Thursday, February 11, 2016
Kecewa PAS Tidak Mahu Terlibat Himpunan Bebas Anwar -Dr Badrul Amin
SUNGAI BULOH : Pemimpin PAS gagal menghadirkan diri bagi memberi sokongan
kepada Himpunan 365 #BebasAnwar #BebasRakyat sempena genap setahun
Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara di Sungai Buloh malam tadi.
Jurucakap penganjur daripada kumpulan yang menggelar diri mereka “Pro98
Reformis Malaysia”, Dr Badrul Amin Bahron berkata, pihaknya telah
menjemput pimpinan PAS menyertai program tersebut.
“Saya rasa terkilan kerana sepanjang perjalanan program daripada
mesyuarat ke mesyuarat walaupun kami jemput tapi pimpinan PAS di semua
peringkat tidak ada yang hadir dan kemuncaknya tidak ada seorang pun
pada malam ini.
“Sedangkan, program malam ini acara rakyat untuk membebaskan ikon
perjuangan rakyat bagi meneruskan agenda reformasi,” kata pengerusi
tetap PKR Sabak Bernam itu ketika ditemui selepas acara tamat pada 12
malam tadi.
Hanya pemimpin politik pembangkang daripada PKR, DAP dan Parti Amanah
Negara (PAN) yang hadir menyokong himpunan yang dilakukan di depan pintu
masuk penjara itu.
Himpunan 365 disertai lebih daripada 1,000 peserta mula berkumpul seawal
jam 7 malam semalam berdekatan dengan pintu hadapan penjara Sungai
Buloh.
Himpunan ini diadakan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak membebaskan Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai tahanan
politik.
Antara acara yang diadakan solat hajat, ucapan dari wakil pimpinan parti
dan NGO, deklamasi sajak dan gimik pelancaran pembebasan 12 ekor
burung.
Program itu turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Shamsul
Iskandar Mat Akin, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub.
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh
setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman
terhadapnya pada 10 Februari tahun lalu kerana meliwat bekas
pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Memetik laporan The Malaysian Insider, hanya pemimpin politik
pembangkang daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) yang hadir
menyokong himpunan yang dilakukan di depan pintu masuk penjara itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment