Monday, February 15, 2016
Kerahsiaan Negara Bukan Untuk Halalkan Salah Laku Mana-mana Pihak
PUTRAJAYA : Kerahsiaan negara bukan untuk
menghalalkan mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah,
kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan bersama warga
kementerian serta menghadiri sambutan Tahun Baru Cina kementeriannya di
sini hari ini, beliau berkata kerahsiaan dalam sesebuah institusi adalah
penting dalam melaksanakan sesuatu tugas.
“Ini isu yang kompleks kerana dalam sesetengah hal kerajaan tidak
boleh membocorkan maklumat atas sebab tertentu, namun sebaliknya kita
telah dituduh menyembunyikan rahsia.
“Tidak
ada organisasi yang boleh berjaya tanpa ada rahsia, jangan cakap negara
atau kerajaan malah institusi keluarga sekalipun jika kita kita
terlalu terbuka kepada pihak luar, institusi itu akan hancur,” katanya.
Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional
(BN) turut memberikan contoh negara maju seperti Singapura, United
Kingdom dan Switzerland yang berjaya pada hari ini kerana mereka
menghormati kerahsiaan data dan maklumat.
Beliau berkata terdapat juga pelbagai saluran untuk membuat aduan
jika terdapat salah laku termasuklah unit integriti setiap kementerian,
Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud turut meminta
SPRM untuk mempraktikkan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia 2009 bagi melindungi integriti pihak yang dituduh.
Beliau berkata klausa undang-undang itu memperuntukkan bahawa
aduan yang dilaporkan kepada badan terbabit tidak seharusnya
diuar-uarkan kepada pihak media terlebih dahulu.
“Berdasarkan peruntukan itu juga, aduan tidak boleh dikongsi kepada
orang lain dan hanya apabila pendakwaan dilakukan baharulah identiti
yang dituduh itu dapat disiarkan pihak media,” katanya, sambil menambah
peruntukan itu dapat mengelak mereka yang dituduh daripada teraniaya.
Ini kerana sekarang tohmahan, tuduhan dan fitnah yang melulu telah
berlaku secara berleluasa dan melalui (peruntukan) ini juga kita mahu
elakkan perkara sebegitu terjadi bagi menjamin keadilan kepada semua
pihak,” katanya.
Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
2009 memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan
dan hanya boleh didedah apabila kes dibawa ke mahkamah.
Ditanya mengenai kelaziman sesetengah pihak menjemput media bagi
memberi liputan kepada mereka yang mahu membuat aduan kepada SPRM
berkaitan kes-kes tertentu, Abdul Rahman berkata pendedahan nama
tertuduh dan kesalahan mereka akan memudaratkan orang yang dituduh
sebelum diadili.
Malah, katanya, jika pihak yang dituduh itu benar-benar bersalah,
pendedahan kepada media memberi masa kepada pihak yang berkaitan dengan
kesalahan berkenaan melupuskan bukti jenayah mereka.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menghadiri majlis penyampaian
surat setuju terima bagi perolehan dua unit helikopter AgustaWestland
AW189 untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bernilai
RM201 juta yang dijangka disempurnakan dalam tempoh tiga tahun.
Kedua-dua helikopter buatan Itali itu dirancang untuk ditempatkan
di Kota Kinabalu, Sabah apabila Pangkalan Udara, Jabatan Bomba dan
Penyelamat, Kota Kinabalu siap pada 2018.
Disediakan oleh : PeneranganPemuda SEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment