Sunday, February 02, 2014
Pembaziran PRK DUN Kajang, Anwar Cuba Redakan Kemarahan Rakyat
Oleh Nur Azlina Shaari
Sedar tindakannya mengundang rasa marah rakyat dan ahli politik lain di negara ini bersabit isu pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menabur janji mahu berjimat cermat dalam pilihan raya akan datang itu.
Kata Anwar, beliau mengakui sendiri proses PRK yang akan berlangsung akan menanggung perbelanjaan yang tinggi dan melibatkan duit rakyat.
Justeru, beliau mahu mengguna pakai semula segala bahan kempen yang digunakan sebelum ini.
“Saya terima pandangan itu (PRK Dun Kajang suatu pembaziran). Kalau dianggap sebagai pembaziran, maka itu kosnya perlu diminimumkan.
“Dari pihak PKR sendiri, kita sudah beri arahan supaya PRK ini dijalankan dengan kos yang paling minimum termasuk menggunakan poster lama selain poster yang disyaratkan oleh SPR,” kata Anwar yang dipetik dari laporan Sinar Harian.
Sebelum ini, Anwar dan pengikut parti pembangkang yang lain gemar menyalahkan pihak kerajaan dan menuduh kerajaan mudah membazir dalam menguruskan soal perbelajaan negara memandangkan ia melibatkan duit rakyat.
Namun, dalam isu PRK ini, Anwar nampaknya sudah menutup mata tentang hakikat tuduhan yang dilemparkan selama ini kerana sudah terkena kepada dirinya semula.
Bukan itu sahaja, Anwar sendiri diketahui umum bahawasanya dirinya gemar menabur janji kepada rakyat dalam setiap manifesto pilihan raya hanya kerana mahu meraih undi dari rakyat yang kononnya parti pembangkang prihatin terhadap nasib kehidupan rakyat Malaysia.
Tetapi, hingga kini, segala janji yang diberikan dalam setiap kempen pilihan raya masih lagi tidak ditunaikan walaupun parti pembangkang berkesempatan untuk berbuat demikian.
Justeri, demi memenuhi kehendak nafsu diri dan kepentingan untuk menjawat jawatan yang tinggi, persoalannya, mampukah Anwar mengotakan janjinya lagi untuk berjimat-cermat dalam PRK di DUN Kajang.
Ini kerana, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dianggarkan terpaksa membelanjakan lebih RM1 juta untuk menguruskan PRK di DUN Kajang.
Pun begitu, Anwar masih lagi menegaskan jumlah itu terlalu kecil untuk digunakan.
Walhal, tidak nampak sebarang keperluan yang penting untuk mengadakan PRK memandangkan tiada alasan kukuh yang timbul selepas penyandang ADUN Kajang, Lee Chin Cheh sengaja meletakkan jawatan hanya kerana ingin membolehkan ketua pembangkang itu bertanding.
Dan keadaan ini hanyalah alasan licik dari Anwar untuk bertanding sebagai cara mengatasi dan menutup masalah perbalahan peribadi antara Azmin Ali dan Khalid Ibrahim yang berlaku sejak penggal yang lepas.
Walaupun SPR hanya menggunakan duit sebanyak RM1 juta sahaja, tetapi ia tetap dikira sebagai membazir dan itu perkara penting Anwar perlu sedar.
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment