Sunday, March 08, 2015

Kementerian Tawar Penajaan Bursary Untuk Pelajar SPM Perolehi 9A ‘plus’ Ke Atas

41425373543_300x250

9 Mac 2015 : Bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia akan menawarkan penajaan Bursary kepada pelajar cemerlang yang berjaya memperoleh keputusan 9A+ ke atas tanpa mengira etnik, kaum dan latar belakang keluarga.

Kenyataan media daripada Bahagian Tajaan Pendidikan itu turut menyatakan bahawa penajaan tersebut adalah pembiayaan dalam bentuk yuran pengajian, elaun sara hidup dan elaun penginapan bagi pelajar.

“Pembiayaan tersebut adalah untuk mengikuti pengajian program persediaan di institusi pengajian dalam negara sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Pertama di dalam atau luar negara,” kata kenyataan tersebut.

Program persediaan yang ditaja di bawah penajaan Bursary adalah Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, A-Level dan International Baccalaureate (IB).

Penajaan Bursary ini ditawarkan secara automatik kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 9A+ ke atas dalam peperiksaan SPM tahun 2014.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran melalui Sistem Aplikasi Online Bursar di laman web Kementerian Pendidikan Malaysia di www.moe.gov.my yang akan dibuka mulai 4 Mac 2015 sehingga 30 Jun 2015.

“Pelajar-pelajar yang ditawarkan penajaan Bursary perlu membaca dan memahami kesemua panduan dan syarat-syarat penajaan yang ditetapkan dan mengemas kini maklumat diri melalui Sistem Aplikasi Online Bursary,” jelas kenyataan itu.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pelajar boleh menghubungi Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia di talian 03-8321 7086 atau melalui e-mel di alamat bt.bursary@moe.gov.my.

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment