Monday, March 02, 2015
Guling Presiden PAS: Mat Sabu, Hatta Ramli Disiasat
3 Mac 2015 : Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
dan Bendahari Agung parti, Dr Hatta Ramli akan dipanggil Jawatankuasa
Khas siasatan parti untuk disiasat berhubung dakwaan menjadi dalang
kepada gerakan menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua pemimpin kanan parti itu akan dipanggil dalam masa terdekat.
“Yang buat tuduhan, kita panggil. Yang kena tuduh, pun kita akan panggil,” katanya.
Dalam satu himpunan di hadapan Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur awal
bulan lalu, sekumpulan ahli parti itu yang diketuai Ketua Dewan Pemuda
Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim mendesak komplot yang didakwa diketuai Dr
Hatta melepaskan semua jawatan dalam parti kerana dikatakan terlibat
dengan gerakan mahu menjatuhkan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas.
Dalam pada itu, Mustafa yang ditemui selepas majlis agihan bantuan
banjir di Dewan Jubli Perak, semalam yakin Abdul Hadi akan mengekalkan
jawatan tanpa pertandingan pada pemilihan Jun ini.
Ini kerana pada pandangannya, tidak ada calon lain mampu mencabar Abdul Hadi.
“Desas-desus kononnya Datuk Seri Presiden akan digulingkan tidak
mungkin terjadi, sebaliknya kita yakin Presiden akan terus mendapat
sokongan penuh untuk mengekalkan jawatannya, malah selepas 2015 kita
akan terus saksikan Abdul Hadi kekal menerajui Pas,” katanya.
Ditanya pula mengenai kemungkinan jawatan timbalan presiden yang
disandang Mohamad Sabu akan dicabar sekali lagi pada pemilihan parti itu
nanti, Mustafa berkata, jawatan tersebut dijangka bakal
dipertandingkan.
“Saya yakin Abdul Hadi kekal sebagai presiden. Timbalan, saya tidak
tahu. Jawatan timbalan sentiasa berlawan, saya jangka ada pertandingan
seperti biasa,” katanya.
Kepimpinan Abdul Hadi kini didakwa goyah berikutan gerakan tersusun
kumpulan tertentu dalam parti itu yang ingin menjatuhkannya sehingga ada
secara terbuka menyatakan sokongan kepada Mat Sabu untuk bertanding
merebut jawatan presiden.
Dipetik daripada sumber : Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment