Sunday, February 14, 2016

Lebih Banyak Rumah Untuk Balu, Bekas Perajurit Di Sarawak Dipertimbangkan – Hishammuddin

http://assets.bharian.com.my/images/articles/14hismanud.transformed_0.jpg
KUCHING : Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihak kementerian bersedia mempertimbangkan permintaan bagi lebih banyak rumah dibina untuk balu tentera dan bekas perajurit di Sarawak.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan soal kebajikan dan sosioekonomi anggota tentera termasuk bekas perajurit, balu serta anggota keluarga mereka termasuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak anggota tentera.

Bagaimanapun, untuk melaksanakan program berkenaan dengan jayanya pihak kementerian memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk persatuan bekas perajurit, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Kampung Sikog, Jalan Puncak Borneo, kira 22 km dari Kuching, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian sebagai respons terhadap permintaan Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil supaya kerajaan menambah peruntukan bagi membina lebih banyak rumah untuk balu tentera dan bekas perajurit di negeri ini.

Dr Jerip yang turut hadir pada majlis itu berkata masih terdapat banyak balu dan keluarga bekas perajurit di negeri ini yang amat memerlukan rumah. 

Penerima rumah berkenaan hari ini ialah Christy Petrom, 33, balu kepada Koperal Jinatan Sait, Veronica Wee Nyuk Kiaw, 42, balu kepada Lans Koperal Hardy Kassim, Rosmawati Ahmad Darus, 46, balu kepada Koperal Jimi Busri dan Renjer Mohd Subberi Shaari, 57.

Hishammuddin turut memuji kualiti rumah itu yang dibina di bawah Program Jiwa Murni.

Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara pihak kementerian, Angkatan Tentera Malaysia, persatuan bekas perajurit dan industri dipertingkatkan lagi bagi menjayakan program berkenaan.

Beliau juga memuji semangat luar biasa yang ditunjukkan Persatuan Veteran ATM Negeri Sarawak dalam membantu membela nasib ahli serta keluarga mereka.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengingatkan kontraktor dan pembekal bahan binaan untuk Program Jiwa Murni supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Penting untuk pembekal dan kontraktor mempunyai tanggungjawab sosial untuk tidak mengambil keuntungan berlebihan dalam keadaan yang susah.

“Kami (kementerian) akan mengenal pasti mereka yang cuba hendak mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan yang berlebihan … kami akan hanya mengiktiraf mereka (yang tidak cuba ambil kesempatan),” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment