Tuesday, February 09, 2016

Rafizi Tidak Perlu Dilayan Istimewa, Kata Azalina

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak perlu 'dilayan secara istimewa' dalam konteks undang-undang kerana masih terikat di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) yang sehingga kini masih belum selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelas Azalina, tindakan Setiausaha Agung PKR itu yang mengkritik Peguam Negara untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 menunjukkan dirinya seolah-olah takut dan terdesak sehingga beliau mahu melancarkan kempen di media sosial.

"Ini bukan dari segi aspek politk tapi lebih kepada menyeluruh kerana kalau dalam konsep perbankan kita mempunyai kerahsiaan samada syarikat ataupun individu, jadi saya rasa seolah-olah kelewatan (kes Rafizi) ini akan menggugat ekonomi kita, orang nak buka akaun pun takut. Silap-silap kita akan tahu berapa banyak duit (penyimpan) dalam akaun. Tidak pasal-pasal orang boleh kena culik.

"Kenyataan saya ini bukan berbaur politik tapi lebih kepada isu sebenar iaitu kenapa dalam kes Rafizi, apa yang istimewa sangat mengenai beliau. Apa kehebatan beliau di mana kes beliau seolah-oleh keputusan ini tidak berjalan langsung," soal Azalina.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pemimpin kanan PKR itu yang lantang menentang Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang berhasrat mahu meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia kerajaan dan media yang melaporkannya.

Ujar Azalina, Rafizi dengan sengaja menyatakan bahawa pindaan ini adalah penindasan kepada wartawan dan kebebasan media, dengan harapan beliau mendapat sokongan daripada pihak media berhubung dengan perkara ini.

Justeru Ahli Parlimen Pengerang itu meminta agar pengamal media tidak mudah terjerat dengan 'permainan' pemimpin pembangkang itu.

Tambahnya, Rafizi sebaliknya boleh menggunakan Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara tersebut, berbanding melancarkan kempen di media sosial. 

"Saya melihat dalam perkara ini kalau tidak diputuskan secara serta merta Malaysia akan dilihat sebagai sebuah negara yang agak begitu longgar dari segi undang-undang. Itu pandangan saya," katanya.

Kelmarin, Apandi dilaporkan sedang mempertimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Menurut Apandi, Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk membuat pindaan berkenaan bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan sepuluh sebatan rotan. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment