Tuesday, April 28, 2015

Pilih Calon Yang Mampu Bantu Rakyat – Shafie Apdal

28 April 2015, Rompin : Rakyat wajar memilih wakil rakyat yang mampu suara mereka didengari, dapat bertindak menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya wakil yang tidak mampu berbuat apa-apa, jelas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurut beliau, dalam konteks pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin ini, walaupun namanya ‘kecil’, tetapi ia membawa erti yang sangat besar kepada masyarakat setempat.

“Kita perlukan wakil yang boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat, terutamanya keperluan masyarakat, berkaitan hal kemajuan dan pembangunan di dalam kawasan Parlimen Rompin ini.

“Kita memerlukan seorang wakil yang mampu merancang dan mengatur supaya keperluan rakyat diatasi. Mana mungkin dapat diatasi jika tiada kemampuan,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, parti pembangkang terutamanya di Rompin ini yang diwakili oleh parti Pas hanya tahu berceramah yang memang sedap didengar di halwa telinga sahaja, tetapi apakah yang mampu mereka bantu kepada masyarakat di sini.

“Kelantan yang mengalami bencana banjir pada hujung tahun lalu pun kita juga yang bantu, buat rumah, baiki rumah, baiki jalan, baiki infrastruktur dan pelbagai lagi. Itulah kemampuan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir.
ROMPIN, 28 April -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal (kanan) beramah mesra dengan ketua dan penduduk kampung ketika bersaparan bersama hari ini. --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
“Di Kelantan, nama sahaja ladang rakyat, orang asli tidak terbela, bukan untuk rakyat tetapi untuk syarikat,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu lagi.

Ini berbeza dengan BN yang sentiasa menjaga kebajikan orang asli sehingga ada yang mampu berjaya dalam bidang pendidikan dan sebagainya, ujar beliau.

Sehubungan itu, menurut beliau, dengan pertimbangan yang sewajarnya, kita tidak boleh mengukur manusia dengan apa yang dituturkannya sahaja, tetapi perlulah diukur dengan usaha mereka yang membina kemajuan, pendidikan, infrastruktur dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai isu pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di mana ia adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan hasil negara bagi menampung pertambahan keperluan dan kebajikan rakyat.

“Ia adalah bertujuan untuk pembangunan masyarakat, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum dan komoditi semata-mata kerana tidak ketentuan harga dan mempunyai susut hasil,” tambahnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Rompin diadakan pada 5 Mei, manakala pengundian awal pada 30 April berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lalu.

Beliau turut berkongsi kesedihan di atas kehilangan sahabat beliau itu yang dikenali sejak ketika bersama-sama berjuang di dalam institusi Pemuda UMNO lagi.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar rakyat jangan tersalah pilih, hendaklah memilih calon BN, Datuk Hasan Arifin, wakil yang boleh membantu rakyat dan mampu menyelesaikan masalah rakyat pada 5 Mei nanti.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment