Wednesday, February 17, 2016
Panas Kritikan Daripada Dr Mohd Ridhuan Tee.... Kenapa Perlu Terhegeh-Hegeh?
Insiden seorang pemimpin politik memakai pakaian kostum Cina menyerupai
dewa atau maharaja Cina, jika nak tahu sama ada kostum tersebut dewa
atau maharaja, saya cadangkan pemimpin politik beragama Islam pergi ke
rumah orang Cina yang bukan Kristian, dan lihat apakah objek tersebut
terdapat di rumah mereka atau tidak? Selepas itu, bolehlah kita bincang
sama ada ia dewa atau maharaja.
Pada saya, objek apa pun ia menyerupai sudah tidak penting lagi.
Persoalannya kenapa kita perlu terhegeh-hegeh sedemikian rupa, sedangkan
orang lain tidak pula? Cetek sungguh pemikiran kita jika ada yang
beranggapan dengan berpakaian sedemikian, perpaduan boleh tercapai.
Pernahkah kita melihat pemimpin bukan Melayu atau parti komponen BN
ultra kiasu memakai pakaian kebangsaan atau baju Melayu atau jubah
ketika Hari Raya Puasa (Haji)? Boleh dikatakan hampir tiada.
Nampak sangat mereka memandang rendah pada budaya Melayu (Islam).
Sebagai orang Cina, sekali-sekala saya ada juga memakai baju Cina,
tetapi bukan seperti dewa atau maharaja. Cukuplah dengan baju Cina yang
bercorak biasa, supaya tidak dituduh lupa diri.
Benar, Tahun Baharu Cina itu perayaan budaya, tetapi perlu diingat, ada
unsur-unsur keagamaan di situ. Di sini mungkin kita dikelirukan,
termasuk mereka yang dirujuk sebagai penasihat. Justeru, saya
mencadangkan;
Pertama, cubalah memahami budaya dan tradisi orang Cina. Mereka bukan
sahaja menyembah dewa, malah apa jua gambar yang dirasakan boleh membawa
tuah seperti maharaja, termasuk juga orang Islam, seperti Laksamana
Cheng Ho atau Sampokong dan kong yang lain.
Sebab itu, kita jangan terkejut sekiranya ada patung kalangan orang
Islam dalam rumah atau tokong orang Cina. Patung ini akan terus
didewakan jika membawa ong (tuah). Contoh, kena nombor ekor.
Pernah suatu ketika isu ini menjadi gembar, termasuk juga terdapat
ayat-ayat Quran di dalam tokong dan rumah orang Cina. Mungkin kepada
orang Islam, ia sensitif. Pada saya itu perkara biasa.
Daripada mereka menyembah patung-patung yang pelik-pelik, lebih baik
mereka menyembah patung orang Islam. Benar, itu syirik.
Sekurang-kurangnya dengan menyembah patung Islam, masih ada sedikit
sangka baik di situ. Islam dianggap sebagai membawa tuah atau ong.
Tidak mustahil suatu hari nanti mereka bersunat.
Kedua, kepada pemimpin politik, jika terlalu kemaruk undi, gunakan mata
untuk melihat dan akal untuk berfikir. Inilah yang membezakan manusia
dengan makhluk lain. Jangan terperangkap dengan mainan ultra kiasu.
Ketiga, asas perpaduan bukan melalui pakaian. Perpaduan itu adalah sedia
bertolak ansur dan berkorban, terutama dalam masyarakat pluralistik
seperti Malaysia. Jangan lupa sejarah hubungan majoriti-minoriti.
Tidakkah sepatutnya minoriti perlu lebih menyerapkan identiti majoriti,
meskipun tidak berlaku asimilasi.
Ini usahkan asimilasi, akulturasi pun tidak berlaku. Akulturasi
bermaksud peminjaman budaya buat sementara waktu. Misalnya, orang Cina
berpakaian Melayu ketika hari raya, atau orang Melayu berpakaian Cina
ketika Tahun Baharu Cina.
Realitinya hanya berlaku sebelah pihak. Hanya orang Melayu sahaja yang
terhegeh-hegeh. Bangsa lain langsung tidak ambil tahu atau mahu ambil
tahu. Siapakah yang lebih bertolak ansur dan lebih berkorban demi
perpaduan?
Jangan pergi jauh, cuba saksikan siaran langsung, pembukaan parlimen
atau Dun, pernahkah ultra kiasu komponen BN atau pembangkang memakai
pakaian kebangsaan iaitu sut Melayu? Langsung tidak ada. Maaf, jika saya
celupar. Sekadar berterus-terang.
Keempat, rujuklah pakar atau orang yang lebih tahu, jika jahil dalam
budaya orang lain. Saya bukan pakar, tetapi menawarkan diri. Saya
bimbang, orang yang kita rujuk mungkin tersalah memberi nasihat.
Tidak dinafikan ada kalangan mualaf Cina yang agak 'over' dalam
merayakan perayaan bangsanya. Saya selalu menasihatkan bezakan antara
menyambut dengan meraikan bagi tujuan dakwah.
Biarlah yang menyambut bersungguh-sungguh itu kalangan mereka yang tidak
Islam. Kita yang telah Islam, berpada-padalah, jangan sampai terlebih
Cina daripada orang Cina. Dalam Islam, hanya dua perayaan yang disebut
dalam al-Quran dan menjadi ibadat serta mendapat pahala. Itu pun jika
disambut mengikut syarak, iaitu Raya Puasa dan Haji.
Perayaan-perayaan lain tidak ada nas. Perlulah berpada-pada dan jangan
lebih garpu dari sudu. Ada hadis melarang kita bersubahat. Tetapi jika
ada tujuan dakwah, ia dibenarkan, seperti yang saya lakukan saban tahun
apabila tiba Tahun Baharu Cina.
Saya teramat bimbang kerana terlalu kemaruk undi kita sanggup menggadai
prinsip. Prinsip yang digadai tidak dipandang pun. Apatah lagi untuk
memberi undi. Berpada-padalah. Cukuplah dengan berpakaian batik sebagai
identiti Malaysia dalam semua perayaan.
* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment