Sunday, March 08, 2015
Hadi Boleh Dicabar – Mujahid Yusof Rawa
8 Mac 2015 : Bukan satu kesalahan untuk mana-mana individu
mencabar kedudukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam
pemilihan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-61, Jun ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata,
jawatan Presiden yang tidak pernah dipertandingkan sejak Tan Sri Mohd.
Asri Muda menerajui parti pada 1976 bukan bermakna tradisi itu perlu
dikekalkan kerana perlembagaan parti membenarkan jika ada ahli yang
mendapat dua pencalonan mencabar Abdul Hadi.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri bagaimanapun mengakui, perkara itu jika berlaku, merupakan kejutan besar.
“Jika pihak tertentu menganggap pertandingan jawatan Presiden akan
menyebabkan perpecahan, saya tidak bersetuju alasan berkenaan digunakan
supaya jawatan itu tidak dicabar,” katanya dalam sidang akhbar di sini
hari ini.
Semalam, Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata,
jawatan Presiden yang dipegang oleh Abdul Hadi tidak perlu dicabar
kerana sudah menjadi tradisi parti bahawa jawatan berkenaan tidak
dipertandingkan.
Mujahid berkata, kemungkinan jawatan Presiden dicabar wujud kerana
beberapa faktor seperti timbul kesedaran dalam kalangan ahli yang
mahukan seorang calon Presiden yang boleh membawa hasrat parti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pertandingan
yang mungkin berlaku juga bertitik tolak daripada ahli menjangkakan
terdapat calon yang boleh meneruskan kerjasama Pas dengan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP.
“Faktor penglibatan Pas dalam pakatan pembangkang juga memainkan
peranan mempengaruhi muktamar kali ini. Ahli harap calon yang boleh
kekalkan Pas dalam pakatan kerana kita ada tanggungjawab,” katanya.
Secara peribadi, Mujahid berkata, beliau mahukan seorang ketua yang tegas dan tidak mudah dicucuk hidung.
“Pemimpin itu mestilah seorang yang tidak gadai prinsip parti, ideal
dan berani bersuara. Dalam kes Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr.
Dzulkefly Ahmad yang ditumbuk baru-baru ini, saya tidak nampak ada
kenyataan tegas daripada pucuk pimpinan parti,” katanya.
Ditanya sama ada Abdul Hadi masih relevan untuk menerajui Pas,
Mujahid berkata, soalan itu sukar untuk dijawab kerana tidak ada
pemimpin yang sempurna.
“Ayah saya, Yusof Rawa yang menjadi Presiden sebelum ini pernah
memberitahu, seseorang pemimpin itu perlu turun sebelum diarahkan. Kita
tidak pernah kekal untuk tempoh lama,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment