Baru-baru ini Ketua Penerangan UMNO Malaysia mendakwa, pengundi tidak keluar mengundi, punca BN tewas pada pilihanraya di Permatang Pasir. Itu sahaja. Sedangkan soalan yang sewajarnya diselesaikan adalah, mengapa pengundi tidak keluar mengundi? Apa yang menghalangnya? Apa puncanya? Kalau ini boleh dijawab, maka dari situlah penyelesaiannya perlu diusahakan. Ini jugalah masalah pada PRU 12 yang lalu. Sudah lebih setahun berlalu, namun ia masih lagi dijadikan alasan. Itulah yang saya katakan kita perlu segera bangkit memperbetulkannya.
Tuesday, September 01, 2009
Bersatulah Wahai Orang-Orang Melayu!! - Ketua Penerangan UMNO Pancor
Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera,
RAMADHAN AL-MUBARAK 1430 HIJRAH
Diam tak diam kini kita telah pun berada pada hari ke 12 Ramadhan 1430 Hijrah. Malam ini telah sampai kepada Tarawih yang ke 13. Masjid-masjid dan surau-surau telah mula berkurangan jemaahnya. Bukan perkara baru malahan inilah yang berlaku sejak dari dahulu. Malam pertama, Subhanallah, jemaah Tarawih memang luarbiasa ramainya. Mungkin disebabkan pengaruh hadith (dhaif) yang menyatakan barang siapa yang mengerjakan tarawih pada malam pertama, nescaya akan diampunkan segala dosa-dosanya ibarat bayi yang baru lahir. Ertinya, ramai juga yang sedar bahawa mereka sebenarnya berdosa. Tetapi, persoalan yang penting bukanlah kesedaran bahawa diri seseorang itu berdosa atau tidak, tetapi apa yang lebih penting ialah tentang keazamannya untuk tidak mengulangi dosanya selepas itu. Itulah masalahnya.
Dan, bukan itupun mauduk yang ingin saya utarakan pada kali ini, apa yang ingin saya bawa kepada perhatian umum adalah mengenai Ramadhan ini yang sewajarnya menjadi platform untuk semua umat manusia beragama Islam berubah menjadi seorang Muslim tanpa mengira latarbelakang kepartian serta suku kaum. Kalau Islam biarlah kita bersama. Janganlah dibeza-bezakan dengan keturunan, bangsa, suku kaum, apatah lagi konsep kepartian yang melampau.
Baru-baru ini, kita maklum dengan kekalahan terbaru BN kepada PAS di dalam pilihanraya Permatang Pasir. Kali ini tiada pula cakap-cakap tentang pengaruh PM yang kian diterima sebagaimana di Manik Urai. Kini, ramai yang sudah mulai sedar, betapa, walaupun kita tewas tipis di Manik Urai dan kalah besar di Permatang Pasir, kalah tetap kalah. Dan saya ingatkan sekali lagi, semenjak PRU 12 yang lalu, BN masih belum pernah menang lagi (kecuali di Batang Ai, Sarawak).
Saya tidak menafikan betapa berjayanya pembangkang menerusi pencapaian yang diperolehi. Morally, mereka berjaya mengenepikan pencabar mereka yang mana pada suatu ketika pernah dilihat sebagai mustahil untuk "ditumpaskan". Barisan Nasional semakin hari semakin beralasan di dalam menjawab punca kemerosotan mereka. Malahan, pembangkang sudah mula mencongak-congak posisi mereka apabila mengambil alih pucuk pimpinan negara suatu hari nanti. Apa boleh kita bayangkan nanti, PM kita Dato Seri Najib pula menjadi Ketua Pembangkang? Susah. Payah. Tapi ini tidak mustahil akan berlaku. Khir Toyo, Mahadzir Khir, Tajol Rosli, antara nama yang juga tidak pernah kita sangka menjadi Ketua Pembangkang di negeri masing-masing. Tetapi, itulah realitinya.
Inilah yang sewajarnya kita bimbangkan. Strategi memenangi semula hati rakyat perlu dilakar dan dilaksana segera sebelum segalanya sudah terlewat. Memang sukar, tetapi MESTI dilakukan. Jika tidak lihatlah segala-gala yang ditinggalkan oleh pejuang kemerdekaan kita untuk kita akan musnah begitu sahaja.
Baru-baru ini Ketua Penerangan UMNO Malaysia mendakwa, pengundi tidak keluar mengundi, punca BN tewas pada pilihanraya di Permatang Pasir. Itu sahaja. Sedangkan soalan yang sewajarnya diselesaikan adalah, mengapa pengundi tidak keluar mengundi? Apa yang menghalangnya? Apa puncanya? Kalau ini boleh dijawab, maka dari situlah penyelesaiannya perlu diusahakan. Ini jugalah masalah pada PRU 12 yang lalu. Sudah lebih setahun berlalu, namun ia masih lagi dijadikan alasan. Itulah yang saya katakan kita perlu segera bangkit memperbetulkannya.
Barisan Nasional perlu menerima hakikat semakin hari semakin lemah daya tahannya. Yang gagah hanyalah luarannya. Dari segi batiniah nya kelihatan cukup menderita. PKR-PAS-DAP semakin besar hati dengan kejayaan mereka. Harganya? Perpaduan Nasional. Itulah harganya. Perpaduan diporak perandakan. Penyatuan dinafikan. Itulah harga yang diberi untuk 3K. Kekuasaan, Kekayaan dan Kedudukan.
Pemimpin BN masih ada yang masih belum sedar, tetap dengan lagaknya, rasa seperti seolah dirinya itu tetap diterima ramai walaupun pilihanraya sekali lagi diadakan. Mengapa saya berkata demikian, mudahnya kerana pemimpin masih lagi tetap tidak turun ke padang. Kalau semasa berkempen, setiap peti undi boleh dilawati setiap sehari satu peti undi. Mengapa setelah bergelar wakil rakyat satu peti undi, setahun sekali pun belum tentu. Inilah masalahnya. Sudah berkali ditegur, masih lagi degil. Sudah ditegur masih lagi terasa dirinya bagus. Bukanlah ini dituju kepada semua, tetapi saya tujukan khas buat wakil rakyat yang masih belum sedar.
KETIDAKSTABILAN PARTI KOMPONEN
Hari ini MIC menyaksikan perseteruan Timbalan Presiden. Harapannya agar ini tidak terus-terusan menyebabkan perpecahan parti yang mana akhirnya akan merugikan masyarakat India. Mengapa demikian, kerana setiap calon Timbalan Presiden mempunyai penyokong fanatiknya tersendiri, malahan ada yang berlindung di sebalik Timbalan sebagai tanda penentangan secara sembunyi terhadap Presiden yang telah sekian lama berada di takhta. Hakikat ketidakstabilan ini dirasai oleh dalaman parti. Indah diluaran belum tentu di dalam.
PPP pun begitu. Pertikaian yang tidak berkesudahan antara Kayveas dan Murgiah seolah juga tidak berpenghujung. Dan kedua-dua nama besar di dalam PPP ini juga mempunyai penyokong yang besar dan kapasitinya juga berupaya 'meranapkan' segala impian parti ini. Nampak masalah ini akhir-akhir ini sudah mulai reda dengan campur tangan PM baru-baru ini, namun untuk menjatuhkan hukum bahawa masalah ini sudah selesai.... rasanya jauh panggang dari api.
MCA lagilah parah episodnya. Tidak mustahil, kiranya sejarah Tun Ghafar memangku Presiden MCA terjadi sekali lagi. Pertikaian Ong Tee Kiat dan Chua Soi Lek, terus disensasikan. Ini juga tidak sihat untuk perkembangan Parti. Yang menghairankan, mengapa Chua Soi Lek dipecat, tetapi beberapa bulan yang lalu dibenarkan bertanding sebagai Timbalan. Di mana rasionalnya? Dahulu, Chua Soi Lek telah dengan rela hati meletakkan jawatan di dalam Parti ekoran skandal seksnya. Bererti Chua Soi Lek, mengundurkan diri dengan sukarela. Dan ini diterima baik oleh parti. Kemudian apabila Chua Soi Lek mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, mengapa dibenarkan? Adakah kerana yakin beliau akan tewas walaupun bertanding? Mungkin begitu. Maka perkiraan tersebut ternyata silap.
Kemenangan Chua Soi Lek memeranjatkan semua. Maka atas dasar itu, Chua Soi Lek diterima semula, tanpa jawatan di kabinet. Bukanlah saya menyebelahi Chua Soi Lek, cumanya tindakan yang diambil tersangatlah tidak bijak malahan menunjukkan betapa tidak telitinya Ong Tee Kiat di dalam membuat keputusan. Kini ketidakstabilan MCA berada di tahap yang sangat membimbangkan.
Kesemuanya ini boleh digambarkan sebagai sejarah terburuk Politik Barisan Nasional. Dan jika ini terus dibiarkan, percayalah, akan menjadi titik tolak kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional.
KONSEP SATU MALAYSIA
Atas dasar itulah di Bulan Ramadhan yang mulia dan penuh berkat ini, perlu kesemua peihak bergabung tenaga, bersatu hati agar Perpaduan akan sentiasa terjalin. Kita tidak mahu menjadi negara yang lemah, dan pada ketika itu, musuh negara yang menunggu peluang ini, pasti akan kembali menjajah kita semula. Harapnya ini tidak berlaku.
Sokong dan dokonglah konsep Satu Malaysia, jika tidak dibimbangi ia akan hanya menjadi sebahagian daripada sejarah dan tidak lebih dari itu, sebagaimana "Islam Hadhari" yang sudah tidak diperjuangkan lagi, "Islam Madani" yang juga sudah tidak menjadi agenda Anwar Ibrahim lagi.
Itulah pandangan saya, kalau ini boleh diubah, penyatuan boleh digembleng, saya kira, rakyat tidak akan minta apa-apa lagi. Itulah permintaan rakyat, "dari rakyat untuk rakyat, dari rakyat kepada rakyat".
Untuk orang Melayu bangunlah segera dan sedarlah. BERSATULAH WAHAI ORANG-ORANG MELAYU!! Janganlah digadai segala apa yang ada, takut nanti kita akan kehilangan kesemuanya, baik hak mahupun kuasa. Takut juga kita hilang kebebasan malahan agama dikongkong disekat oleh mereka yang menjadi musuh Islam sebagaimana yang menimpa masyarakat Uighur di negara China.
Demikianlah adanya........
Ketua Penerangan UMNO
UMNO Cawangan Pancor
p/s: Ada juga yang bertanya apa kisahnya dengan masyarakat 'Uighur'. Ini akan saya huraikan dalam penulisan saya sedikit masa lagi, insya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment