Sunday, March 08, 2015
Ahli Perniagaan Dalang Pengasingan Dispensari?
9 Mac 2015 : Seorang ahli perniagaan terkemuka didakwa cuba
menyogok pihak berkaitan sebanyak RM50 juta untuk memastikan pengasingan
fungsi klinik dan farmasi (pengasingan dispensari) dapat dilaksana bagi
membolehkannya memonopoli penjualan ubat di negara ini.
Sumber berkata, ahli perniagaan tersebut yang merupakan taikun dalam
operasi hospital swasta baru-baru ini membeli sebuah syarikat farmasi
utama dalam usahanya untuk mengawal pasaran ubat.
“Dia bayar RM50 juta untuk pastikan pengasingan berjaya sebab itulah perkara ini diperjuangkan bersungguh-sungguh sesuatu pihak.
“Ahli perniagaan itu telah membeli sebuah syarikat farmasi yang
mempunyai francais di seluruh negara ketika isu pengasingan belum
menjadi perbincangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi di
klinik swasta menjadi perdebatan hangat di media arus perdana dan dalam
kalangan pengguna laman sosial kerana pelbagai kesan yang boleh berlaku
sekiranya dilaksanakan.
Langkah tersebut menimbulkan pelbagai persoalan sehingga berlaku pertembungan pendapat antara doktor perubatan dan ahli farmasi.
Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini berkata, pelaksanaan
pengasingan dispensari adalah yang terbaik dalam menyaring pemberian
ubat kepada pesakit dan mengurangkan risiko kesilapan memberi ubat oleh
doktor.
Kenyataan itu bagaimanapun disangkal Persatuan Perubatan Malaysia
(MMA) dengan alasan kemudahan perubatan di negara ini terutama di luar
bandar masih belum bersedia untuk pelaksanaan cadangan itu.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap
supaya kerajaan menolak cadangan itu kerana dikhuatiri menyebabkan
monopoli pihak tertentu dalam penjualan ubat.
Menurut sumber itu, draf Rang Undang-Undang Farmasi (RUUF) yang
dicadang dibentang di Dewan Rakyat juga seolah-olah cuba disembunyikan
daripada dilihat oleh wakil-wakil persatuan doktor perubatan untuk
penambahbaikan.
“Kenapa mereka perlu sembunyi perkara itu, saya rasa ada kaitan dengan tindakan ahli perniagaan berkenaan.
“Sepatutnya draf undang-undang itu diteliti terlebih dahulu untuk
penambahbaikan kerana kerjasama antara doktor dan ahli farmasi
sepatutnya wujud demi kebaikan sistem kesihatan negara,” tambahnya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment