Thursday, February 27, 2014

Musuh Dalam Kerajaan Bawa Wadah Pembangkang Bakal Hancurkan Negara?

26 Februari 2014


MKPN
Kita dikejutkan dengan  cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup untuk menghapuskan keperluan ruangan bangsa dalam sebarang borang di negara ini  yang didakwa salah satu usaha halus dan terancang untuk mengubah identiti negara yang sedia ada sejak sekian lama.

Tindakan seorang menteri yang dilantik  oleh kerajaan   bersuara dengan nada pembangkang  benar-benar  memberi kejutan.  Kita jadi tertanya-tanya samada menteri ini faham akan misi, visi dan perlembagaan negara.  Sekiranya beliau membawa wadah pembangkang maka beliau  tidak sepatutnya  duduk di kerusi kerajaan.
Cadangan beliau  yang menyokong kesamarataan kaum  dengan jelas  menolak keistimewaan bangsa Melayu di dalam perlembagaan.  Kontrak sosial  harus difahami . Ianya berkaitan  dengan empat perkara utama iaitu – perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak Britishketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

 
Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami – berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.


Oleh itu cadangan untuk menghapuskan nama bangsa dalam borang di negara ini kononnya  selepas 50 tahun penubuhan Malaysia, masyarakat masih dipisahkan dengan identiti kaum dan agama amat keterlaluan. Visi pembangkang yang dibawa oleh beliau perlu dikenakan tindakan tegas.  Sekiranya beliau tidak memahami kontrak sosial, jus soli ketuanan Melayu dan perlembagaan negara maka beliau tidak layak menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau dengan jelas cuba  mengubah identiti negara  seperti yang dikehendaki oleh DAP. Tindakan beliau yang menggunakan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN)  untuk tujuan  membawa wadah DAP amat dikesali. MKPN kononnya  sebagai penasihat  kepada kerajaan berhubung penyatuan nasional rakyat pelbagai kaum di negara ini dalam usaha menyebarkan dan memberi kefahaman mengenai dasar kerajaan kepada rakyat. Kononnya  majlis bebas itu akan menjadi platform untuk membincang dan mencari penyelesaian terbaik bagi isu polarisasi kaum. Ini bukan jalan penyelesaian tetapi menyimbah minyak ke dalam api.
  
Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh MKPN jelas bertentangan dengan halatuju kerajaan Barisan Nasional.  Sebelum ini  MKPN mengeluarkan kenyataan kesal dengan serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim. sedangkan tindakan Persatuan Bible itu seolah-olah telah menghina mahkamah.   Dalam waktu yang sama tindakan mereka itu juga telah menderhaka kepada titah perintah Sultan Selangor yang melarang penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.
  
MKPN  sebenarnya mewakili suara pembangkang  kerana ahli-ahlinya bersifat anti-nasional termasuk yang terlibat dengan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO). Mereka telah mencabar asas Perlembagaan Negara dan Kedaulatan Istitusi Raja. Amat jelas MKPN amat tidak relevan penubuhannya.  Namun secara tidak langsung kita dapat menghidu tindakan menteri yang sebenarnya pro pembangkang.

Dipetik daripada : www. mykmu. net

No comments:

Post a Comment