Tuesday, December 01, 2015
Penjualan Aset Tenaga 1MDB Tidak Beri Impak Kepada Pasaran – Zeti
KUALA LUMPUR : Tindakan 1Malaysia Development Bhd menjual aset
tenaganya kepada firma China, tidak akan memberi sebarang impak kepada
pasaran, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar
Aziz.
Ini tegasnya, berikutan sistem kewangan negara yang sememangnya luas.
“Pasaran tukaran asing kita juga besar. Setakat ini berdasarkan
pemantauan kita, transaksi tunggal tidak memberi impak kepada pasaran.
“Hanya transaksi kumulatif yang akan memberi kesan terhadap pasaran,”
katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga Kepimpinan Iclif Asia
2015, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan impak yang berlaku
susulan tindakan sayap tenaga 1MDB, Edra Global Energy Bhd, menjual
kesemua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dan unitnya (CGN
Group) bernilai RM9.83 bilion.
Zeti turut menyifatkan sistem perbankan Malaysia baik serta kukuh
dengan penampan modal yang besar manakala susut nilai pinjaman pula
rendah sebanyak 1.5 peratus.
Mengulas siasatan terhadap 1MDB, beliau berkata ianya setakat ini mencatat perkembangan.
“Kita sudah menyiapkan siasatan itu. Pada masa ini, ada beberapa
perkembangan dalam tindakan yang kita ambil dan melibatkan beberapa
kelulusan yang diberikan kepada mereka,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Shahrizat Terima Anugerah Lifetime Achievement Award Dari FGCCC Di Dubai
KUALA LUMPUR : Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Ikhtisas
Wanita di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
menerima anugerah Lifetime Achievement Award 2015 dari Federation of
Gulf Cooperation Council Chambers (FGCCC) di Dubai pada Isnin.
Menurut kenyataan dari Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawan dan
Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri hari ini, penganugerahan itu
sebagai menghargai usaha berterusan beliau dalam bidang pembangunan
sosial dan keusahawanan di Malaysia.
“Saya akan pastikan pembangunan sosial dan keusahawanan di Malaysia
melalui program-program yang lebih bersepadu dan strategik terus
dilaksanakan seiring dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak untuk memastikan Malaysia mencapai tahap negara maju,” kata
Shahrizat dalam kenyataan itu.
Majlis Anugerah Kepimpinan Keusahawanan Timur Tengah 2015 anjuran
FGCCC itu turut memberi penganugerahan kepada beberapa tokoh korporat di
negara ini antaranya Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Resources
Corporation Berhad Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din yang dianugerahkan
Global CEO of the Year.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Tan
Sri Dr Mohd Shukor Mahfar dianugerahkan Visionary Leader of the Year
manakala Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Faroz Mohamad Jakel
dianugerahkan Global Enterpreneur Of The Year.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
SPR Jalan Kajian Urusan Persempadanan Semula Parlimen Dan DUN – Azalina
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang
melaksanakan kerja-kerja pentadbiran sebagai persiapan awal untuk
memulakan kajian urusan persempadanan semula bahagian-bahagian Parlimen
dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said
berkata kerja-kerja tersebut membabitkan pengumpulan maklumat
pembangunan, pertambahan penduduk dan bilangan pengundi semasa.
“(Kerja-kerja itu) seterusnya menyediakan draf laporan awal urusan
persempadanan sebelum cadangan persempadanan SPR dimaklumkan kepada Yang
Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri berdasarkan peruntukan
Seksyen 4 Bahagian II Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan,”
katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli
(Amanah-Kuala Krai) yang ingin tahu setakat manakah persediaan yang
dilakukan SPR bagi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Menyentuh mengenai negeri Sarawak, Azalina memaklumkan bahawa kajian
telah selesai dilaksanakan apabila laporan akhir diserahkan kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Ogos lepas.
“Tarikh tersebut juga diwartakan sebagai tamatnya tempoh urusan
Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri
Sarawak,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Jangan Tunggu Hingga Berlaku Kematian Baru Nak Larang Vape – Pengarah Kesihatan Johor
JOHOR BAHARU : Tidak perlu menunggu sehingga berlaku kematian
tragik baru mahu melaksanakan larangan penggunaan dan penjualan
rokok elektronik atau vape, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr
Mohd Khairi Yakub.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya melakukan
larangan itu kerana sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah
menyarankan negara anggota termasuk Malaysia untuk menghentikan
penjualan dan penggunaan vape.
Menurutnya, WHO membuat saranan itu dibuat rentetan daripada laporan
3,000 kes keracunan yang dicatat berhubung vape yang mengandungi nikotin
di Amerika Syarikat sejak tahun 2003.
“Mereka mempunyai alasan untuk kita percaya bahawa vape itu berbahaya. Sebab itu mereka keluarkan saranan tersebut.
“Kita sebagai anggota WHO perlu mengikutinya dan berdasarkan
undang-undang, adalah logik untuk kita melindungi rakyat kita,” katanya
dalam sidang media di sini hari ini.
Sidang media itu diadakan bagi mengulas titah Sultan Johor, Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar semalam yang mahu penjualan produk vape di Johor
dihentikan dan semua premis berkenaan ditutup berkuat kuasa 1 Januari
depan.
Dilapor setakat ini Argentina, Brazil, Singapura, Brunei, Oman, Qatar
dan Thailand adalah antara 14 negara yang mengharamkan sepenuhnya
penjualan dan pengimportan peranti vape.
Negara seperti Australia, Belgium, Kanada, Finland dan New Zealand
pula melarang sama sekali peranti elektronik yang mengandungi nikotin.
Dr Mohd Khairi berkata orang ramai perlu menerima keputusan Sultan
Johor dengan mengambil kira vape boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi
kesihatan termasuk pembekuan darah dalam otak, menjejaskan perkembangan
bayi dalam kandungan, sawan, kegagalan sistem pernafasan, iritasi terhadap mata, tekak dan asma.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
ATM Siap Siaga Hadapi Musim Banjir – Hishammuddin
KUALA LUMPUR : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bersiap
siaga sepenuhnya mengerah anggota serta menggerakkan aset angkatan
itu bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
pihaknya juga menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengurusan Bencana dan
mengaktifkan ‘war-room’ (bilik gerakan) bagi tujuan pemantauan sepanjang
musim tengkujuh.
“Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memastikan maklumat yang diterima
adalah tepat untuk memudahkan kita menyalurkan bantuan banjir dengan
berkesan dan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“‘War Room’ diaktifkan pada 16 Nov lepas bertindak sebagai Bilik
Gerakan Bencana Kementerian Pertahanan (Mindef) yang memantau situasi
banjir di seluruh negara,” katanya selepas menghadiri taklimat
persiapan banjir Mindef di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata ATM akan mengerahkan 1,572 pegawai, 27,021
anggota lain-lain pangkat (LLP) serta menggerakkan 1,487 aset untuk
menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
“Aset ini meliputi 358 bot, 852 trak tiga tan, 25 trak tujuh tan,
118 ambulans, masing-masing sebuah pesawat CN 235 dan C130, sembilan
helikopter, 12 kapal laut, lapan Bot tempur TLDM jenis CB90, dua set
Compact 100 Bridge, 22 set Floatable Platform serta 79 Dapur Medan,”
katanya.
Selain itu, Hishammuddin berkata pihaknya turut menyediakan
pusat pengumpulan sumbangan kepada mangsa banjir dan setakat ini sebuah
pusat pengumpulan dibuka di Depoh Simpanan Pertahanan, Sungai Buloh.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata 51 kem Program Latihan Khidmat
Negara dikenal pasti di beberapa negeri yang sering dilanda banjir
terutamanya di Pantai Timur untuk dijadikan penempatan sementara mangsa
banjir.
“Setiap kem boleh menampung seramai 400 mangsa banjir dan jumlah keseluruhan boleh menempatkan seramai 20,400 orang,” katanya.
Beliau berkata anggota Briged Sukarelawan Khidmat Negara, Veteran
ATM, Kelab Kakitangan Awam Mindef, Persatuan Suri dan Anggota Wanita
Perkhidmatan Awam Malaysia serta penuntut Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia akan ditugaskan untuk membantu mangsa banjir kali ini.
“Sehingga hari ini seramai 188 sukarelawan telah berdaftar sebagai sukarelawan 1MinDef Care,” katanya.
Hishammuddin berkata beliau akan memastikan kementerian dan semua
agensinya terus komited bersama agensi lain membantu negara menghadapi
situasi musim tengkujuh selain bekerjasama membantu rakyat menghadapi
bencana alam itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Siasatan Terhadap Nurul Izzah Dan Tian Chua Dirujuk Kepada Peguam Negara
KUALA LUMPUR : Siasatan kes melibatkan Naib Presiden
PKR Nurul Izzah Anwar berhubung pertemuannya dengan Jacel H.Kiram, anak
perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada
2013, akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah
selesai merakamkan percakapan Nurul Izzah, dan laporan itu akan
dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara setelah pihaknya mengambil
keterangan Anggota Parlimen Batu Tian Chua.
“Dalam satu dua hari ini kita akan panggil Tian Chua untuk
rakam percakapan…selepas itu polis akan kemaskan siasatan dan serahkan
kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas memakaikan pangkat kepada 21 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.
Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini mengakui beliau bertemu
Jacel pada 9 November lepas semasa berada di Filipina bersama Tian Chua
sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak
berkepentingan di negara itu.
Beliau sebelum ini dilaporkan membuat permohonan maaf selepas
gambarnya bertemu Jacel di Filipina dimuat naik di laman Facebook
mendapat kritikan, manakala semalam, Tian Chua pula menafikan beliau
adalah dalang pertemuan itu.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata peguam Americk Sidhu
memaklumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan polis berhubung
kenyataan yang dibuat anak guamnya, Charles Suresh Morais.
Charles, adik Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, dilaporkan
oleh portal berita Malaysiakini baru-baru ini yang mendakwa pembunuhan
abangnya itu mempunyai kaitan dengan isu 1Malaysia Development Bhd
(1MDB).
Khalid berkata Americk dijangka memberi keterangan sama ada hari ini atau esok.
“Kita terpaksa panggil beliau kerana kita nak tahu apa perbicangan
beliau dengan Charles… pendedahan itu merupakan pendedahan yang serius,”
katanya.
Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di
Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept lepas setelah beliau
dilaporkan hilang pada 4 September lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Najib: PKS Mesti Diperkukuh Untuk Teroka Peluang Besar Menerusi AEC
KUALA LUMPUR : Industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
tempatan mesti memperkukuh kedudukan mereka untuk terus kompetitif dan
dapat meneroka peluang perniagaan dan pasaran yang luas di seluruh ASEAN
berikutan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi AEC, akan
wujud liberalisasi ke atas tarif dan halangan bukan tarif antara negara
anggota.
“Peluang untuk industri PKS akan lebih luas di seluruh rantau ini.
“Oleh itu syarikat PKS Malaysia perlu mencapai ekonomi pada kos yang
menguntungkan atau membangunkan kedudukan nilai yang lebih tinggi untuk
terus bersaing dengan syarikat PKS yang sama di negara anggota ASEAN
yang lain,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Majlis Mesyuarat
Pembangunan PKS Kebangsaan ke-19 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata ini penting memandangkan Perjanjian
Perkongsian Trans-PAsifik (TPPA) yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh
dua tahun, akanmembawa banyak manfaat dan cabaran.
“Ia membuka peluang untuk kita menilai semula kedudukan pasaran, kekuatan dan keupayaan kita untuk bersaing,” katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sejak beberapa tahun
kebelakangan ini, sektor PKS terus mengekalkan prestasi pertumbuhan yang
lebih baik daripada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Pertumbuhan sektor itu berkembang pada kadar purata tahunan 8.6
peratus berbanding pertumbuhan purata KDNK keseluruhan sebanyak 5.4
peratus dalam tempoh 2012 hingga 2014, katanya.
“Pertumbuhan ini tercapai meskipun berdepan kenaikan kos akibat
pengurangan subsidi, pelaksanaan gaji minimum, GST (cukai Barang dan
Perkhidmatan) dan sebagainya.
“Keanjalan sektor PKS dalam menyesuaikan operasi mereka mengikut perubahan masa sangat membanggakan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Kerajaan Tidak Pernah Abai Pembangunan Di Sabah, Sarawak – Azalina
KUALA LUMPUR : Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan
pembangunan di Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Katanya, dalam setiap agenda pembangunan negara, kerajaan akan
memastikan pembangunan di setiap negeri adalah berdasarkan keperluan
semasa.
“Sebagai contoh, pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo yang merentasi Sabah
dan Sarawak yang sedang giat dilaksanakan kini, menunjukkan bahawa
pembangunan di dua negeri itu tidak pernah kerajaan abaikan,” katanya
melalui jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini bagi
menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (DAP-Cheras).
Tan ingin mengetahui dasar kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia
memandangkan tuntutan bagi autonomi Sabah dan Sarawak semakin meningkat.
Dalam itu, Azalina berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak juga mengatakan bahawa lebih banyak kuasa pentadbiran membabitkan
jabatan dan agensi persekutuan bakal diberikan kepada kerajaan Sabah dan
Sarawak dalam usaha merangsang pembangunan di kedua-dua negeri
berkenaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Berapa Ramai Rasa Nak Muntah ?
Nak membangunkan rumahtangga bahagia sendiri pun tak mampu!!!... Inikan pula nak membangunkan Sabah??... Fikir-Fikirkanlah...
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Posts (Atom)



