Thursday, February 10, 2011

Khusrin tetap jalankan tugas, walaupun tidak disukai

SHAH ALAM 3 Jan. – Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohammed Khusrin Munawi tetap akan menjalankan tugasnya seperti biasa walaupun pelantikannya tidak disukai oleh kerajaan PKR Selangor.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai cabaran besar sepanjang 24 tahun berkhidmat di Selangor, beliau menegaskan tidak mempunyai masalah dan ia juga tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai penjawat awam.

”Saya maklum yang Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan selagi saya tidak diarah balik ke Kerajaan Persekutuan, saya akan jalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Saya juga telah memohon untuk mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar melalui surat pagi ini, tetapi masih belum ada jawapan,” katanya kepada pemberita di sini petang ini.

Mohammed Khusrin menegaskan, beliau tidak pernah bersikap rasis dan tidak bermasalah untuk bekerjasama dengan menteri besar dan exco-exco lain.

Beliau juga tidak faham mengapa diserang dan ditohmah sejak mula menjadi Pengarah JAIS oleh beberapa pihak, sedangkan beliau menjalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

MB Selangor menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM 3 Jan. – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika di sini hari ini.

Kenderaan rasmi Menteri Besar dilihat memasuki Istana Mestika pada pukul 10.50 pagi dan keluar kira-kira 12.20 tengah hari.

Pihak media yang berkumpul di hadapan pintu utama istana itu sejak jam 10 pagi hampa apabila tidak mendapat sebarang komen daripada Menteri Besar yang terus beredar dari situ.

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Abdul Khalid tidak berhenti walaupun dikerumuni para wartawan dan jurugambar.

Difahamkan Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

SUK Negeri yang baru, Datuk Mohamad Khusrin Munawi telah hadir di pejabat barunya di Tingkat 19 Bangunan Sultan Salahahuddin Abdul Aziz Shah di sini sebelum pukul 8 pagi ini.

Dipetik daripada – Bernama

Isu SUK: Selangor mahu pinda undang-undang tubuh negeri

SHAH ALAM 3 Jan. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mencadangkan agar diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk kembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif termasuk Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri kepada Menteri Besar dan Sultan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan menulis surat kepada Speaker DUN untuk memaklumkan mengenai cadangan itu.

Menurut Abdul Khalid, beliau juga telah mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengenai isu pelantikan SUK itu.

Katanya, baginda mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mencari penyelesaian terbaik.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan calon yang layak.

“Sebelum penyelesaian muktamad dicapai, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dengan sebarang majlis atau keraian dengan SUK.

“SUK juga tidak boleh hadir mesyuarat Exco atau hadir pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tetapi boleh melakukan kerja-kerja seperti menguruskan hal tanah dan sebagainya,” kata beliau pada sidang akhbar tergempar di sini hari ini.

Ujar beliau, ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

Pas sanggup korban prinsip perjuangan demi Karpal – Mustapa

JELI 3 Jan. – Pas sanggup mengorbankan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mempertahankan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang sebelum ini secara konsisten menentang penubuhan negara Islam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemimpin Pas juga memberi tafsiran hukum Islam secara berbeza-beza mengikut keadaan semata-mata untuk mendapatkan kuasa politik.

Beliau berkata, pemimpin Pas juga sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengelirukan rakyat demi menghalalkan hubungan mereka dengan parti sosialis iaitu DAP.

“Ini isu yang besar, kalau dulu mereka bermati-matian di seluruh kampung berceramah menghentam Karpal Singh yang menentang negara Islam, tetapi hari ini kita dapati pemimpin Pas sanggup membela seorang pemimpin yang juga penentang utama negara Islam.

“Semua ini ada rekod, dulu kepada mereka tidak boleh duduk bersama DAP tetapi sekarang sudah bersekedudukan dengan DAP, dari segi politik mereka memang tidak konsisten, berbeza mengikut keadaan kerana apa yang penting ialah mereka mahukan kuasa dan sanggup korbankan prinsip politik yang dipegang teguh semata-mata untuk ke Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Penyampaian Anak Benih (Tanam Untuk Bumi) anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Kampung Bendang Keladi di sini, hari ini.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

SUK: Muhammed Khusrin Mulakan Tugas, MB Selangor Menghadap Sultan

SHAH ALAM:03 Jan – Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Muhammed Khusrin Munawi memulakan tugasnya pada pukul 6.45 pagi Isnin dalam suasana tegang ekoran pelantiknnnya oleh kerajaan Pusat tanpa sebarang rundingan dengan Menteri Besar selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun spekulasi mengatakan bahawa hari pertama Muhammed Khusrin bekerja sebagai SUK juga merupakan hari terakhir baginya selepas Abdul Khalid mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Khalid dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Sharafuddin pada pukul 11 pagi.

Sementara itu Muhammed Khusrin dijangka akan mengeluarkan kenyataan media pada pukul 3 petang.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

Kontroversi PKR Padang Serai Ekoran Undi Tidak Percaya

GEORGE TOWN: 02 Jan – Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang sebelum ini mengkritik kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali lagi mencetuskan kontroversi melibatkan PKR Padang Serai yang diketuainya.

Ini kerana Gobalakrishnan dan Naib Pengerusinya, Johari Ismail masing-masing mendakwa telah mengadakan satu mesyuarat dengan ahli-ahli jawatankuasa pada masa sama.

Sambil mendakwa Gobalakrishnan berbohong, Johari berkata, dia telah bermesyuarat dengan 15 ahli jawatankuasa lain bagi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk meluluskan undi tidak percaya terhadap Gobalakrishnan.

Namun, Gobalakrishnan mendakwa Johari tidak mempunyai korum secukupnya untuk mengadakan mesyuarat memandangkan beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat bahagian dengan 18 ahli jawatankuasa lain pada masa sama.

“Secara keseluruhannya, terdapat 15 ahli jawatankuasa yang dipilih dan lima pula dilantik selain pengerusi, timbalan pengerusi, naib pengerusi, setiausaha, bendahari dan ketua penerangan,” kata Gobalakrishnan.

“Bagaimana 16 ahli jawatankuasa boleh bermesyuarat di sebuah hotel di Lunas dari 5 petang hingga 6.30 petang ketika saya mengadakan mesyuarat bahagian dengan 18 ahli jawatankuasa di pejabat bahagian di Padang Serai pada masa sama,” soalnya lagi.

Sementara itu, apabila diberitahu apa yang telah dikatakan Gobalakrishnan, Johari mendakwa Ahli Parlimen Padang Serai itu berbohong.

Menurut Johari, selain ahli jawatankuasa, kira-kira 150 ahli termasuk anggota Majlis Perbandaran dan pemimpin komuniti menghadiri mesyuarat tersebut di Lunas.

Katanya, ahli jawatankuasa akan memaklumkan kepada pengerusi parti negeri dan setiausaha agung mengenai meyuarat itu dan tindakan susulan untuk mengadakan EGM dalam tempoh dua minggu.

Johari menambah, pihaknya juga akan mengeluarkan satu kenyataan untuk menjelaskan seramai 4,000 ahli tidak menyokong atau bersetuju dengan tindakan Gobalakrishnan.

“Apa saja yang dilakukannya (Gobalakrishnan) kini adalah untuk agenda peribadi dan tidak melibatkan parti bahagian,” katanya yang menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Johari berkata mereka yang menghadiri mesyuarat itu turut menasihati Gobalakrishnan bahawa beliau sepatutnya meletakkan jawatan daripada parti itu sekiranya beliau tidak patuh kepada polisi atau kepimpinan Anwar.

“Itu antara tindakan logik untuk dilakukan dalam mana-mana organisasi,” kata Johari.

Terdahulu, Gobalakrishnan mengeluarkan satu kenyataan media memberitahu beberapa pemimpin cuba menyingkirkannya daripada parti itu.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

‘Jangan cabar kuasa Sultan’

KUALA LUMPUR 2 Jan. – ”Mereka (pembangkang) derhaka. Jangan cuba mencabar kuasa Sultan Selangor.”

Itu tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung tindakan biadab pembangkang yang cuba mempertikai kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pelantikan Datuk Muhammed Khusrin Munawi sebagai Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.

Jelas beliau, apa yang berlaku jelas menampakkan pembangkang hanya tahu menghormati undang-undang jika ia memihak kepada mereka semata-mata.

”Jika tidak memihak dan merugikan, mereka akan tuduh itu tidak adil, ini tidak adil. Bukan sahaja kuasa raja-raja Melayu, polis dan mahkamah juga akan dituduh tidak adil jika apa jua keputusan tidak memihak kepada mereka.

”Inilah sebenarnya perangai pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. PKR, hendak urus parti pun huru-hara, inikan pula hendak tadbir urus negara?

”Kita bimbang kalau mereka berkuasa nanti, negara ini akan huru-hara. Kuasa sultan pun nak dipertikaikan. Kalau semua orang berfikiran seperti mereka, negara sudah pasti tidak akan maju dan aman,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempertikai kuasa Sultan Sharafuddin berhubung pelantikan Muhammed Khusrin.

Antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang mendakwa isu pelantikan SUK yang baru sebagai tindakan pilih kasih institusi beraja terhadap pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

Dengan biadab, beliau seperti yang ditulis dalam blognya http://srimuda.blogspot.com cuba menyamakan ketegasan Sultan Sharafuddin yang tidak berganjak dengan keputusan walaupun mendapat pelbagai kecaman daripada pembangkang sebagai ego.

Tidak cukup dengan itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak teragak-agak akan membawa perkara itu ke mahkamah jika pelantikan tersebut diteruskan.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, tidak kira siapa, kuasa sultan dan raja-raja Melayu harus dihormati.

Ditanya mengenai tindakan Karpal Singh yang akan mengheret perkara tersebut ke mahkamah, jelasnya, ia sememangnya menjadi kegemaran pemimpin parti DAP itu.

”Beliau memang selalu mencabar kuasa-kuasa sultan dan sudah lama menunggu peluang berbuat demikian. Dalam hal ini, beliau akan bertindak selaku hero.

”Kepada pemimpin pembangkang di Selangor yang pertikaikan kuasa Sultan Sharafuddin, mereka ini tidak layak berada di Selangor,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar turut senada dengan Noh sambil memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak mempertikaikan kuasa raja-raja Melayu.

”Kita menentang sekeras-kerasnya tindakan mereka yang cuba menafikan kuasa raja-raja Melayu. Mereka ini derhaka dan perlu ditentang habis-habisan,” tambahnya.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

Kerajaan Selangor Ada ‘Tujuan Politik’ Bantah Pelantikan SUK Baru

BAGAN DATOH, 2 Jan – Kerajaan negeri Selangor yang diterajui kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mungkin mempunyai niat dan tujuan politik dengan membantah pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi yang mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan Mohd Khusrin itu menunjukkan kepimpinan PKR di Selangor mengalami ‘krisis minda’ dan enggan menerima hakikat pelantikan yang dibuat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

“Rakyat perlu menilai kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang tidak konsisten kerana keterlaluan mempolitikkan jawatan sehingga sanggup membelakangkan perlembagaan negeri,” kata Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh kepada pemberita selepas menutup program Pembangunan Jati Diri yang melibatkan 230 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata pelantikan SUK Negeri tertakluk di bawah bidang kuasa KSN yang tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK Negeri mencetuskan kontroversi apabila sekretariat akhbar Menteri Besar Selangor mengeluarkan kenyataan pada 27 Dis lepas, yang menganggap pelantikan itu belum muktamad, sedangkan ia telah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Alasan yang diberikan dalam kenyataan itu ialah pelantikan tersebut tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut berhasrat menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembahkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun hasrat Abdul Khalid itu terpaksa ditunda kerana baginda sedang bercuti dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani juga mengesahkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, pelantikan SUK Negeri tidak perlu mendapat persetujuan Menteri Besar.

Dipetik daripada – BERNAMA

Dasar PAS Kelantan ‘hangat-hangat tahi ayam’

RANTAU PANJANG, 2 Jan – UMNO Kelantan menyifatkan dasar yang dibuat kerajaan negeri Kelantan mengenai beberapa perkara termasuk hiburan hanya berupa “hangat-hangat tahi ayam” semata-mata yang akhirnya tidak membawa apa-apa makna.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata demi mencapai cita-cita politik termasuk untuk mendapatkan pengaruh golongan muda, kerajaan negeri pimpinan PAS itu sanggup berbuat apa sahaja.

“Dulu (dasar kerajaan negeri) adakan konsert hiburan haram kerana bercampur lelaki dan perempuan tetapi kini tidak.

“Dulu ada kaunter bayaran lelaki dan perempuan tapi sekarang sudah tidak diikuti lagi dan banyak lagi contoh yang boleh diberi,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di sini, hari ini.

Mustapa mengulas persembahan kumpulan popular Indonesia, Wali Band di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Baharu, dua hari lalu anjuran Sekretariat Misi Cakna Palestin dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mempersoalkan apakah persembahan pada malam itu tidak membabitkan percampuran penonton lelaki dan wanita.

“Inilah double standard pemimpin PAS yang pandai memutarbelitkan apa sahaja yang boleh menguntungkan mereka yang semua orang tahu terdapat percampuran antara lelaki dan perempuan pada malam itu,” katanya.
Mustapa berharap rakyat Kelantan sedar yang PAS sebenarnya sudah lari daripada landasan menegakkan Islam sebaliknya hanya untuk kepentingan diri pemimpin itu semata-mata.

Dipetik daripada : www.kpmu.net

Dr Jeffrrey Kitingan Keluar Parti

KOTA KINABALU: 02 Jan – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah keluar daripada parti itu.

Menurut beberapa sumber, Dr Jeffrey telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 1 Januari lalu.

Dr Jeffrey bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen pada Ahad.

Namun menurut seorang sumber yang rapat dengan beliau memberitahu pengasas Barisan Bersatu Borneo (UBF) itu merasakan sambutan tahun baru bukan masa sesuai baginya untuk keluar daripada parti itu.

Ia adalah hari pertama memasuki tahun baru, era baru, menurut sumber itu.

Dr Kitingan terdahulu merasmikan pembentukan UBF yang dianggap sebagai ‘Kuasa Ketiga’ dan alternatif kepada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Pembentukan itu dilihat sebagai satu platform untuk memperjuangkan hak dan keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Katanya, meskipun negeri-negeri di Kepulauan Borneo kaya dengan sumber semulajadi, ia masih kekal antara rantau termiskin di negara ini.

Dipetik daripada : www.kpmu.net