Thursday, February 10, 2011

Pertikaian Interlok : Siapa Pula Yang Nak Jaga Hati Sasterawan Melayu??


10 Februari 2011
.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
.
Sebelum saya memulakan bicara saya pada kali ini mari kita lihat dulu pengertian Interlok (atau interlock dalam Bahasa Inggeris) yang dijadikan teks untuk pelajar tingkatan 5 di seluruh negara ini.`Interlock ‘ atau interlok ialah perkataan Inggeris yang bermaksud memancakan atau berpanca.
.
Contoh penggunaan ayat:
1(a) He interlocked his fingers.
1(b) Dia memancakan jari-jarinya.
.
Maksud ayat (1) ialah kelima-lima jari di kedua-dua tapak tangan dirapatkan dan digenggam.
.
Dengan berdasarkan ayat ini, `interlok’ bermaksud bertaut rapat. Jadi, maksud interlok berdasarkan novel ini ialah integrasi atau perpaduan. Dalam novel ini, pengarang, iaitu Abdullah Hussain telah menggarap cerita yang menggambarkan kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sekitar awal tahun 1990-an hingga 31 Ogos 1957 apabila Malaysia mencapai kemerdekaan daripada pihak British. Dalam jangka masa ini, perpaduan atau pertautan antara rakyat sangat penting untuk mencapai kemerdekaan dan seterusnya untuk membangunkan negara.
.

.
Oleh hal yang demikian itu, novel ini memaparkan tema tentang integrasi tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Di sinilah konsep `interlok’ yang hendak digambarkan dalam keseluruhan novel ini. Ketiga-tiga kaum ini berusaha untuk menjalani hidup bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat. Novel ini berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri. Penggunaan bahasa yang bersahaja akan memudahkan murid untuk memahami novel yang menarik ini. Secara keseluruhannya, pemikiran , tema, persoalan, gaya bahasa dan teknik penceritaan yang digunakan dalam novel ini dapat menarik minat murid untuk membaca dan menghayatinya. (Dipetik daripada Kulit Novel `Interlok’ Edisi Sekolah)
.
Setelah novel Konserto Terakhir, kini buah tangan Abdullah Hussain yang kedua, iaitu `novel `Interlok’ pula terpilih sebagai bahan kajian untuk murid Tingkatan 5. Pelajar SPM amat bertuah kerana dapat membaca, mengkaji dan menelaah buah tangan Sasterawan Negara yang bermutu tinggi ini. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, pemikiran Abdullah Hussain terlebih dahulu telah menjangkau konsep ini. Oleh hal yang demikian, pemilihan novel ini sebagai bahan kajian pelajar sekolah menengah sangat tepat. Secara tidak langsung, usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat akan tercapai.
.
Baiklah, itu secara keseluruhannya. Beralih pula kepada pertikaian yang ditimbulkan... Antaranya ialah penggunaan rujukan kepada perkataan "Paria" dan dilabelkan seperti "lembu" dan "kambing". Ini memang menjadi satu masalah ... JIKA SEKIRANYA... digunakan secara tidak tepat di dalam sesuatu ayat. Tetapi setelah diteliti oleh beberapa pakar bahasa, nyatanya ia tidak bermaksud menghina malahan ia digunakan setelah mengikut kesesuaian maksud ayat tanpa berniat menghina sesiapa. Itu perkara penting yang perlu kita ingat.
.
Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, bantahan yang dibuat pihak tertentu mewakili masyarakat India itu sebenarnya tidak bersandarkan kepada konteks kandungan novel sebaliknya berdasarkan aspek luaran yang jelas mempunyai maksud berbeza. “Mereka yang membaca novel secara keseluruhan akan memahami maksud disampaikan penulis. Tidak timbul isu perkauman atau cercaan kepada sesiapa kerana teknik penulisan digunakan ialah secara kenyataan yang dirakam. Oleh itu, ia selari dengan fakta sejarah,” katanya. Menurutnya, hanya satu perkataan sahaja digunakan untuk menyatakan apa yang dianggap kumpulan terbabit sebagai sensitif sedangkan ia adalah kenyataan dan bukan direka penulis untuk kepentingan peribadi.
.
Beliau berkata, Gapena merasa terpanggil menjelaskan isu ini kerana ia sudah berlarutan lebih sebulan dan tiada pihak tampil memberikan pandangan dan cadangan untuk menyelesaikan kemelut. “Sepatutnya, mereka perlu faham kenapa naskhah ini ditulis dan berterima kasih kepada Abdullah Hussain yang mengadakan kajian mendalam menghasilkannya. “Bukan hanya menyentuh bangsa tertentu, sebaliknya ketiga-tiga kaum terbesar di negara ini turut dijadikan bahan di dalam novel ini,” katanya pada satu sidang media di Rumah Gapena.
.
Hadir sama, Setiausaha Dua Gapena, Prof Madya Dr Hashim Ismail dan Ketua Biro Medianya, Borhan Md Zain. Zainal Abidin berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Kementerian Pelajaran untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mencari penyelesaian kemelut ini dan akan memberikan kerjasama jika diminta. “Kita mengalukan kesediaan kementerian menyelesaikan isu ini tetapi berharap diteliti sebaik mungkin kerana membabitkan maruah dan integriti seorang diangkat Sasterawan Negara,” ulasnya pada ketika itu.
.
Pandangan Saya
.
Saya berpandangan perkataan yang telah ditulis tidak perlu dipinda pun melainkan ia digunakan secara salah di dalam novel berkenaan. Penggunaan yang menggambarkan kenyataan (realiti) tanpa wujud unsur fitnah ini diminta agar dipinda oleh beberapa pertubuhan individu dan persatuan yang berpandangan ia menghina tanpa pernah meneliti dan menghalusinya terlebih dahulu.
.
Akhirnya pada Kerajaan mengambil keputusan agar penggunaan interlok dalam kompenen sastera KPM diteruskan dengan beberapa pindaan. Tetapi hairan juga bilamana kita melihat perkataan paria dalam novel itu tidak sebanyak mana pun? Apa pula yang dipertikaikan novel sememangnya punyai nilai sejarah dan kebetulannya yang tepat. Sekiranya ada tidak betul atau fitnah daripada apa yang ditulis, penulis pastinya akan menghadapi risiko disaman. Serupa juga seperti DBP yang telah disama kerana terjemahan air pasang keling dalam kamusnya. Macam mana kalau ia jadi sensitif dan pada orang lain tidak pulak?
.
Inilah persoalannya. Baiklah, jikalau benar kita mengambil keputusan ini demi menjaga hati dan sesnsitiviti masyarakat pelbagai kaum, soalan saya siapa pula agaknya yang mahu menjaga hati tuan punya novel ini?
.
Apa yang boleh dilakukan setelah ada tindakan membakar novel secara terbuka tanda protes? apa lagi memijak muka sasterawan negara? Bagaimana dengan hati beliau yang cukup terluka selaku penulis Melayu yang berwibawa dan cukup disegani?
.
Itulah kata saya tadi kalau hati orang lain yang ingin kita jaga dan telah kita jaga dari dulu hingga kini bagaimana dengan nasib penulis melayu yang dirobek hatinya sedemikian rupa? Itulah juga yang perlu kita fikirkan sebenarnya....
.
Namun jika ini kita pinggirkan... maka... bagi menggambarkan maksud saya ini saya petik sajak yang dinukilkan oleh Fatmah Busu, Bayan Lepas (Berita Minggu 30 Januari 2011)
.
Setelah membacanya fikirkanlah.....
.
DAN INTERLOK PUN DIBAKAR


Dan Interlok pun dibakar
gambar Abdullah Hussain dibakar
tapi yang terbakar kulit di jasad Melayuku.

Dan api pembakaran Interlok pun menyala
api pembakaran gambar Abdullah Hussain pun menyala
tapi yang panas darah Melayu dalam tubuhku

Dan asap bakaran Interlok pun naik ke udara
Api bakaran gambar Abdullah Hussain pun naik ke udara
Tapi yang tercemar udara langit dan bumi Melayuku.

Dan Interlok pun hangus rentung
Gambar Abdullah Hussain pun hangus rentung
Tapi yang hangus rentung perasaan dan hati Melayuku

Dan abu Interlok pun dipijak-pijak
Abu gambar Abdullah Hussain pun dilanyak-lanyak
Tapi yang dipijak, terlanyak maruah Melayuku

Berlangsung detik sebuah kebiadapan purba
Mencakar kaca jendela peradaban bangsa
Retak
Berpetak-petak.

Berita Minggu 30hb Jan. 2011

OLEH: FATIMAH BUSU.
BAYAN LEPAS P.PINANG.


.
Kini mungkin anda mengerti maksud saya....
.
.

.
.
.
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan UMNO
UMNO Panchor, DUN Lenggeng
Parlimen Seremban

No comments:

Post a Comment