Thursday, February 27, 2014

Jual Nama Tun Mahathir Tipu Pengarah NFC

24 Februari 2014


nfc


















Kuala Lumpur 24 Feb. – Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Sesyen, beliau tidak akan berurusan dengan Datuk Shamsubahrin Ismail sekiranya mengetahui dari awal ahli perniagaan itu bukan dihantar bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantunya.

Bekas pengerusi National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) itu berkata, ahli perniagaan itu memaklumkan kepadanya yang beliau dihantar oleh Dr. Mahathir semasa pertama kali bertemunya di sebuah restoran di Taman Tunku di sini pada November 2011.

Katanya, Shamsubahrin menyebut nama bekas perdana menteri sebagai orang sangat penting (VVIP) yang dimaksudkannya selepas beliau menegaskan tidak mahu meneruskan perbincangan sekiranya ahli perniagaan itu tidak mahu menyatakan nama VVIP tersebut.

“Pada masa itu, dia (Shamsubahrin) jawab tidak boleh memberitahu nama VVIP itu, saya kata ’ok’ dan terus bangun serta mengambil fail untuk beredar namun Shamsubahrin kemudian menyebut nama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan meminta saya duduk semula,” katanya.

Mohamad Salleh, 66, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Abdul Razak Musa, yang kini Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kelantan, selepas dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes Shamsubahrin, 48, menipunya membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta.

Ketika disoal Abdul Razak mengenai semakan yang dibuat terhadap latar belakang Shamsubahrin, katanya, semakan hanya dibuat selepas menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Pengarah Perdana Leadership Foundation Datuk Badariah Arshad, anak Dr. Mahathir iaitu Mokhzani dan setiausaha politik Saufi Yusof.

Bagaimanapun, Mohamad Salleh memaklumkan beliau tidak bertanya sendiri kepada bekas perdana menteri itu.

Pada 26 Nov 2013, mahkamah memerintahkan Shamsubahrin membela diri atas lima pertuduhan pindaan menipu Mohamad Salleh.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr. Mahathir membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment