Monday, March 02, 2015
Pembangkang Perlu Bersikap Terbuka Dan Bertanggungjawab
3 Mac 2015 : Negara memerlukan pembangkang yang bersikap
terbuka dan bertanggungjawab dalam memainkan peranan sebagai pihak yang
‘memantau dan menegur’ pentadbiran kerajaan.
Bekas Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri
Abu Zahar Ujang berkata beliau secara peribadi berpendapat kualiti
pembangkang di Malaysia ketika ini tidak begitu memuaskan terutama dalam
soal menghormati peraturan ketika membahaskan sesuatu perkara di
Parlimen.
“Kita memerlukan pembangkang dalam sistem demokrasi di negara ini
tetapi kita nak lihat pembangkang yang mengamalkan sikap keterbukaan dan
bertanggungjawab kepada negara.
“Di Jepun, apabila mereka membahaskan belanjawan negara kita dapat
lihat perdana menteri dan ketua pembangkang duduk bersama. Mereka
berbahas dengan penuh hemah serta tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan
biadab,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat
Agung Tahunan Mubarak Selangor 2015 di sini, hari ini. Turut hadir Yang
Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar.
Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara bagaimanapun mengakui
ada dalam kalangan pembangkang menjalankan tanggungjawab mereka dengan
baik apabila menyumbang idea secara berhemah ketika berbahas di
Parlimen.
“Jangan jadi seperti sesetengah (wakil rakyat) itu yang pernah
menjawat jawatan tertinggi dan dia tahu itu (peraturan dewan) tetapi
demi nak dapatkan publisiti murahan dia sengaja keluarkan perkataan yang
bukan-bukan,” katanya.
Ketika mengulas tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghantar surat
kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memohon
membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sidang
Dewan Rakyat yang bermula Isnin depan, Abu Zahar berkata beliau secara
peribadi berpandangan sesiapa sahaja yang telah dijatuhi hukuman penjara
atas kesalahan jenayah perlu menghormati keputusan mahkamah.
“Kalau nak keluar (hadiri persidangan) saya rasa kalau buat sesuatu
benda yang ‘precedent it becomes bad precedent’ (duluan ia akan menjadi
duluan yang tidak baik),” katanya.
Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar
dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara lima tahun kerana meliwat
bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Selasa lepas (24 Feb), isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha menyerahkan
petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan
hukuman penjara itu.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment