Wednesday, April 29, 2015
GTP Bukanlah Suatu Sandiwara
EDITOR MENULIS....
30 April 2015
Tidak terlaksananya Program Transformasi Kerajaan
(GTP) kira-kira lima tahun lalu melalui ‘mesyuarat tingkap’. Jauh
sekali diputuskan oleh orang kampung sambil menikmati teh tarik di
kedai mamak. Sebaliknya GTP yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Julai 2009, terhasil secara berjemaah
selepas bermusyawarah di Kabinet.
Pendek cerita, GTP adalah hasil daripada denyut nadi rakyat setelah
kerajaan mendapat mandat.
Lebih tepat lagi GTP adalah daripada rakyat
untuk rakyat. Sedikit pencerahan bagi yang ingat-ingat lupa, GTP di
bawahnya mengandungi tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
iaitu Mengurangkan Jenayah, Membanteras Rasuah, Memastikan Pendidikan
Berkualiti, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan
Rendah, Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar, Mempertingkatkan
Pengangkutan Awam Bandar dan Menangani Kos Sara Hidup.
Saya ingin menyentuh mengenai pencapaian NKRA Mengurangkan
Jenayah kerana perbuatan itu boleh dikatakan sebagai ibu kepada segala
kejahatan yang mempunyai rantaian dengan kehidupan rakyat negara ini.
Malah, jenayah juga merupakan antara topik yang paling digemari untuk
dipolemikkan oleh segelintir pihak berkepentingan.
Menurut Laporan Tahunan 2014 GTP yang dibentangkan Najib malam
kelmarin telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan, sekali gus
membuktikan keberkesanan usaha-usaha gigih yang dijalankan bagi menjamin
keselamatan rakyat. Kadar indeks jenayah menurun sebanyak 12.6 peratus
pada tahun lalu, penurunan kedua tertinggi bagi tempoh lima tahun.
Ringkasannya adalah seperti berikut:
– 20 peratus kadar jenayah kecurian kenderaan turun.
– 11.7 peratus kes jenayah pecah rumah turun.
– 147,171 kes jenayah dibicarakan di mahkamah.
– 92.5 peratus tahap kepuasan orang ramai terhadap keupayaan pasukan polis.
– Program keselamatan bandar: 18,102 lampu dipasang, 2,460 cermin
keselamatan dipasang, 34,813 tempat letak motosikal berkunci disediakan,
280.7km besi penghadang dipasang dan 1,165 papan tanda disertakan
nombor talian bebas tol polis.
– 90 peratus daripada 1,233 banduan yang mengikuti program kaunseling
dan nasihat pekerjaan berjaya mendapatkan pekerjaan, selain tiada
seorang daripada mereka dipenjarakan semula.
Sebenarnya angka tidak pernah menipu, ini adalah hakikat meskipun
masih tetap dimanipulasikan oleh segelintir. Komitmen kerajaan amat
jelas dan konsisten dalam membanteras aktiviti jenayah, namun tanggapan
segelintir masyarakat berhubung isu ini masih tidak dapat diubah.
Ini adalah lumrah alam, setiap sesuatu diciptakan berpasangan. Siang
ada malamnya, hidup ada matinya, baik ada jahatnya, syurga semestinya
pasangannya adalah neraka. Justeru, apa yang harus diusahakan kerajaan
selepas ini adalah melaksanakan strategi untuk menangani persepsi itu.
Jangan sesekali dibiarkan kerajaan berseorangan. Hasil pencapaian
indeks itu sewajarnya turut disokong melalui pelbagai program pencegahan
yang dilaksanakan oleh pasukan keselamatan khususnya polis bersama-sama
dengan sektor swasta. Seperti mendirikan solat, berseorangan akan dapat
pahala tetapi sekiranya berjemaah lebih banyak pahala bakal diperoleh.
Sektor swasta harus bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha memerangi
jenayah secara lebih efektif. Para majikan dicadangkan supaya
mewajibkan setiap pekerja mereka terutamanya golongan wanita menjalani
latihan pencegahan jenayah, sasarannya bukan sekadar untuk jangka masa
pendek tetapi bertujuan untuk menuai hasil dalam tempoh masa yang
panjang.
Dalam pada usaha kerajaan membentangkan Laporan GTP itu, terdapat
juga cakap-cakap nakal semestinya di alam maya bahawa langkah itu hanya
sandiwara dan tidak lebih daripada sekadar lakonan semata-mata.
Kejujuran kerajaan dipersoalkan. Sekiranya kerajaan tidak ikhlas,
adalah amat mustahil untuk kerajaan mengumumkan GTP kira-kira lima tahun
lalu dengan turut menetapkan sasaran tertentu.
Jika betul apa yang ditohmahkan, bermakna kerajaan sengaja mencari
pasal dengan menghulurkan leher untuk disembelih. Namun situasi itu
tidak berlaku, sebagaimana yang ditegaskan oleh Perdana Menteri semasa
membentangkan laporan itu, “Walau dilintang dengan seribu aral, biarpun
kita sedang diasak dan dikritik, sebagai sebuah kerajaan yang telus,
kita tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah, malah akan tetap
beristiqamah dan terus berjuang, merintis sejuta lagi jalan baharu demi
kebaktian kepada rakyat dan negara.’’
Kepada penjenayah di luar sana, jangan sesekali mencuba untuk
merosakkan rekod memberangsangkan itu kerana pasukan keselamatan
terutamanya polis tidak pernah selesa berada dalam bilik berhawa dingin
dan menyandar di atas kerusi empuk. Mereka akan tetap mencari, memburu
anda semua sehingga ke lubang cacing.
Memetik lagu dendangan kumpulan Wings bertajuk Hukum Karma yang diterbitkan pada 1988:
"...Buat baik berpada-pada,
Kata orang tua,
Buat jahat jangan sekali
Engkau takkan rugi
Mulia dibalas syurga
Dosa kan sengsara
Ini hukum karma.."
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
#PRKPermatangPauh : Siapa Jilat Ludah Siapa?
30 April 2015, Kuala Lumpur : Jika ada yang mahu menyaksikan episod paling
memalukan dalam kalangan orang berpendirian, lihatlah kepada Dewan
Pemuda Pas (DPP) Pulau Pinang ketika ini.
Hanya dalam satu malam, ketegasan dalam mempertahan maruah diri dan parti diletakkan di bawah tapak kaki.
Masih terngiang-ngiang ketegasan Ketua DPP negeri, Mohd. Yusni Mat
Piah yang tidak berganjak mendesak AMK memohon maaf dan menarik balik
kenyataan mengkritik Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Malah, Mohd. Yusni juga sempat menyindir Pemuda Sosialis DAP (DAPSY)
supaya lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan agar tidak dilihat
seperti menjilat ludah sendiri.
Tetapi ketika ini, siapa sebenarnya yang menjilat ludah sendiri?
Tidak dapat dipastikan apa perjanjian yang dibuat antara DPP negeri,
AMK dan DAPSY sehingga Mohd. Yusni tergamak membuat pusingan-U.
Namun, apa pun alasannya, keputusan itu sama sekali tidak boleh
diterima. Ini bukan lagi soal untuk memenangkan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Jika Pemuda Pas tidak menggerakkan jentera mereka dalam PRK itu
sekalipun, umum sudah mengetahui Parlimen tersebut adalah kubu kuat
pembangkang.
Jadi, tidak ada bezanya sama ada Pemuda Pas mahu membantu kempen
calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau sebaliknya.
Tetapi, apa yang dikorbankan Pemuda Pas ketika ini adalah sesuatu
yang lebih besar daripada kemenangan pembangkang di kerusi itu iaitu
maruah dan harga diri mereka.
Dengan keputusan itu, Pas selama-lamanya akan dilihat seperti parti yang boleh diperkudakan dalam pembangkang.
Malah, DAP dan PKR pada bila-bila masa pun tidak perlu takut atau
berasa terancam dengan Pas kerana mereka tahu pemimpin Pas boleh dicucuk
hidung.
Lebih malang, perkara itu ditunjukkan dalam kalangan generasi muda Pas yang kelak bakal mengisi barisan kepimpinan Pas Pusat.
Agak lucu mengenangkan Pemuda Pas dalam melondehkan maruah mereka
masih menuntut AMK memohon maaf dan menarik balik kritikan terhadap
Abdul Hadi.
Jika selepas diugut tidak akan membantu kempen PKR pun AMK tidak akan
memohon maaf, jadi apa yang membuatkan Pemuda Pas beranggapan AMK akan
berbuat demikian selepas ini?
Persoalan lain yang perlu dijawab Pemuda Pas negeri juga adalah
bagaimana dengan pendirian Dewan Pemuda Pas Kawasan dari seluruh negara
yang sebelum ini tampil menyatakan sokongan?
Apa alasan yang mahu diberikan kepada Dewan Pemuda Pas Kawasan ini untuk mereka bersama-sama menelan ludah sendiri?
Sesuatu yang pasti, keputusan pusingan-U yang dibuat pemimpin Pas
Kawasan Permatang Pauh dan DPP negeri ini langsung tidak mewakili suara
ahli-ahli akar umbi.
Daripada pengalaman mendekati pengundi Pas di Permatang Pauh,
rata-rata mereka masih kecewa dan terkesan dengan penghinaan PKR serta
DAP terhadap pemimpin mereka.
Malah, mereka juga tidak akan sesekali berkompromi dengan pihak yang
menolak pelaksanaan hukum hudud yang merupakan roh perjuangan Pas sejak
sekian lama.
Kerana itu, Pemuda Pas jangan berasa terlalu selesa dengan keputusan
yang dibuat mereka semalam yang pastinya mengguris hati ahli akar umbi.
Dipetik daripada sumber : Utusan
#PRKPermatangPauh: 7 Mei Cuti, Bukti Lim Guan Eng Tidak Percaya Kepada PAS!
EDITOR MENULIS...
29 APRIL 2015
Apabila Lim Guan Eng mengumumkan cuti
khas pada hari pengundian dijalankan iaitu 7 Mei, tidak sukar untuk
menjangka strateginya, iaitu mahukan kekuatan jentera DAP dan PKR untuk
sama-sama turun bagi memastikan jentera Barisan Nasional tidak dominan
dalam usaha untuk meraih undi pada saat akhir.
Kerisauan Lim Guan Eng ini dapat
dirasakan, apabila tekanan demi tekanan secara “dalaman” dikenakan ke
atas Pemuda PAS negeri, yang sebelum ini bertindak untuk memboikot
jentera PR pada pilihanraya kecil kali ini sehingga keputusan “U-Turn”
dinatijahkan, persis seperti ramalan ramai pemerhati politik.
Arahan untuk mengambil tindakan
tatatertib ke atas Dewan Pemuda PAS negeri merupakan sebahagian dari
desakan berkenaan. Terdahulu, Mat Sabu telah berjaya membuat PAS negeri
akur untuk sama-sama membantu calon dari parti yang jelas menolak
prinsip dan perjuangan PAS sejak dahulu.
Faham akan landskap politik Pakatan, Lim
Guan Eng bertindak bijak untuk memastikan jentera mereka tidak
ketinggalan dari segi jumlah. Ini bermakna, Guan Eng tahu bahawa selama
ini, dokongan jentera dan undi PAS merupakan intipati kejayaan mereka
dalam menakluk sokongan pengundi. Setuju atau tidak, PKR merupakan parti
opportunis, yang bijak mengambil kesempatan ke atas kelemahan PAS
lantas memanipulasi jentera parti itu untuk kepentingan pimpinan PKR
sendiri.
Kerisauan DAP dan PKR akan keupayaan PAS
untuk mandiri dan berdiri di atas prinsip dan perjuangan sendiri jelas
dapat dilihat pada satu program yang bertempat di tapak ekspo Seberang
Jaya malam tadi.
Chris Lee, DAPSY Pulau Pinang, secara
terus terang memberitahu bahawa DAP dan PAS tidak akan berpecah, dan
terus bersatu. Sentimen yang sama juga digunakan oleh RSN Rayer yang
terkenal dengan ungkapan “Celaka”, dengan mengundang dua orang
“bodyguard” nya dari PAS, sambil memuji-muji mereka berdua.
Ini semua adalah taktik, untuk memujuk
dan membuktikan kononnya merekalah sahabat sejati, sedang Hadi Awang
bermati-matian mempertahankan perjuangan PAS bersendirian apabila
dikritik hebat oleh pimpinan DAP.
Rupanya, secara tidak mereka sedar,
mereka sendiri membenarkan pendapat bahawa PAS memang mempunyai jentera
yang dominan dan kuat di dalam Pakatan Rakyat, yang tidak mampu
ditawarkan oleh PKR. Bonus bagi DAP dan PKR, PAS tidak menyedari hal
ini, dan terbukti mudah diperkotak-katikkan mengikut selera mereka.
Oleh itu, tindakan mengistiharkan cuti
pada 7 Mei adalah strategi yang baik, disamping mampu mengarahkan
jentera agensi kerajaan negeri untuk sama-sama turun membantu proses
meraih undi. Tiada masalah bagi Lim Guan Eng sekiranya PAS masih enggan
menggerakkan jentera mereka.
Sehingga ke hari ini, Hadi Awang masih belum mengeluarkan arahan untuk ahli PAS mengundi calon PKR pada 7 haribulan nanti.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
GST Kad Pra Bayar: Siapa Berkuasa Kastam atau SKMM?
29 April 2015, Kuala Lumpur : Tidak sampai beberapa jam selepas Kastam
mengarahkan semua syarikat telekomunikasi dikehendaki mengekalkan harga
asal kad prabayar berdasarkan kepada konsep ‘tax inclusive’ (termasuk
cukai) berkuatkuasa 1 Mei ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) menolak arahan tersebut.
Pagi tadi media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja
Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, surat arahan
berhubung supaya harga kad prabayar dikekalkan telah dihantar kepada
semua syarikat telekomunikasi semalam bagi memastikan syarikat-syarikat
itu patuh dengan arahan tersebut.
Beliau berkata, melalui arahan terbaharu itu setiap harga kad
prabayar telah dimasukkan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan
kaedah itu sama seperti penguatkuasaan cukai perkhidmatan di bawah Akta
Cukai Perkhidmatan.
Bagaimanapun, SKMM yang bertanggungjawab mengawal selia industri
telekomunikasi membuat kenyataan akhbar melalui laman Facebook mereka
bahawa isian semula prabayar akan terus dijual dengan GST (Cukai
Barangan dan Perkhidmatan) ditambah kepada amaun isian semula.
Sebagai contoh, isian semula RM10.00 akan dijual pada harga RM10.60
termasuk GST 6%, perjelas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia (MCMC), Dato’ Sri Dr Halim Shafie.
“Seperti kenyataan kami pada 3 April 2015, satu kajian akan
dijalankan oleh pembekal komunikasi untuk menilai sama ada pelanggan
memilih nilai isian semula yang lebih rendah selepas GST dikenakan.
Sebagai contoh, isian semula RM10.00 boleh dijual pada harga RM10.60
(isian semula RM10 dengan tambahan 6% GST) atau RM10.00 (isian semula
dengan nilai RM9.43 dengan tambahan 6% GST).”
Siapa yang lebih berkuasa sebenarnya, Kastam atau SKMM? Mengapa SKMM
tidak boleh mengikut arahan Kastam yang merupakan pihak pengawal selia
pelaksanaan GST ini?
Mungkin sudah tiba masanya Menteri Komunikasi dan Multimedia pecat
sahaja Pengerusi SKMM Datuk Sri Dr. Halim Shafie ini. Beliau tiada kuasa
untuk menidakkan arahan Kastam dalam isu GST.
Sebagai badan pengawal selia industri adalah tanggungjawab SKMM
memastikan dasar dan polisi kerajaan dipatuhi oleh syarikat
telekomunikasi (telco) bukannya menjadi agen menjaga kepentingan mereka.
SKMM perlu sedar tanggungjawab mereka menjaga kepentingan rakyat dari ditindas oleh Telco bukannya menjaga kepentingan Telco.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
347 Barangan Turun Harga, 267 Peniaga Dikompaun
29 April 2015, Putrajaya : Sebanyak 99 jenis barangan
di Semenanjung, 145 di Sabah dan 102 di Sarawak mengalami penurunan
harga selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata
Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad.
Beliau berkata, ia merupakan hasil analisis Majlis Harga Negara
berdasarkan tinjauan minggu ketiga bulan Mac dan April di pasar, pasar
raya dan kedai runcit mengikut kawasan parlimen di seluruh negara.
Katanya, barangan yang mengalami penurunan harga termasuklah barangan basah, kering, berbungkus/tin/kotak, makanan dan barangan bayi.
“Bukan semua harga barangan akan naik selepas pelaksanaan GST, inilah
buktinya berdasarkan kaji selidik dilakukan 1,250 pegawai pemantau
harga di seluruh negara.
“Tidak dapat dinafikan bahawa ada barangan yang naik harga dan ia
tidak dapat dielak berikutan faktor seperti kenaikan tukaran mata wang,
kenaikan harga barangan di negara asal dan perubahan cuaca,” katanya
pada sidang media di sini hari ini.
Di Semenanjung, antara barangan yang mengalami penurunan harga ialah
Dumex Dupro, Nestle Gandum dan Madu (tin), udang putih besar (import),
kacang bendi dan beras super.
Di Sabah pula, barangan turun harga termasuk Drinho Soya (kotak),
bawang besar diimport dari India, kubis bulat, beras cap Rambutan (SST
5%) dan rempah kurma, manakala di Sarawak termasuk teh boh (uncang dan
serbuk), lobak merah, sos cili Kimball dan oren Sunkist.
Alias berkata, sebanyak 182,059 premis diperiksa di seluruh negara
dari 1 April sehingga semalam, dengan sebanyak 510 kes dikenakan
tindakan.
Katanya, sebanyak 729 notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan sehingga semalam .
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 267 kes dikenakan kompaun dengan nilai rampasan RM92,584,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
“Flip-Flop”: PAS Hina Diri Sendiri Di Permatang Pauh
EDITOR MENULIS....
29 APRIL 2015
Sebagaimana
yang dijangka ramai pemerhati politik, PAS Permatang Pauh dan Pemuda
PAS Pulau Pinang akhirnya membuat keputusan untuk membuat “pusingan U”
setelah sebelum ini mereka kononnya menegaskan berpegang teguh pada
prinsip menegakkan hukum Allah SWT.
Setelah PAS Permatang Pauh “tewas” berdepan dengan Mat Sabu, pagi tadi
Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang pula menggadai maruah dan hukum Allah
apabila menyatakan bahawa mereka akan kembali berkempen untuk sebuah
parti yang menolak enakmen hudud.
Sebelum ini, PAS Permatang Pauh dalam fatwa mereka sempena PRK Permatang
Pauh menegaskan bahawa adalah haram hukumnya memberi undi pada parti
yang menolak hudud dan kenyataan itu dipercayai merujuk kepada PKR dan
DAP.
Namun, apabila sudah sanggup menggadai prinsip dan maruah diri, agaknya
apa yang boleh kita bayangkan tentang perjuangan mereka yang jelas
“flip-flop” itu? Goyah, rapuh dan langsung tidak meyakinkan, bukan?
Berdegar-degar bunyinya di depan rakyat kononnya haram mengundi parti
yang menolak hudud. Kini, yang haram sudah menjadi halal. Apakah PAS
kini sudah tersampuk “hantu” PKR yang memegang teguh prinsip “matlamat
menghalalkan cara”?
Saya enggan untuk membuat sebarang tuduhan terhadap PAS Permatang Pauh mahupun Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang tentang tindakan mereka membuat pusingan U ini.
Namun tidak kiralah sama ada wang ringgit, jawatan tinggi atau sejahat
mana ugutan yang dihamburkan, apa yang jelas bahawa mereka sanggup
menggadaikan apa saja demi politik, bukan?
Jika sampai tergamak menggadai hukum halal haram dan perjuangan, di mana
agaknya mereka meletakkan maruah mereka? Di bawah buku lali atau lebih
hina lagi di bawah tapak kaki?
Jika mereka menggadai sesuatu yang bersifat duniawi, saya mungkin boleh
menerima baik tindakan tersebut. Apalah sangat dengan dunia yang
sementara ini, bukan?
Namun, apabila prinsip yang digadai mereka itu melibatkan hal agama
Islam dan hukum-hakam Allah SWT, nampaknya PAS sememangnya parti
“flip-flop” yang tergamak memperjudikan agama demi merebut kuasa
politik.
Kini sudah terbukti dengan jelas bahawa PAS hanya mempermain dan
memperguna Islam sebagai alat pekakas mereka untuk meraih sokongan umat
Islam di Malaysia. PRK Permatang Pauh adalah saksinya.
Saya yakin, rakyat di negara ini khususnya umat Islam dapat melihat
kebobrokan PAS yang kononnya berjuang demi Islam, namun sebenarnya
hanyalah sebuah jemaah yang lebih “bertuhankan” politik berbanding
prinsip perjuangan Islam. Biarlah rakyat menilai…
Yang saya pasti, PKR dan DAP akan tersengih-sengih melihat PAS di
Permatang Pauh. Begitu mudah sekali PAS tewas dalam permainan politik
dalaman Pakatan Rakyat. Tidak perlu menghina PAS, hari ini PAS sendiri
yang menghina diri sendiri di Permatang Pauh.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
#PRKRompin: Mazlan Aliman, ANAK – Punca Kegagalan Kempen PAS
29 April 2015, Rompin : Agak menyedihkan juga nasib Mazlan Aliman dan
pertubuhan ANAKnya (Anak FELDA Kebangsaan) bilamana mereka tidak dapat
menerima hakikat bahawa kehadiran mereka di Parlimen Rompin dilihat
sebagai liabiliti kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) PAS.
Program anjuran ANAK dengan kerjasama PAS, Himpunan Selamatkan FELDA
2.0 di FELDA Keratong 4 hujung minggu lalu dilihat gagal dalam meraih
sokongan dan kepercayaan pengundi di FELDA Gugusan Keratong. Kegagalan
yang masih cuba diputar belitkan!
Program tersebut yang dijadualkan selama 2 hari berturut-turut
sepatutnya diakhiri dengan ceramah Mat Sabu pada malam 26hb April, namun
program tersebut telah dibatalkan keseluruhannya secara tiba-tiba pada
tengahari.
Peniaga pula sudah mula mengemas tapak jualan seawal lebih kurang jam
1 petang manakala kerusi meja diangkut pada sebelah petang lebih kurang
jam 6.
Pembatalan program tersebut dan ceramah penutup tanpa alasan yang
kukuh menjadi tanda tanya dan bahan sendaan penduduk tempatan apabila
menggelarkan Himpunan Selamatkan FELDA 2.0 sebagai ‘Himpunan Selamatkan
Diri 2.0′.
Alasan yang diberikan berikutan pembatalan program tersebut secara
mendadak kononnya berlaku perbalahan antara Mat Sabu dan Tuan Ibrahim
Tuan Man.
Alasan perbalahan dua kepimpinan PAS itu digembar-gemburkan dan
dijaja merata tempat oleh ANAK, namun persoalan mula timbul bukan sahaja
kepada penduduk tempatan di Keratong malah turut dipersoalkan oleh
pengikut PAS sendiri.
Ini adalah kerana pada malam 26hb April iaitu malam yang sepatutnya
menjadi malam penutup Himpunan Selamatkan FELDA 2.0, Mat Sabu dan Tuan
Ibrahim telah berkongsi pentas ceramah yang sama di markas PAS FELDA
Selancar 2 untuk kempen PAS PRK Rompin.
Ironinya, ceramah kempen PAS di FELDA Selancar 2 tersebut tanpa kehadiran Mazlan Aliman mahupun pertubuhannya, ANAK.
Ini menimbulkan tanda tanya terutama kepada pengikut dan penyokong
PAS sendiri di Rompin, kesahihan alasan pembatalan program ANAK cukup
mencurigakan!
Selain isu pembatalan program ANAK, Himpunan Selamatkan FELDA 2.0
secara tiba-tiba, kehadiran Datuk Sarchu Sawal, bekas Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) kepada anak syarikat Koperasi Permodalan FELDA (KPF)
iaitu KPF Quality Foods Sdn Bhd yang berceramah pada malam 25hb April
turut menjadi buah mulut masyarakat FELDA di Parlimen Rompin khususnya
di FELDA Gugusan Keratong.
Isu yang ditimbulkan oleh penduduk FELDA disini adalah Sarchu
diumumkan sebagai bekas CEO KPF sedangkan Sarchu hanyalah CEO kepada
anak syarikat KPF.
Warga FELDA merasa cukup tertipu apalagi bila media utama PAS, Harakah turut menamakan Sarchu sebagai bekas CEO KPF.
Selain isu menipu jawatan yang pernah disandang oleh Sarchu, perkara
yang menjadi perhatian utama warga FELDA adalah isu etika dan
kredibiliti Sarchu yang dipersoalkan apabila terbongkar perihal Sarchu
yang didakwa pecah amanah iaitu menyeleweng dana syarikat sebanyak RM16
juta daripada jumlah keseluruhan dalam kes, RM30 juta (pendakwaan
terhadap 2 individu termasuk Sarchu).
Warga FELDA mempersoalkan kredibilit Sarchu yang masih dalam
perbicaraan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes
pecah amanah tersebut.
Ramai yang mempersoalkan kelayakan Sarchu untuk ‘selamatkan FELDA,
selamatkan KPF’ sedangkan beliau masih dalam perbicaraan kesnya di SPRM
dan dipecat!
Ada juga yang menyindir, sebaiknya Sarchu selamatkan dirinya terlebih
dahulu sebelum sibuk hendak menyelamatkan organisasi gergasi orang
Melayu, FELDA.
Bagi warga FELDA disini, Sarchu dilihat sekadar menggunakan peluang
berceramah atas pentas PAS hanyalah atas sebab dendamnya kepada FELDA
dan KPF, bukan kerana hendak menyelamatkan FELDA dan KPF.
Selepas Himpunan Selamatkan FELDA 2.0 anjuran ANAK, PAS sekali lagi
menggunakan khidmat Sarchu pada 28hb April (semalam) dalam kempen PAS
PRK Rompin di kawasan kedai FELDA Keratong 4.
Namun semalam, kempen PAS di FELDA Keratong 4 bersama Sarchu tanpa kehadiran Mazlan Aliman mahupun pertubuhan ANAK.
Situasi menunjukkan seolah-olah Mazlan Aliman lebih hina jika
dibandingkan dengan Sarchu pada pandangan PAS bilamana Sarchu yang masih
dibicarakan kes seleweng duit syarikat dijemput namun Mazlan Aliman dan
ANAK diketepikan.
Ini menjadi isyarat jelas kepada warga FELDA khususnya di Gugusan
Keratong, Gugusan Selancar dan Gugusan Selendang, bahawa Mazlan Aliman
dan ANAK adalah liabiliti terbesar PAS untuk kempen PRK Rompin.
Persoalan ini mula ditimbulkan oleh kerana PAS kini dilihat bergerak
sendiri dalam kawasan-kawasan FELDA di Parlimen Rompin tanpa kehadiran
Mazlan Aliman dan ANAK.
Melalui tinjauan FeldaVoice bersama warga penduduk (pengundi) FELDA
Gugusan Keratong, Mazlan Aliman dan ANAK bukan sahaja dilihat sebagai
liabiliti PAS malah Mazlan Aliman dan ANAK menjadi liabiliti terbesar
kepada warga FELDA seluruh negara.
Warga FELDA mempersoalkan peranan Mazlan Aliman dan ANAK yang kononnya ingin menjadi jaguh kampung dalam kalangan warga FELDA.
Dimanakah kelibat Mazlan Aliman dan ANAK saat warga FELDA seluruh negara berdepan malang sewaktu banjir besar melanda negara?
Inilah persoalan yang paling banyak dikemukakan oleh warga penduduk
FELDA disini apabila mengenangkan nasib warga FELDA ketika menerima bah
banjir besar baru-baru ini terutama dalam negeri Pahang khususnya
Wilayah Jengka, Wilayah Mempaga dan sudah pasti jiran-jiran Gugusan
FELDA Wilayah Kuantan.
Malah paling buruk, adalah warga FELDA di Wilayah Gua Musang, Kelantan.
Selain itu, mereka juga turut tertanya-tanya kenapa Mazlan Aliman dan
ANAK tidak membantu 271 orang peneroka FELDA Kemahang 3 dalam tuntutan
mereka untuk memaksa Wan Rohaimi membayar mereka sepertimana yang telah
ditetapkan oleh Mahkamah Kota Bharu, Kelantan, sedangkan Mazlan Aliman
telah melantik Wan Rohaimi sebagai peguambelanya.
Lebih lagi, peranan Mazlan Aliman dan ANAK dipersoalkan apabila
kerajaan PAS Kelantan menaikkan premium tanah sebanyak 400% iaitu dari
RM3 ribu kepada RM29,000. Hampir sepuluh kali ganda!
Kenapa Mazlan Aliman dan pertubuhannya, ANAK, tidak memperjuangkan nasib warga peneroka di negeri Kelantan?
Persoalan ini yang majoritinya berlaku di Kelantan, dibangkitkan oleh
warga FELDA dalam Parlimen Rompin kerana Kelantan adalah negeri dimana
PAS berkuasa sepenuhnya namun nasib warga FELDA disana ditindas tanpa
pembelaan individu ‘jaguh kampung’ yang amat taksub kepada PAS ini,
Mazlan Aliman.
Warga FELDA mempersoalkan kredibiliti Mazlan Aliman, ANAK dan PAS
malah menurut mereka, “jika peneroka dalam negeri mereka sendiri tidak
terbela, apalah nasib kami jika diwakili Ahli Parlimen PAS dalam negeri
yang tidak diperintah oleh mereka“, begitulah luahan beberapa penduduk
dalam FELDA Gugusan Keratong yang sempat ditemui.
Maka, benarlah telahan ramai pihak bahawa Mazlan Aliman dan ANAK
hanya akan dilihat kewujudannya dalam musim Pilihan Raya Umum (PRU) dan
Pilihan Raya Kecil (PRK) sahaja selain aktiviti kegemaran mereka iaitu
berdemonstrasi serta berhimpun seakan makhluk yang tidak bertamadun
sambil mengutip ‘cukai’ demonstrasi dan himpunan.
Selepas habis musim pilihan raya, mereka akan ‘berhibernasi’ dan hilang dari muka bumi!
Dipetik daripada sumber : Feldavoice.com
PRK Rompin: Menteri Lawat Mangsa Kebakaran Pun Jadi Isu?
29 April 2015, Rompin : PAS dakwa mereka ada kelebihan dalam PRK
Rompin berikutan keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST awal bulan
ini. Tak hairanlah kenapa dalam mantan Perdana Menteri Tun Mahathir
Mohamad sibuk menjaja isu berkaitan 1MDB untuk memastikan UMNO/BN kalah
di Permatang Pauh dan Rompin, PAS menumpu sepenuhnya kepada GST.
IMDB ada sebut juga tapi bila lalat
keluar masuk dalam mulut orang yang mendengar, PAS seakan hilang selera,
nampak sangat menganga tak tahu dan tak faham isu. Dari buang masa
cakap benda yang orang tak faham, lebih baik utama apa yang boleh beri
kelebihan.
Tapi saya agak terkejut bila dalam
PAS mendakwa mereka ada kelebihan berbanding BN dalam isu GST ini,
sampai ke pengetahuan penulis dimana PAS masih bermain gaya kempen
ketinggalan zaman dengan mempolitikkan lawatan Menteri Pertahanan, Datuk
Seri Hishamuddin Hussein ke rumah seorang mangsa kebakaran di Bukit
Ibam kelmarin, menggunakan adik ipar kepada mangsa tersebut.
Kononnya mangsa tu dah berbulan-bulan
tidur beratapkan langitlah dan sebagainya baru Menteri nak datang
melawat dan sebagainya – nak sinikal lah kononnya tapi jelas tak kena
gaya.
Mana ada orang tidur berbumbungkan
langit di Malaysia ini, melainkan gelandangan yang mabuk dadah – lagikan
pulak orang yang ada saudara mara seperti mangsa kebakaran terbabit.
Ada yang mengaku adik ipar tu kira ada saudara maralah.
Sebelum sibuk
tanya mana Menteri, yang awak tu adik ipar buat apa? Itu persoalannya.
Saya bagaimanapun tak berminat nak
memanjangkan isu terbabit memandangkan dengan kehadiran Datuk Seri
Hishamudin, pihak tentera telah diarahkan untuk membantu membina rumah
mangsa, kerajaan negeri dan pihak yang berkaitan pun khabarnya turut
menghulurkan bantuan. Apa yang berlaku sebelum itu pedulikanlah, dah
lepas, yang penting ke depan ni, masalah itu dah selesai.
Banding dengan PAS, tak buat apa benda pun.
Jangan kata nak bantu orang, nak bantu diri mereka sendiri pun belum tentu.
Soal bantuan bila datang dan kenapa
datang hanya bila berlaku pilihanraya dan sebagainya, itu bukan isu.
Azizah sendiri pun publisitikan dirinya membeli tuala wanita bila PRK
Permatang Pauh ada saja – bandingkan itu dengan bantuan dihulur Datuk
Seri Hishamudin, siapa yang lebih nampak terdesak?
Jadi yang kata ada kelebihan itu hanya temberang sajalah, dah nama pun PAS, mana boleh pisah dengan temberang.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Pembangkang Sekadar Canang Isu Bermusim – Hishammuddin
29 April 2015, Rompin : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein menyifatkan isu-isu yang dibawa oleh pakatan pembangkang
khususnya Pas sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin, 5 Mei ini
merupakan isu bermusim.
Ujarnya, bila tiba kempen pilihan raya, termasuk pilihan raya umum
dan pilihan raya kecil, pihak pembangkang akan membawa cerita-cerita
tidak betul.
“Termasuk di Sembrong sebelum ada pilihanraya umum, mereka tak datang
dan tak nampak batang hidung pun tetapi bila tiba musim pilihan raya
nanti, mereka akan datang bawa pelbagai cerita.
Yang menyedihkan, cerita-cerita yang boleh memecah-belahkan
masyarakat, menang atau kalah pun, mereka akan pergi meninggalkan kita.
Sebab itu kita kena pastikan Datuk Hasan Ariffin menang PRK, 5 Mei ini,
bagi memastikan perjuangan untuk warga Felda tetap terbela bila wakil
rakyat tetap bersama dengan Barisan Nasional,” ujarnya yang juga
Penyelaras Jentera BN PRK Rompin.
Tambahnya, bagi memastikan kemenangan besar Datuk Hassan pada 5 Mei
ini, jentera BN diarahkan untuk menggerakkan jentera PDM secara lebih
agresif untuk mendekati pengundi.
“Kita pastikan bahawa PDM, cawangan, pergerakan sayap semua bergerak
senada seirama, kita berikan tumpuan kepada tarikh pembuangan undi mulai
hari ini, kita pastikan orang-orang kita keluar mengundi ramai dari
awal pagi kerana kita tidak boleh ambil mudah.
Tambahnya, kita tidak datang untuk membawa perpecahan khususnya kepada warga Felda dan masyarakat di Parlimen Rompin ini.
“Yang datang mengadu-domba, memecah-belahkan ini mereka di luar sana,
kita sampaikan mesej kepada mereka bahawa UMNO dan BN tidak
terikut-ikut dengan provokasi dan mereka tidak ada tempat seinci pun
untuk mereka bawa politik negatif, pecah belah yang mereka di kawasan
ini.
Perjuangan kita konsisten, perjuangan yang kita warisi dari nenek
moyang kita, yang penting keikhlasan kita untuk membela nasib orang
kita,” tambahnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
BN Optimis Raih Majoriti Lebih 15,000 Undi – Muhyiddin
29 April 2015, Rompin : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
optimis Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti melebihi 15,000
undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, walaupun mengakui ia bukan
tugas mudah.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata keyakinan itu
berdasarkan kepada gerak kerja jentera parti yang kini berjalan lancar
dengan keseluruhan kawasan di parlimen berkenaan sudahpun dilawati untuk
bertemu dengan pengundi.
“Setakat hari ini, semua berjalan dengan baik, tidak ada masalah
antara jentera parti. Kita mahu ia dipertingkatkan lagi dan isu-isu
berbangkit seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Felda Global
Ventures (FGV), ekonomi, pekerjaan dan sara hidup telahpun kita
jelaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Yayasan Kebajikan Negara
(YKN) Dialisis Rompin di Pantai Hiburan, di sini hari ini, yang dibina
dengan kos RM1.5 juta.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Muhyiddin berkata gerak kerja jentera BN kini memasuki fasa kedua
yang disifatkan lebih kritikal, dan ia akan dijalankan dengan lebih
agresif supaya 53,294 pengundi berdaftar di Parlimen Rompin memahami
tentang isu-isu tersebut.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengundi di parlimen berkenaan
supaya tidak mengambil mudah dengan tidak keluar mengundi kerana
mengandaikan BN mampu menang selesa pada PRK tersebut.
“Kita tidak mahu pengundi andaikan BN pasti menang dan ambil sikap
mudah sehingga tidak keluar mengundi, itu sahaja yang kita bimbang.
Kalau semua pihak bersikap begitu, kita akan hadapi masalah.
“Sehubungan itu, untuk tunjuk mereka masih menyokong perjuangan
kerajaan BN yang diwakili oleh calon kita (Datuk Hasan Arifin), kita
harap mereka akan keluar beramai-ramai dan (pengundi luar) pulang untuk
mengundi,” katanya.
Beliau berkata jentera BN telahpun dikerahkan untuk mengenal pasti
pengundi Rompin yang tinggal di luar, dan membawa mereka pulang untuk
menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian 5 Mei ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata langkah kerajaan Pahang mengumumkan
cuti peristiwa pada hari pengundian juga diyakini dapat membantu
meningkatkan lagi jumlah penduduk Rompin untuk keluar mengundi.
“Kalau ikut trend, memang PRK akan ada penurunan (jumlah keluar
mengundi), kalau pilihan raya umum (PRU), 85 peratus yang keluar
mengundi…PRK ini, ia akan turun.
“Bagaimanapun kita akan cuba usahakan (agar lebih ramai pengundi
Rompin yang tinggal di luar untuk pulang) dan saya percaya Suruhanjaya
Pilihan Raya pun sudah keluarkan kenyataan menggalakkan pengundi luar
untuk pulang,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Tindakan ‘U-Turn’ Pemuda Pas Seolah-Olah Merelakan Parti Dihina
29 April 2015, Bukit Mertajam : Tindakan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas
Permatang Pauh membatalkan hasrat memboikot pilihan raya kecil (PRK)
Parlimen Permatang Pauh dan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail sebagai calon adalah memalukan, tegas Datuk Seri Reezal Merican
Naina Merican.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang itu berkata, ia
seolah-olah membiarkan parti itu serta presidennya Datuk Seri Abdul
Hadi Awang terus dihina parti-parti dalam Pakatan Rakyat, apatah lagi
selepas mereka dikritik berhubung isu pelaksanaan hudud.
“Saya anggap apa yang dilakukan Pas akan sebabkan mereka hilang rasa
hormat (daripada parti komponen dalam pakatan) kerana mereka tidak
istiqamah, dulu mereka lakukan kerana presiden mereka dihina,” katanya
pada sidang media harian jentera BN bersempena PRK Permatang Pauh, di
pusat operasi BN di sini hari ini.
Bagaimanapun Anggota Parlimen Kepala Batas itu sekali lagi
menegaskan, kemelut yang melanda Pakatan Rakyat sama sekali bukan faktor
utama dalam menjamin kemenangan BN pada PRK itu.
Beliau berkata, walaupun krisis itu mempengaruhi sentiment pengundi,
BN akan terus komited dalam kempen penerangan, terutamanya dalam isu
cukai barang dan perkhidmatan (CBP) serta isu kos sara hidup.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPNPP) hari ini membatalkan
hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh namun bertegas mahu
Angkatan Muda Keadilan negeri memohon maaf berhubung kenyataan mereka
memfitnah pimpinan PAS berhubung hukum hudud.
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Md Piah berkata, keputusan
itu diambil selepas menghadiri mesyuarat tergempar antara DPPNPP dengan
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib
Ketua Pemuda PAS Pusat Ir Khairil Nizam Khirudin lewat malam tadi
Pada 25 April lepas, PAS Permatang Pauh yang turut melahirkan hasrat
memboikot PRK itu, menarik balik keputusannya selepas mengadakan
perjumpaan tertutup dengan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR pada
malam sebelumnya.
Sementara itu, ditanya mengenai kempen jentera BN Permatang Pauh yang
memasuki hari kelima hari ini, Reezal Merican berkata, mereka menerima
reaksi positif masyarakat setempat, terutamanya pengundi yang tinggal di
kawasan dianggap ‘hitam’ dan ‘kelabu’.
“Terdapat perubahan ketara, dilihat melalui sambutan mereka bila mana
kita lawat rumah ke rumah … ada rumah yang menyangkut bendera parti
(pihak lawan), tapi bila kami datang, kami dijemput masuk, itu adalah
isyarat yang positif,” katanya.
Namun, Reezal Merican menegaskan, jentera BN sama sekali tidak akan
berasa selesa, sebaliknya terus memperhebatkan kempen penerangan dalam
usaha memastikan rakyat diberi penjelasan secukupnya mengenai isu-isu
semasa.
“Seperti yang TPM (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin)
tegaskan, kami (BN) adalah ‘underdog’, dan kami menurunkan calon anak
setempat yang dijamin akan menumpukan kerja di sini.
“Sekurang-kurangnya rasai kelainan, nikmatilah perbezaan dan
seandainya kami gagal dalam tempoh tiga tahun (sebelum pilihan raya umum
seterusnya), maka terpulang pada masyarakat untuk menilai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow mendedahkan
terdapat usaha sulit yang cuba mengaitkan jentera BN dengan kempen
berunsur keagamaan apabila laporan daripada portal propembangkang bahawa
BN telah menaikkan papan iklan kononnya cuba memainkan isu kebencian
pada agama tertentu.
“…kita amalkan kempen secara bersih, sampai hari ini BN tidak ada
mencaci cela mana-mana individu, agama atau apa jua kumpulan,” katanya.
PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei depan menyaksikan pertandingan
empat penjuru antara Dr Wan Azizah (PKR), Suhaimi Sabudin (BN), Azman
Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen
pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk SeriAnwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
BN Lancar Manifesto PRK Permatang Pauh Esok
29 April 2015, Bukit Mertajam : Barisan
Nasional (BN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Permatang Pauh esok, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Beliau berkata manifesto itu merangkumi sektor ekonomi, kebajikan,
pendidikan, perumahan, komuniti dan keselamatan untuk penduduk
Permatang Pauh sekiranya BN menang pada PRK 7 Mei ini.
Sehubungan itu, beliau turut meminta PKR mengumumkan manifesto mereka sekiranya jujur untuk berkhidmat kepada penduduk di sini.
“PKR sudah 17 tahun menjadi wakil rakyat sini tetapi tiada apa-apa
perubahan, kali ini kita nak tahu apa perancangan mereka untuk penduduk
sini dan berapakah jumlah yang akan diperuntukkan untuk pembangunan,”
katanya kepada Bernama dan RTM di sini hari ini.
Mengenai isu sokongan Pas terhadap calon PKR pada PRK itu, Zainal
Abidin berkata ahli-ahli Pas Pulau Pinang perlu mempertimbang semula
sokongan terhadap pakatan rakyat memandangkan parti itu telah lama
dihina dan dipermainkan dalam pakatan.
“Sebagai umat Islam yang saling bersaudara, BN tidak pernah bermusuh
dengan Pas dan amat bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas mereka
sekarang.
“Maruah mereka (Pas) sering kali dicabar dan saya berharap penyokong
mereka di Permatang Pauh akan membuat pertimbangan semula,” katanya.
Isu sokongan Pas kepada calon PKR pada PRK Parlimen Permatang Pauh
ini mendapat perhatian apabila Pas Permatang Pauh mengeluarkan kenyataan
tidak akan membantu kempen pilihan raya kecil itu, tetapi menarik balik
keputusan itu pada hari penamaan calon.
Pemuda Pas Pulau Pinang yang sebelum ini menyatakan pendirian sama turut menarik balik keputusan mereka hari ini.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya, Datuk
Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga
Pengampunan menolak petisyen Pengampunan Diraja yang dipohon Anwar
melalui anggota keluarganya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 7 Mei.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Posts (Atom)