Sunday, March 01, 2015

Najib Janji Akan Terus Makmurkan Sarawak

1 Mac 2015 : Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan meningkatkan usaha untuk memakmurkan Sarawak dan meningkatkan taraf hidup rakyat negeri itu, terutamanya yang berada di luar bandar.

Dalam posting terbaru di laman Facebook beliau hari Sabtu, Perdana Menteri, yang telah mengadakan lawatan ke Medan Niaga Satok di Kuching hari ini, berkata beliau juga berjanji akan mengekalkan perpaduan yang sedia ada dan menolak unsur ekstremisme yang bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

Sewaktu mengadakan lawatan di sana, beliau juga berkesempatan berinteraksi dengan peniaga dan orang ramai.

“Para peniaga dan orang ramai ada memberi maklum balas kepada saya mengenai beberapa perkara seperti kos sara hidup dan infrastruktur di Sarawak. Inilah yang saya mahukan – perhubungan komunikasi antara pemimpin dan rakyat,” kata beliau.

Najib menamatkan lawatan kerja tiga hari ke negeri itu hari ini.

Beliau mempunyai jadual padat dan antaranya merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuching, meletakkan batu asas Hospital Sri Aman di Sri Aman, melancarkan projek pembinaan Dewan Masyarakat Beladin di Betong serta merasmikan Loji Rawatan Air Serian.
Beliau juga mengadakan tinjauan mesra di sekitar Kampung Gersik serta merasmikan majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Kuching.

Dipetik daripada sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment