjadi iktibar kepada para intelektual.

Walaupun pandangan beliau ada kelemahan tertentu, semua pandangan dan usaha beliau yang membina dalam dunia sastera, politik, agama dan falsafah janganlah pula kita ketepikan daripada arus perdana. Ketokohannya sepatut didekati dan dihujahkan pandangan-pandangannya secara ilmiah.

Kalaulah beliau boleh berhijrah daripada dunia sosialisma saintifik kepada dunia kearah mengkaji “worldview” Al=Quran, maka tidak mustahil nanti dengan kehendak Allah, beliau akan pulang ke jalan yang lurus dalam kesemua aspek kehidupan termasuk aspek permikiran politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang dikehendaki Al-Quran.

Inilah sepatutnya doa kita bersama kepada beliau dan kepada ummah termasuk kita sendiri. – 26 Februari, 2014.

- http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment