Sunday, March 08, 2015
Jabatan Penjara Tolak Hasrat Anwar ke Parlimen
9 Mac 2015 : Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri
persidangan Dewan Rakyat minggu depan tidak akan menjadi kenyataan
kerana permohonannya ditolak Jabatan Penjara.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui khidmat pesanan
ringkas (SMS), tetapi tiada penjelasan lanjut diberi.
Difahamkan Jabatan Penjara sudah pun menghantar surat kepada Yang
Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bagi memaklumkan
perkara itu dan dipercayai surat berkenaan telah diterima hari ini.
Utusan dimaklumkan tindakan tersebut diambil kerana Anwar kini
tertakluk kepada akta, peraturan dan prosedur penjara selepas suami
kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu didapati bersalah
meliwat.
Selaras dengan penolakan oleh Jabatan Penjara itu, dipercayai
Pandikar Amin akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara
berkenaan tetapi belum dapat dipastikan tarikh tersebut.
Isnin lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar surat kepada
Pandikar Amin bagi memohon kebenaran untuk Anwar menghadiri sidang Dewan
Rakyat atas alasan beliau masih ketua pembangkang.
Namun, Jabatan Penjara dalam kenyataan segeranya menegaskan layanan
serta kemudahan terhadap semua banduan termasuk Anwar adalah sama,
selaras dengan ketetapan akta, peraturan dan prosedur.
Sebelum itu, pada 24 Februari lalu, keluarga Anwar menghantar
petisyen kepada Lembaga Pengampunan bagi memohon pengampunan Yang
di-Pertuan Agong selepas ketua pembangkang tersebut dihukum penjara lima
tahun.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment